Essensialisme

Essensialisme pula berasas daripada falsafah tradisional. Pandangan pendidikan ahli-ahli essensialisme banyak dipengaruhi oleh falsafah idealisme dan realisme. Falsafah pendidikan essensialisme ini adalah dipelopori oleh William C. Bagley (1874-1946) dari Amerika Syariklat pada tahun 1938. Penyokong-penyokong essensialisme ialah Thomas Briggs, Frederick Breed dan Issac L. Kandel. Selepas Russia berjaya menghantar satelitnya ke angkasa lepas pada tahun 1957, essensialisme semakin diutamakan sebagai pertimbangan asas dalam inovasi kurikulum sekolah.
 
Ahli-ahli falsafah pendidikan essensialisme, seperti James B. Conant (1893-1978) dan Hyman George Rickover (1900-?), berpendapat fitrah manusia sebenarnya kekurangan nilai-nilai murni yang sempurna. Sama ada dapat dibaiki untuk menjadi insan yang baik adalah bergantung kepada pengaruh kebudayaan masyarakat, iaitu melalui latihan intelek dan mental untuk membentuk personaliti dan mental mereka ke tahap keharmonian dan penyempurnaan. Mengikut mereka, guru memainkan peranan yang utama dalam proses pendidikan, membantu pelajar memperolehi keperluan dan kualiti kehidupan orang dewasa, agar mereka dapat berjaya hidup dalam masyarakat secara terus menerus. Guru hendaklah mengamalkan sikap pimpinan demokratik, mengambil inisiatif untuk menjalankan tugas sebagai pengajar, kreatif membentuk iklim kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, dan mahir menggunakan teknik peneguhan ataupun ganjaran dan denda. Sehubungan ini, guru hendaklah mempunyai kelayakan akademik yang berpatutan, emosi stabil, dan juga memahami psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja. Mengikut ahli-ahli essensialisme, ilmu diperolehi dengan berkesan adalah bergantung kepada kerajinan dan tumpuan perhatian pelajar. Minat bukan kunci kejayaan dalam pembelajaran. Minat boleh dipupuk selepas berusaha bersungguh-sungguh daripada bimbingan guru secara terus-menerus. Pelajar hendaklah memahami dan mematuhi kewibawaan dan pimpinan guru. Di dalam bidang kurikulum, ahli-ahli essensialisme menyarankan kurikulum sekolah hendaklah dibentuk berdasarkan keperluan masyarakat; bahan-bahan pelajaran hendaklah disediakan secara rapi dan logikal; aktiviti pengajaran dan pembelajaran hendaklah dirancang secara sistematik dan mengikut sekuen yang sesuai; dan kriteria kenaikan darjah hendaklah ditetapkan secara rapi mengikut pencapaian peperiksaan. Di dalam peringkat sekolah rendah, pendidikan 3M, (iaitu membaca, menulis dan mengira) merupakan perkara-perkara yang asas diikuti dengan mata pelajaran tambahan seperti sejarah, ilmu alam, sains dan bahasa asing. Mata pelajaran yang kurang penting ialah pendidikan seni, pendidikan jasmani dan muzik. Di sekolah menengah, pendidikan membaca dan menulis yang lebih khusus hendaklah diperkembangkan, diikuti dengan mata pelajaran arithmetik, algebra, geometri, trigonometri dan kalkulus, fizik, kimia, biologi dan geologi. Seperti sekolah rendah, mata pelajaran yang kurang penting ialah pendidikan seni, pendidikan jasmani dan muzik, ditambah dengan mata pelajaran vokasional dan aktiviti luar bilik darjah (iaitu aktiviti kokurikulum).
 
Ahli-ahli essensialisme pula menyarankan nilai-nilai masyarakat termasuk nilai-nilai sosial, kebudayaan, politik, cerdekiawan dan penulisan yang terkenal hendaklah diajar sepanjang peringkat persekolahan. Sehubungan ini, guru hendaklah mempunyai kelayakan dan kemahiran dalam bidang nilai-nilai masyarakat tradisi dan masyarakat moden.

0 comments: