Rekonstruktivisme

Rekonstruktivisme merupakan falsafah pendidikan yang dipecahkan daripada aliran fahaman progresivisme dan menjadi suatu falsafah sendiri. Pelopor utama aliran fahaman rekonstruktivisme ialah George S. Counts (1899-1974) dam Harold O. Rugg (1886-1960), kedua-duanya adalah penyokong pragmatisme John Dewey.

Ahli-ahli rekonstruktivisme berpendapat falsafah pendidikan progresivisme hanya sesuai digunakan dalam masyarakat yang stabil; oleh itu, adalah perlu mengadakan sesuatu falsafah 'krisis' seperti rekonstruktivisme untuk menyelamat kebudayaan masyarakat yang kian diancam dan menghadapi masalah keruntuhan. Tambahan pula, mengikut mereka, progresivisme terlalu mementingkan pendekatan dan proses pendidikan, hingga mengabaikan objektif dan hasilnya. Mereka berpendapat, tugas utama pendidikan hams mengandungi objektif eksplisit, iaitu membentuk "Order Baru Masyarakat" sebagai objektif yang ideal, membaiki masyarakat, merealisasikan demokrasi untuk masyarakat dan sarwa jagat, demi membawa kebajikan dan kesejahteraan untuk manusia.

Aliran fahaman rekonstruktivisme mula menjadi perhatian di dalam tahun 1950-an, apabila Theodore Burghard Hurt Brameld (1904-?) menggabungkan teori progresivisme dengan behaviorial sains sebagai asas rekonstruktivisme. Beliau berpendapat pengalaman sebenarnya ialah hasil interaksi manusia dengan elemen-elemen dalam alam persekitaran dan alam sosial, di mana pengalaman individu merupakan tempat utama dalam proses interaksi tersebut. Nilai berubah mengikut perubahan masyarakat. Nilai yang tertinggi akan dapat dicapai apabila individu dan masyarakat memperolehi kepuasan dalam peringkat penyempurnaan. Sehubungan ini, sekolah seharusnya menjadi sesuatu organisasi yang mengamalkan prinsip rekonstruktivisme. Hal ini memerlukan pelajar mematuhi segala prinsip tingkah laku yang ditentukan dan berusaha mempertingkatkan kualiti pembelajaran mereka. Mengikut mereka, teori progresivisme yang menyarankan kaedah penyelesaian masalah tidak mempunyai objektif dan nilainya, dan cara yang berkesan untuk mengkaji masalah sosial ialah teknik perbincangan, yang akan dapat mencapai matlamat penyelesaian masalah sosial, dan seterusnya membentuk masyarakat sosial yang harmoni dan sempurna.
Maka, teori rekonstruktivisme, di dalam usaha membina masyarakat baru, menumpukan usaha kepada perkembangan ekonomi dan kebajikan sosial manusia. Mereka percaya bahawa sekolah boleh memainkan peranan membentuk semula masyarakat yang harmoni dan sempurna. Maka, peranan guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga, yang lebih pentingnya, membawa isu-isu sosial yang penting untuk dibincang dan diselesaikan secara usahasama. Ringkas kata, teori rekonstruktivisme menekankan teknik perbincangan dan penggunaaan kemahiran berjikir kritis dan kreatif dalam penyelesaian masalah. Untuk mencapai matlamat pendidikan ini, bahan-bahan pelajaran hendaklah distrukturkan secara sistematik dan bersepadu. Mata pelajaran kemanusiaan hendaklah menjadi fokus utama dalam rancangan kurikulum sekolah, agar membentuk pelajar yang berperikemanusiaan, berlandaskan kebudayaan masyarakat yang ideal. 

0 comments: