HALA TUJU PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK DI MALAYSIA

HALA TUJU PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK DI MALAYSIA


20 OKTOBER 2010

Abstrak
Peranan yang dimainkan oleh kanak-kanak amat penting dalam perkembangan dan pembangunan seseorang kanak-kanak. Di Malaysia terdapat pelbagai kaedah yang dijalankan bagi memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan yang sempurna tidak kira di bandar ataupun di luar bandar. Disamping itu juga, kurikulum pendidikan awal kanak-kanak digubal bagi memastikan pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi. Transformasi kurikulum dan perubahan dalam sistem juga dilakukan mengikut peringkat yang telah disusun oleh pihak kerajaan bagi memastikan kejayaan dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak. Di Malaysia terdapat empat agensi utama yang menjalankan pendidikan prasekolah iaitu Kementerian Pelajaran sendiri, pihak KEMAS di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri, serta pihak swasta bertujuan memastikan kanak-kanak yang ada di negara ini memperolehi pendidikan yang secukupnya selaras dengan perkembangan minda dan usia mereka.


1.HALA TUJU PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK DI MALAYSIA
Pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan yang penting dalam perkembangan dan pembangunan seseorang kanak-kanak. Sekiranya seorang kanak-kanak mendapat pendidikan asas yang berkualiti, maka diyakini kanak-kanak tersebut akan terus berjaya dalam pendidikan yang akan dilalui pada peringkat yang lebih tinggi.
Terdapat empat agensi utama yang menjalankan pendidikan prasekolah iaitu Kementerian Pelajaran sendiri, pihak KEMAS di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri, serta pihak swasta. Dari segi statistik didapati sehingga kini, KPM telah menyediakan sebanyak 7511 kelas prasekolah, KEMAS sebanyak 8,525, JPNIN 1643 dan prasekolah swasta yang berdaftar sebanyak 6378 Ini menunjukkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak lebih kurang 2.9 peratus (69.9%) daripada kadar enrolmen pada tahun 2009 iaitu 67 peratus.

2.SEJARAH PENDIDIKAN AWAL KANAK – KANAK
2.1 SEBELUM MERDEKA
Sejarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak bermula pada era 1950-an iaitu bermula selepas perang dunia ke 2. Pada tahun 1900-an  pendidikan awal kanak-kanak mula ditubuhkan di Filipina, Singapura dan Thailand sahaja. Manakala di Malaysia, perkembangan pendidikan pendidikan awal kanak-kanak bermula pada tahun 1940 an.
Pada tahun 1940-an pendidikan awal kanak-kanak mula dibuka oleh missionari Kristian dengan pendidikan berpengaruhkan British (sistem pendidikan British) dengan mengenakan yuran yang sangat mahal dan anak-anak orang berada sahaja belajar di tadika itu. Guru-guru pendidikan awal kanak-kanak pula terdiri daripada bekas guru sekolah rendah yang tidak ada latihan dan pengalaman mengajar di tadika.
Dari tahun 1950 hingga 1960, tadika di Malaysia telah dibuka oleh sosialis kristian sebagai sebahagian aktiviti gereja. Hampir kesemua tadika dipunyai oleh individu atau agensi persendirian yang bertapak di kawasan bandar dan menyediakan Pendidikan Awal Kanak-Kanak hanya untuk ibubapa yang mampu membayar yuran. Kesannya, hanya sebahagian kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun berpeluang mengikuti kelas tadika. Malangnya, ramai kanak-kanak yang berasal daripada keluarga yang miskin dan luar bandar tidak dapat menerima pendidikan awal di tadika.
                     
2.2 ZAMAN SELEPAS MERDEKA
Sekitar tahun 1960-an pula, Pendidikan Awal Kanak-Kanak mula berkembang secara umum berikutan kesedaran untuk mendapatkan pendidikan dalam kalangan golongan kurang berkemampuan selepas merdeka mula meningkat. Pada tahun 1969 satu revolusi telah berlaku iaitu, Yayasan Asia telah menyumbangkan wang kepada Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia (Worker Society of Malaysia)  bagi mendirikan tadika yang mirip kepada projek “Head Start” di Amerika Syarikat. Tadika ini telah ditubuhkan di Negeri Selangor iaitu di Kampung Muniady, Kg. Manggis dan Kg. Sentosa. Kumpulan sasaran terdiri daripada kanak-kanak yang kurang beruntung dan miskin terdiri dari keturunan Melayu, Cina dan India. Satu kajian telah diambil di Amerika Syarikat menunjukkan kanak-kanak yang terlibat dalam projek ini telah mencapai prestasi yang baik dari segi akademik dan tingkah laku jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang tidak terlibat dalam projek ini (Bernard Van Lee 2009).  
Pada tahun 1970, KEMAS membuka 10 buah prasekolah contoh di kawasan luar bandar yang dikenali Tabika untuk membantu rakyat yang miskin di luar bandar .Diikuti dengan penubuhan prasekolah oleh FELDA, Risda (1980) dan Majlis Perhubungan Masyarakat (1976). Pada tahun 1972, Pusat Perkembangan Kurikulum telah menerbitkan Buku Panduan Pendidikan Prasekolah dan telah membuka 12 buah prasekolah percubaan di seluruh Malaysia. Tahun 1972 Maktab Perguruan Ilmu Khas, Ceras telah melatih seramai 137 orang guru-guru sekolah rendah dan guru-guru KEMAS dalam pendidikan prasekolah untuk mengajar di prasekolah.
KEMAS telah membuka Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) adalah selaras dengan Falsafah Baru Pembangunan Luar Bandar. Program ini memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar, bandar dan pinggir bandar bagi golongan berpendapatan rendah dan miskin.
Melalui pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berfokuskan kepada program "Pembasmian Buta Huruf", Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kerajaan Tempatan serta Perumahan Sabah telah mengambil keputusan untuk menubuhkan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) atau Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) untuk penjagaan dan pendidikan bagi kanak-kanak di antara umur empat hingga enam tahun.
Pada tahun 1972 pula, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membina akta yang khusus bagi Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang dinamakan Akta Pelajaran 1961 P.U (A), Kaedah-kaedah Pelajaran (Kindergarten/ SekolahAsuhan)(Pendaftaran).  Berdasarkan laporan daripada kajian Keciciran 1973 (Ee Ah Meng 1988) terdapat kesan yang positif di kalangan kanak-kanak yang mendapat pendidikan awal di peringkat prasekolah. Sebanyak 90% daripada kanak-kanak yang mendapat pendidikan di peringkat ini diletakkan di dalam kelas pertama apabila mereka memasuki sekolah rendah (Ee Ah Meng 1998).
Pendidikan awal kanak-kanak semakin berkembang pesat dengan kewujudan Yayasan Bernard Van Leer. Yayasan ini telah banyak membiayai aktiviti pendidikan Prasekolah terutamanya dalam menggubal program pukal Prasekolah, menganjurkan seminar-seminar dan menerbitkan buku panduan pendidikan yang khas untuk pendidikan awal kanak-kanak (Bernard van Leer Foundation, 2009). Perkembangan pesat tersebut menuntut bilangan tenaga pengajar yang lebih banyak dalam pendidikan awal kanak-kanak.
 Sekitar tahun 1972 sehingga 1976, Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) mula menawarkan kursus untuk melatih para guru dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Usaha MPIK ini mendapatkan sambutan dan diteruskan melalui projek-projek rintis Prasekolah oleh Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Maktab Perguruan Sri Pinang (MPSP), Maktab Perguruan Mohd Khalid (MPMK) dan Maktab Perguruan Perempuan Melayu (MPPM) yang dibiayai oleh UNICEF (Bernard Van Leer Foundation 2009).
Pada tahun 1981, Yayasan Sabah telah menubuhkan Institut Guru-Guru Tadika di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak dan mendapatkan khidmat nasihat daripada Universiti Malaya. Pada 18 Disember 1991, Jemaah Menteri telah bermesyuarat untuk membincangkan mengenai program prasekolah di Malaysia dan pada 27 Januari 1992, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mula bermesyuarat untuk membincangkan mengenai peluasan prasekolah. Kesan daripada mesyuarat di atas, maka Akta Pendidikan 1996, telah menyuarakan mengenai pendidikan prasekolah dalam sistem Pendidikan Kebangsaan. Kesan daripada akta pendidikan prasekolah, maka pada 6 Jun 2001, Jemaah Menteri bermesyuarat khusus untuk program peluasan prasekolah.
Pendidikan awal kanak-kanak mula mendapat perhatian yang lebih serius pada tahun 1984. Terdapat beberapa pihak mula mencadangkan dan menuntut bahawa pendidikan awal kanak-kanak harus bermula lebih awal, iaitu di bawah empat  tahun. Hal yang demikian ini menyebabkan tertubuhnya Children Centre Act atau Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) bagi memenuhi tuntutan tersebut.
Pada tahun 1986 pula, Buku Panduan Guru Prasekolah mula diterbitkan. Buku ini diterbitkan bagi tujuan meningkatkan kemahiran dan kreativiti guru prasekolah. Ia juga dapat membantu guru mengelola dan mengurus pengajaran dan pembelajaran prasekolah dengan lebih sistematik. Selain itu, ia juga boleh dijadikan rujukan oleh para pelajar di pusat-pusat pengajian pendidikan.
Seterusnya, pada tahun 1993, Garis Panduan Kurikulum Pendidikan Prasekolah Malaysia mula diperkenalkan dan digunapakai untuk sekolah rintis di KPM. Kini, Garis Panduan Pendidikan Prasekolah Malaysia diganti dengan Kurikulum PERMATA (0-4 tahun) dan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (4-6 tahun) dan dijadikan rujukan utama bagi Pendidikan awal kanak-kanak.
Selain daripada pertambahan bilangan prasekolah dari tahun ke tahun, bilangan peluasan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia mengikut negeri juga bertambah dari setahun ke setahun.
3.KURIKULUM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
Kurikulum seperti yang tercatat dalam Akta Pendidikan Malaysia 1996 dan Peraturan-peraturan Kurikulum Kebangsaan Pendidikan 1997 merujuk kepada suatu program pendidikan yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.
Kurikulum pendidikan apabila diterjemahkan dalam bentuk aplikasi di sekolah ia adalah sesuatu yang melibatkan program pembelajaran di dalam atau di luar kelas, aktiviti, peralatan, perancangan, jadual waktu, tajuk-tajuk bagi sesuatu yang dipelajari dan juga proses penilaian. Namun perkataan kurikulum bila dikaitkan dengan kanak-kanak di peringkat awal perkembangan ianya tidak hanya tertumpu kepada sesuatu yang dikaitkan dengan pengalaman pembelajaran di sekolah tetapi ia merangkumi segala pengalaman dalam kehidupan hariannya samada di pusat asuhan, di rumah atau di luar rumah. Para pakar unit kanak-kanak di bawah usia 5 tahun dari National Children Beaureu , United Kingdom berpandangan bahawa kurikulum untuk kanak-kanak di peringkat awal umur yang di letakkan di pusat asuhan kanak-kanak adalah merangkumi perkara-perkara berikut:
  1. Segala peluang perkembangan pembelajaran yang disediakan untuk kanak-kanak
  2. Segala aktiviti, sikap dan tingkah laku samada yang dirancang atau tidak, samada digalakkan atau ditegah.
  3. Cara bagaimana persekitaran fizikal yang mengelilingi kanak-kanak disusun dan juga rutin harian yang dilakukan oleh orang dewasa atau kanak-kanak itu sendiri.
  4. Peranan yang dimainkan oleh orang dewasa untuk menyusun atur, mengarah, mempengaruhi dan turut serta bersama melakukan apa yang dilakukan oleh kanak-kanak.
  5. Penglibatan ibu bapa dalam perkara-perkara yang disebutkan (NCB, 1989, p.11).
Di dalam penulisan Prof. Madya Dr. Mastura Badzis ada menyatakan Bruce dan Meggitt (2005) menyifatkan kurikulum kanak-kanak ialah sesuatu yang dapat membantu kanak-kanak membesar dan belajar yang mana menjadi satu tanggungjawab kepada pendidik untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang dapat menyokong dan merangsang potensi yang ada pada seseorang kanak-kanak dan ianya bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan kanak-kanak melakukan atau mempelajarinya.
Dalam konteks Islam, kurikulum pendidikan bagi seseorang kanak-kanak khasnya di peringkat awal perkembangan melibatkan segala pengalaman pembelajaran yang didedahkan kepada kanak-kanak samada ianya dirancang ataupun tidak, secara langsung atau tidak langsung yang ditimba oleh seseorang kanak-kanak sepanjang proses mereka membesar. Kurikulum dan pengalaman ini sebenarnya tercetus dari sikap, nilai dan tatasusila yang ditonjolkan oleh guru, orang dewasa, keluarga dan masyarakat sekitar.
Dalam erti kata lain kurikulum pendidikan bagi seseorang kanak-kanak adalah merangkumi segala aktiviti dan pengalaman pembelajaran yang disediakan oleh orang dewasa, segala aktiviti yang ditentu dan difikirkan oleh kanak-kanak itu sendiri, termasuklah juga bahasa dan teknik berkomunikasi yang diamalkan oleh orang dewasa dan kanak-kanak menggunakannya dalam kalangan rakan sebaya atau orang lain, malah segala apa yang mereka boleh lihat dan dengar daripada persekitaran mereka. Kadang kala kurikulum ini juga boleh jadi sesuatu yang tersembunyi, yang tidak dirancang tetapi tanpa disedari kanak-kanak mempelajarinya. Sebagai contohnya masa atau perhatian yang diberikan oleh pengasuh atau pendidik kanak-kanak terhadap sesuatu aktiviti mungkin menyebabkan kanak-kanak merasakan sesuatu perkara itu lebih berfaedah dari yang lain walaupun hakikatnya tidak begitu.

4.TRANSFORMASI KURIKULUM DAN PERUBAHAN DALAM SISTEM
4.1 Transformasi Kurikulum Kebangsaan
Kurikulum merupakan suatu elemen terpenting dalam sistem pendidikan. Ia merupakan nadi kepada sistem pendidikan yang mencorakkan generasi akan datang. Bagi menjana suatu sistem pendidikan yang berkualiti, kurikulum itu sendiri perlu bersifat dinamik dan relevan dengan kehendak semasa mahupun keperluan masa akan datang. Kurikulum di Malaysia ditakrifkan sebagai suatu program pendidikan yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai kebudayaan serta kepercayaan untuk membantu perkembangan potensi seseorang murid secara seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).
Pernyataaan kurikulum ini perlulah diterjemahkan melalui pelaksanaan aktiviti kurikulum dan kokurikulum di sekolah dan melalui proses pengajaran dan pembelajaran serta interaksi guru murid di bilik darjah. Perlu ditegaskan bahawa kurikulum bukannya satu entiti yang konsistan tetapi berubah mengikut senario dan keperluan ekonomi, sosial dan politik tanah air.
4.2 Transformasi Kurikulum
Kajian keberkesanan KBSR dan KBSM yang dijalankan oleh agensi dalam Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) banyak menunjukkan kelemahan dari aspek pelaksanaan kurikulum tersebut di sekolah. Beberapa prinsip KBSR dan KBSM tidak dilaksanakan dengan berkesan dalam proses P&P. Ini mengakibatkan kesepaduan pengetahuan, kemahiran dan nilai tidak tercapai sepenuhnya melalui proses P&P di bilik darjah. Antara faktor yang mendorong kepada perkara ini ialah fokus berlebihan untuk mencapai gred kelulusan A dalam peperiksaan. Maka kebanyakan proses P&P yang berlaku di bilik darjah lebih berupa proses menyediakan pelajar untuk peperiksaan, bukannya bersifat menyampaikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai yang perlu seperti mana dituntut oleh kurikulum mata pelajaran tersebut. Ini secara langsung mengurangkan keberkesanan usaha ke arah membangunkan insan yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berdaya saing, berkemahiran dan mempunyai jati diri dan ciri modal insan cemerlang yang dihasratkan.
Ke arah itu, satu bentuk pengubahsuaian sedang dijalankan bagi mengatasi masalah ini. Dari aspek kurikulum sekolah, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) sedang berusaha membangunkan satu bentuk kurikulum baru yang lebih berpusatkan murid, lebih memberikan peluang kepada murid untuk meneroka bidang ilmu tersebut dengan lebih mendalam, dan kurikulum yang menyeronokkan dan tidak berorientasikan peperiksaan. Berdasarkan keperluan ini, BPK membangunkan konsep Transformasi Kurikulum Kebangsaan yang membawa cadangan perubahan kepada konsep, bentuk, struktur dan operasi kurikulum persekolahan kebangsaan. Struktur kurikulum baru KBSR memperkenalkan konsep tunjang – satu bentuk pengklasifikasian bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang berfokus kepada pembentukan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan inteleknya. Enam tunjang di kenalpasti mewakili bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang menjadi asas kepada pembangunan insan yang dihasratkan.
Transformasi Kurikulum Kebangsaan dan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan merupakan dua strategi yang saling melengkapi ke arah merealisasikan agenda untuk membangunkan modal melalui pendidikan. Kedua-dua strategi menekankan kepada pencapain standard yang ditetapkan; Transformasi Kurikulum melalui penetapan standard kandungan dan standard pencapaian manakala SPPK melalui Ujian Rujukan Standard. Pelaksanaan Transformasi Kurikulum Kebangsaan dan SPPK akan memastikan prestasi murid dibitara dan  setanding dengan standard antarabangsa dalam pelbagai bidang pengetahuan, kemahiran dan kecekapan.

5.Dasar & Polisi Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Pendidikan awal kanak-kanak amat penting untuk  membantu perkembangan otak kanak-kanak  yang berlaku dengan pantas mengikut peringkat umur masing-masing. Oleh yang demikian, beberapa dasar dan polisi dalam pendidikan awal kanak-kanak diwujudkan untuk menentukan hala tuju Program Asuhan dan Didikan Awal kanak-kanak tersebut.
Dalam satu pertubuhan iaitu, Convention On The Rights Of the Child – CRC adalah satu pertubuhan antarabangsa. Konvensyen ini banyak membincangkan khususnya tentang keperluan-keperluan dan hak–hak kanak–kanak dan berfokuskan kepada kanak–kanak berumur  0 hingga 18 tahun (Sumber: Convention On The Rights Of the Child 2009).
Akta Kanak-Kanak 2001 (disebut Akta 611) dan telah berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2002. Tujuan utama Akta 611 adalah untuk menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya. Antara perkara penting yang diketengahkan oleh Akta 611 adalah tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga dalam memelihara kesejahteraan kanak-kanak, tanggungjawab untuk memaklumkan kes-kes penderaan kanak-kanak, penubuhan mahkamah bagi kanak-kanak, cara perbicaraan dan hukuman (Sumber: Akta Kanak-Kanak 2009). 
Childcare Centers Act 1984 & Amedment 2007 (Act 308) suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, pengawalan dan pemeriksaan Taman-taman Asuhan Kanak-kanak dan bagi maksud-maksud yang berkaitan dengannya. Mengikut seksyen 4, tiap-tiap taman asuhan kanak-kanak hendaklah didaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (Institusi-kanak-kanak & Itemid 2009).
Akta Pendidikan 1996 yang juga dikenali sebagai Akta 550 adalah bertujuan memansuhkan Akta Pelajaran 1961. Secara amnya, Akta Pendidikan 1996 tersebut telah mengemukakan satu undang-undang baru tentang pendidikan bagi maksud melaksanakan dasar pendidikan negara yang berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Sumber: Akta Pendidikan 1996).
Oleh itu, rasionalnya dasar ini ditubuhkan adalah kerana keperluan dasar yang komprehensif Kementerian Pelajaran Malaysia telah pun mewujudkan dasar pendidikan awal untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun. Sehingga kini, masih belum ada satu dasar yang komprehensif yang menggabungkan asuhan dan didikan awal kanak-kanak berumur di bawah 4 tahun di negara ini.
Dasar asuhan dan didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan ini merupakan asas penting sebagai landasan jangka panjang dari pelaburan awal dalam pembangunan modal insan seperti yang digariskan di dalam Rancangan Malaysia ke-9. Kanak-kanak hari ini merupakan bakal pewaris dan modal insan negara di masa hadapan.  Penumpuan kepada peringkat umur ini merupakan salah satu strategi awal bagi mengasaskan pendidikan sepanjang hayat dengan menghasilkan insan berjiwa murni, berakhlak mulia, berdisiplin serta berkemahiran menangani perubahan teknologi dan sosioekonomi global.
Penjelasan secara khusus penyataan Dasar Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan ialah "Dasar Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan ialah Dasar  yang komprehensif bagi memastikan perkembangan yang holistik bagi semua kanak-kanak dari lahir hingga 4 tahun. Ia menjadi asas kukuh kepada pembangunan potensi kanak-kanak berlandaskan acuan Malaysia. Dasar ini adalah pengukuh serta pelengkap kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan sedia ada.
Penyataan Dasar ini penting memandangkan kanak-kanak merupakan kumpulan masyarakat yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan, ibu bapa, NGO dan pihak swasta supaya mereka dibesarkan mengikut acuan Malaysia ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi dan berperibadi mulia. Justeru semua pihak yang bertanggungjawab perlu menggembeleng tenaga, kepakaran dan sumber, menyediakan program, perkhidmatan, pendidikan dan latihan, perlindungan serta kemudahan yang dapat merangsang perkembangan positif kanak-kanak.

Objektif Dasar Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan adalah :
  • ·         Menyediakan asas kepada pembangunan potensi insan yang seimbang dan optimum berlandaskan acuan tersendiri dengan mengambil kira nilai-nilai tempatan dan amalan bijak antarabangsa;
  • ·         Menggalakkan kanak-kanak di bawah umur 4 tahun mendapat asuhan dan didikan yang berkualiti bagi merangsang perkembangan awal mereka yang sesuai mengikut kumpulan umur dari segi fizikal, bahasa, kognitif, sosio-emosi dan rohani dalam persekitaran yang selamat, sihat dan menyeronokkan.
  • ·         Membangunkan kurikulum yang komprehensif bagi perkembangan awal kanak-kanak secara menyeluruh meliputi pendidikan, pengasuhan, nutrisi dan kesihatan.
  • ·         Mewujudkan kemudahan infrastruktur dan persekitaran pembelajaran termasuk peralatan pembelajaran yang berkualiti bagi membolehkan pencapaian hasil pembelajaran yang positif.
  • ·         Menggalakkan penglibatan dan hubungan yang teguh antara ibu bapa, Kerajaan, pihak swasta dan juga badan bukan kerajaan serta kumpulan masyarakat setempat di dalam pengasuhan dan pendidikanawal kanak-kanak.
  • ·         Meningkatkan kesedaran awam terhadap keperluan memberikan pendidikan awal kanak-kanak dari lahir hingga ke 4 tahun sebagai asas utama pembangunan holistik mereka sebelum memasuki alam persekolahan formal.
  • ·         Memastikan kewujudan dan pelaksanaan sistem pemantauan dan penilaian keberkesanan program asuhan dan didikan awal kanakkanak.
Kumpulan sasar bagi Dasar ini adalah kanak-kanak di bawah umur 4 tahun khususnya bagi kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah dari kawasan luar bandar dan pinggir bandar. Mengikut statistik 2007, populasi kanak-kanak yang berumur di bawah 4 tahun adalah seramai 3,116,200 orang. Dari jumlah ini hanya 10% atau seramai 300,000 orang kanak-kanak yang dianggarkan menghadiri taman asuhan kanak-kanak di 8841 buah TASKA (iaitu 2,176 buah TASKA yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan di 6,665 buah TASKA yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat).
Dianggarkan juga daripada 8,841 buah TASKA ini hanya 30% atau 2,653 buah TASKA (berdaftar dan tidak berdaftar) terletak di kawasan luar bandar yang memberikan perkhidmatan pengasuhan kepada 80,000 orang kanak-kanak bawah umur 4 tahun. Daripada jumlah 2,653 buah TASKA ini, sebanyak 304 TASKA adalah dibawah kelolaan KEMAS dengan bilangan kanak-kanak seramai 3,654 orang.
Komponen dasar asuhan dan didikan Awal Kanak-kanak ini meliputi 4 komponen
utama iaitu :
I. Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan
II. Kemudahan Fizikal
III. Tenaga pendidik dan
IV. Penglibatan Ibu Bapa


Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan (Kurikulum PERMATA)

Dasar / Polisi / Akta
Fokus Umur (Tahun)
Convention On The Rights Of the Child – CRC
0 – 18
Child Act 2001 (Act 611)
0 – 18
Childcare Centers Act 1984 & Amedment 2007(Act 308)
0 – 4
Education Act 1996 ( Act 550 )
4 – 6
Education Act 1996 (Regulation of Special Education 1997)
4 – 6
Education Development Master Plan (PIPPT) 2006 - 2010
5 – 6
The Early Childhood Care & Development  (ECCD) Policy 2007
0 – 8
Child Health Services Policy – 1950
0 – 18
National Child Protection Policy (Act 574 & 521)
0 – 18
National Policy on Disable Child (article 21 of CRC)
0 – 18
National Policy on Indigenous Child (article 30 of CRC)
0 – 18
9th Malaysian Plan (2006 – 2010)
0 – 18

(Sumber: En. Azman b. Abd Salam 2009)






5.1 Pelan Tindakan Pelaksanaan Dasar
Pelaksanaan Dasar ini akan dijalankan secara berperingkat melalui fasa I dan fasa II mulai tahun 2009.
Fasa Pertama (Mulai 2009)
Penggunaan Kurikulum Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan di taska yang dikelolakan oleh kerajaan. Penggunaan Kurikulum Kebangsaan ini hanya terpakai bagi TASKA yang dikelolakan oleh Kerajaan atau badan-badan berkanun.
·         TASKA KEMAS yang dikelolakan oleh KEMAS, Kementerian Kemajuan Luar Bandar.
·         TASKA Perpaduan yang dikelolakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
·         TASKA Kementerian Pertahanan.
·         Pusat Anak PERMATA Negara.
Pemakaian kurikulum ini boleh dibuat secara pentadbiran, tanpa perlu meminda mana-mana undang-undang. Ini adalah kerana TASKA yang dikelolakan oleh agensi Kerajaan tidak tertakluk kepada mana-mana undang-undang. Seksyen 3 Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308) telah mengecualikan TASKA yang dikelolakan oleh kerajaan daripada pemakaian Akta tersebut.
Bagi TASKA yang dikelolakan oleh pertubuhan perbadanan dan perlu berdaftar di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984, seperti TASKA FELDA, pertubuhan perbadanan boleh memilih untuk menerima pakai Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan yang digubal oleh Kementerian Pelajaran.
5.2 Penubuhan Pusat PERMATA KEMAS
Fasa 1 akan melibatkan peningkatan taraf 304 taska sedia ada dari aspek
latihan, perjawatan, kemudahan dan peralatan.
·       
     Latihan
Bagi melaksanakan kurikulum PERMATA di semua Taska KEMAS sepenuhnya, latihan tambahan kepada pegawai dan kakitangan KEMAS sedia ada yang mengendali dan memantau Taska KEMAS perlu diadakan seperti berikut :
  • a)    kursus Jurulatih Utama kepada seramai 20 orang Jurulatih KEMAS
           dan Pegawai / Penyelia Prasekolah untuk menjadi 'Master Trainers'.
  • b)    kursus Orientasi Kurikulum PERMATA kepada seramai 840 orang Pengasuh dan Penyelia / Pegawai Pemantau. Ia akan di buat secara berperingkat dalam jangka masa 3 tahun.
  • c)    Mempertingkatkan tahap kelulusan akademik Pemaju Masyarakat sedia ada ke peringkat diploma di institusi pengajian tinggi secara jarak jauh pada hujung minggu.
  • d)    Latihan pra perkhidmatan kepada Pemaju Masyarakat baru yang akan dilantik.
  • e)    Dengan mengambil kira nisbah seorang pengasuh kepada 5 orang kanak-kanak dari itu program PERMATA KEMAS akan memerlukan seramai 818 orang pengasuh tambahan.
·         Kemudahan Premis dan Peralatan
Bagi menjadikan Taska KEMAS setaraf dengan Pusat PERMATA pengubahsuaian dan naik taraf dari segi ruang dan kemudahan serta peralatan pembelajaran perlu dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan.
·         Perjawatan
Pada masa kini jawatan Pemaju Masyarakat Taska KEMAS adalah bertaraf kontrak dengan tangga gaji disandarkan ke jawatan Gred N11. Dengan perancangan latihan dan cadangan peningkatan tahap kelulusan akademik, gred jawatan Pemaju Masyarakat Taska KEMAS ini perlu disesuaikan selaras dengan kelulusan akademik. Disamping itu KEMAS juga memerlukan penambahan jawatan sebanyak 818 orang di peringkat pemaju Masyarakat dan 356 orang di peringkat Pembantu Taska.

5.3 Penubuhan Pusat PERMATA Perpaduan
Sebagai permulaan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mencadangkan supaya Taska PERMATA Perpaduan ini dilaksanakan dalam lingkungan kawasan Rukun Tetangga di bandar dan pinggir bandar seperti di Pusat Aktiviti Perpaduan, pusat Rukun Tetangga dan bangunan Tabika Perpaduan. Bagi Fasa I sebanyak 105 Pusat PERMATA Perpaduan akan ditubuhkan iaitu 15 bagi tahun 2009,
30 buah Pusat pada tahun 2010 dan 60 buah Pusat pada tahun 2011.
·         Kemudahan Premis dan Peralatan
Kebanyakan bangunan dan premis sedia ada JPNIN perlu ditambah baik dan diubahsuai supaya setaraf dengan Pusat PERMATA. Memandangkan kini terdapat 415 buah bangunan yang sesuai dijadikan sebagai Taska PERMATA Perpaduan, pelaksanaannya perlulah dibuat secara berperingkat bersesuaian dengan kemampuan kewangan.


·         Perjawatan
Bilangan jawatan yang diperlukan bagi 105 Taska PERMATA Perpaduan ialah seperti berikut:
Tahun taska pendidik pembantu pendidik
TAHUN
TASKA
PENDIDIK
PEMBANTU PENDIDIK
2009
15
60
30
2010
30
120
60
2011
60
240
120
Jumlah
105
420
210

JPNIN mencadangkan supaya Pendidik dilantik pada Gred S27 dengan pembantunya pada Gred N11 berasaskan kelayakan akademik mereka.
·         Latihan
Pendidik di Pusat PERMATA Perpaduan di jangka perlu mengikuti latihan dalam bidang pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak selama 6 minggu.

5.4 Penubuhan pusat permata felda
FELDA bercadang untuk memperluaskan program PERMATA dengan menambah lima lagi Pusat iaitu di FELDA Jaya Raja Alias, FELDA Gugusan Besout, FELDA Gugusan Kertih, FELDA Ciku Kelantan dan FELDA Tenggaroh. Bangunan-bangunan sedia ada di lokasi-lokasi tersebut akan dinaik tarafkan supaya sesuai dengan keperluan program PERMATA.

5.5 Penubuhan pusat permata angkatan tentera malaysia (ATM)
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menubuhkan Pusat PERMATA di 5 buah lokasi iaitu Kompleks Perumahan Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur (Markas ATM), Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur (Markas Tentera Darat), Pangkalan TLDM Lumut (Markas Tentera Laut), Pangkalan Udara Subang (Markas Tentera Udara), dan Taskanita Kementerian Pertahanan (PUSPANITA). ATM seterusnya akan menambah 8 lagi Pusat PERMATA ATM iaitu 4 lokasi bagi Tentera Darat, 2 lokasi bagi Tentera Laut dan 2 lokasi bagi Tentera udara.

Fasa Kedua (Mulai 2010)
Pemakaian Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan Di Taska Swasta. Sekiranya pemakaian Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak ini akan dijadikan mandatori bagi semua taska, termasuklah yang ditubuhkan dan dikelolakan oleh pihak swasta, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 22 Akta Pendidikan 1996 bagi pemakaian Kurikulum Kebangsaan prasekolah di termasuk TADIKA Swasta, maka pindaan hendaklah di buat kepada Akta Pendidikan 1996 bagi memasukkan peruntukan yang serupa.
Dengan ini, Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak akan menjadi sebahagian daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan. Bagi maksud ini, pindaan yang substansif perlu dibuat kepada Akta Pendidikan 1996, khususnya yang melibatkan Bahagian IV yang memperuntukkan perkara-perkara berhubungan dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan.
Peruntukan mengenai kenyataan dasar yang disebut dalam perenggan 14 diatas adalah peruntukan membolehkan (enabling clause) yang memperuntukkan bahawa Menteri Pelajaran mempunyai kuasa untuk menggubal atau menetapkan serta bertanggungjawab bagi hal-hal yang berkaitan dengan kurikulum asuhan dan didikanawal kanak-kanak. Selain itu, kenyataan Dasar ini tidak menyentuh obligasi mana-mana pihak untuk melaksanakan kurikulum tersebut. Ini adalah kerana pelaksanaannya boleh dibuat secara pentadbiran.
Berhubung dengan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 yang memperuntukkan mengenai pengawalseliaan taska swasta, khususnya pendaftaran TASKA swasta, walaupun ia tidak memperuntukkan mengenai penggubalan dan pemakaian kurikulum di TASKA, namun pemakaian Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak adalah di peruntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Di Institusi) 1985 yang dibuat di bawah Akta tersebut. Memandangkan Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak yang digubal oleh Kementerian Pelajaran akan terpakai bagi semua TASKA, maka beberapa pindaan mungkin perlu dibuat kepada Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.
Bagi melaksanakan pemakaian Kurikulum Kebangsaan di semua TASKA swasta, adalah dicadangkan supaya pindaan kepada Akta Pendidikan 1996 dan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 dipinda pada tahun 2010.




6. HALA TUJU PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
Kepentingan pendidikan prasekolah sebagai penyediaan kepada kanak-kanak ke alam persekolahan telah banyak didokumentasikan. Menurut UNESCO, pendidikan awal kanak kanak memainkan peranan yang penting dalam perkembangan minda kanak-kanak dan dapat mengurangkan kekurangan sedia ada dan di masa depan. 26 Kajian dijalankan di Amerika Syarikat mendapati kanak-kanak yang mengikuti pendidikan prasekolah, lebih komited dalam pendidikan dan memperolehi pendapatan lebih tinggi pada masa hadapan

            Menyedari kepentingan pendidikan prasekolah serta skop Malaysia dalam meningkatkan kadar penyertaan prasekolah, yang mana kadar semasa ialah 67% bagi kanak-kanak yang berumur empat dan lima tahun, kami telah mengenalpasti pendidikan prasekolah sebagai salah satu fokus di bawah NKRA Pendidikan.


 Bagi meningkatkan kadar penyertaan dan kualiti pendidikan prasekolah, terdapat tujuh teras yang dikenalpasti bagi memperkasa tadbir urus dan pelaksanaan pendidikan prasekolah yang berkualiti.
  • Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan serta Bahagian Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Prasekolah. Jawatankuasa ini berperanan mengkaji semula dasar pendidikan prasekolah kerajaan dan prasekolah swasta yang berdaftar termasuk kurikulum, kriteria kelayakan, latihan dan penilaian, menyelaras semua prasekolah (kerajaan dan swasta) serta memantau dan menilai pendidikan prasekolah bagi menggubal dasar prasekolah masa depan. Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pelajaran (MOE), manakala ahli tetapnya terdiri daripada Ketua Pengarah KEMAS, Ketua Pengarah JPNIN dan Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta (MOE).
  • Pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bermula Januari 2010, yang dibangunkan dengan kerjasama agensi swasta. KSPK memberi penekanan dalam aspek berikut:
Ø  Menggabungkan prinsip pendidikan holistik yang berorientasikan kepada hasil pembelajaran
Ø  Memastikan proses pengajaran dan pembelajaran mengambil kira latar belakang pelajar yang berbeza
Ø  Mentakrifkan penggunaan bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin sebagai bahasa instruksional.
Ø  Melibatkan aktiviti-aktiviti yang menggalakkan pemahaman budaya serta aktiviti pelbagai bangsa.
Penambaikan kepada Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan ini merupakan satu inisiatif yang diterima baik
  • Menyeragamkan bantuan kepada murid prasekolah kerajaan. Ini termasuk penyeragaman pemberian geran per kapita kepada prasekolah MOE, KEMAS dan JPNIN serta menaikkan bantuan makanan bagi menampung inflasi.
  • Meningkatkan kualiti guru dan pembantu guru prasekolah. Program Peningkatan Kemahiran akan diberikan kepada lebih kurang 30,000 guru dan pembantu guru prasekolah sedia ada dan baru dalam tempoh tiga tahun. Selain itu, kriteria kelayakan minima untuk semua guru prasekolah ialah Ijazah sarjana muda. Sebagai tambahan, kerajaan juga akan membangunkan kerangka kecemerlangan pendidikan prasekolah, dengan menakrifkan sasaran yang perlu dicapai oleh prasekolah.
  • Menambah bilangan kelas prasekolah, khususnya bagi kanak-kanak berumur 4 tahun. Berdasarkan kepada kadar penyertaan semasa, disasarkan bilangan kelas prasekolah yang diperlukan dalam anggaran 10,000 kelas. Bagi mencapai sasaran ini, pihak kami akan meningkatkan kerjasama dengan pihak swasta.
  • Meningkatkan Perkongsian Pintar Kerajaan-Swasta dalam pendidikan prasekolah. Insentif baru akan diberikan kepada pengusaha presekolah swasta khususnya di kawasan miskin bandar dan di luar bandar. Manakala pihak swasta pula , perlu mematuhi standard yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan, termasuk sasaran yang ditetapkan.
  • Mewujudkan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan bagi menyelaras dan mengumpul maklumat berkaitan prasekolah termasuk maklumat asas pelajar, personel dan lokasi sekolah serta pencapaian prasekolah tersebut. Dengan sistem ini, pihak Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan akan dapat memantau dan menilai pelaksanaan prasekolah dengan lebih telus dan berkesan serta dapat merancang dasar-dasar baru bagi memantapkan

           

6.1 LITERASI DAN NUMERASI: MEMASTIKAN SEMUA KANAK-KANAK BERUPAYA       MENGUASAI KEMAHIRAN ASAS LITERASI DAN NUMERASI SELEPAS TIGA TAHUN MENGIKUTI PENDIDIKAN RENDAH
Sasaran yang ditetapkan agak sukar dicapai, walaupun untuk golongan dewasa kerana kurang daripada 30 negara mempunyai kadar literasi mencapai 100%. Namum, sasaran yang tinggi untuk kadar literasi dan numerasi amat penting. Ini disebabkan pada tahun 2008 sahaja, masih terdapat 54,000 pelajar Tahun 1 (anggaran 13% daripada jumlah enrolmen pelajar Tahun 1) yang tidak menguasai kemahiran literasi dan 117,000 (24%) pelajar dalam Tahun 4 yang tidak menguasai kemahiran numerasi yang ditetapkan.
            Kajian yang telah dijalankan oleh MOE menunjukkan bahawa faktor yang menyumbang kepada keciciran pelajar adalah disebabkan ketidakupayaan untuk menerima pelajaran yang diajar. Pada tahun 2008, hampir 32,000 pelajar cicir dari pelbagai peringkat persekolahan. Harapan kerajaan, sekiranya penguasaan kemahiran literasi dan numerasi asas diberi penekanan bermula daripada peringkat awal pendidikan, kadar keciciran pelajar akan dapat dikurangkan. Penguasaan kemahiran literasi dan numerasi pada peringkat awal pendidikan juga amat kritikal bagi seseorang kanak-kanak kerana penguasaannya akan menjadi lebih sukar di masa hadapan – kegagalan adalah kumulatif.

6.2 SENARIO KEWUJUDAN PRASEKOLAH ALAF BARU
Pendidikan prasekolah adalah pendidikan untuk membantu pertumbuhan dan perkembangan jasmani dan rohani anak didik di luar lingkungan keluarga sebelum memasuki pendidikan dasar, Pendidikan prasekolah juga bertujuan untuk membantu meletakkan dasar ke arah perkembangan sikap, pengetahuan, ketrampilan, dan daya cipta yang diperlukan oleh anak didik dalam menyesuaikan diri dengan lingkungannya dan untuk pertumbuhan serta perkembangan selanjutnya.

7. PENUTUP
Usaha memajukan kanak-kanak di peringkat awal merupakan asas pembentukan modal insan yang berkualiti yang memberi pulangan tertinggi dalam kemajuan ekonomi kerana ia merupakan cara berkesan untuk mengurangkan kemiskinan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Kanak-kanak yang dipelihara dan dididik hari ini perlu dilengkapkan bukan sahaja bagi menghadapi cabaran yang biasa masa kini tetapi juga kerumitan yang mungkin dihadapi masa akan datang. Oleh itu, mendidik anak-anak kita dengan betul adalah sesuatu yang perlu kita lakukan, bukan sahaja untuk faedah mereka tetapi juga bagi masa depan negara. Kualiti modal insan negara merupakan elemen penting bagi mencapai aspirasi negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020. Pembangunan modal insan perlu holistik, yang merangkumi usaha menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran termasuk sains dan teknologi, keupayaan keusahawanan selain menyemai sikap progresif, positif dan beretika melalui pelajaran, latihan dan pembelajaran seumur hidup.
Proses menyemai nilai-nilai yang baik dan kemahiran yang sesuai bagi pembentukan menyeluruh sebagai individu perlu bermula sejak kanak-kanak itu masih bayi. Kita tidak patut membiarkan aspek pembangunan kanak-kanak itu apabila mengetahui bahawa kualiti jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak boleh menghasilkan kesan positif jangka panjang. Kerajaan Malaysia sentiasa secara konsisten memperuntuk sejumlah besar wang bagi bajet pembangunan untuk kemajuan pendidikan bagi memastikan sasaran dalam pelan pendidikannya mencapai matlamat.
Pada 2007, kanak-kanak berumur lima dan enam tahun yang mendapat pendidikan pra sekolah adalah tinggi iaitu 67 peratus dan dijangka ia akan meningkat kepada 80 peratus menjelang akhir 2010. Bagaimanapun, peratusan ibu bapa yang menggunakan pusat jagaan kanak-kanak bagi kanak-kanak yang berumur empat tahun ke bawah adalah rendah. Kaji selidik pada 2006 yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara mendapati hanya 10.6 peratus ibu bapa menggunakan pusat itu berbanding 5.9 peratus bagi mereka yang tinggal di luar bandar.
Objektif program Permata adalah bagi mengisi jurang pembangunan, pendidikan dan jagaan kanak-kanak sejak mereka lahir hingga mencapai umur lima tahun dalam usaha untuk menyediakan jagaan berterusan sebelum mereka memasuki pra sekolah dan sistem persekolahan formal. Oleh itu, falsafah dan kurikulum disamping proses pembelajaran dan pengajaran perlu selari bagi mencapai pembangunan berterusan. Ibu bapa perlu lebih mesra dalam memandu kanak-kanak dalam menemukan mereka dengan persekitaran.
Dengan dunia tanpa sempadan dan proses globalisasi, wujud keperluan bagi menyediakan kanak-kanak untuk menjadi warganegara global dan mereka perlu diingatkan mengenai padang permainan mereka sebagai orang dewasa tidak terhad kepada tanah air mereka. Mereka perlu peka sejak awal mengenai kepelbagaian budaya, berurusan dan berinteraksi dengan yang lain merentasi dunia melalui teknologi maklumat dan komunikasi dan mengenai keupayaan untuk bekerja di dunia yang berbeza.
Oleh itu, adalah penting bagi memastikan semua sistem dalam masyarakat bermula dari ibu bapa, keluarga dan masyarakat dan sistem sekolah, untuk bekerjasama sepenuhnya bagi memaksimumkan potensi kanak-kanak itu dalam persekitaran holistik merangkumi lingkungan intelektual, kebudayaan dan kerohanian

RUJUKAN
Akta Kanak-Kanak. 2009.  Diperoleh pada Ogos 14, 2010 daripada             http://leeannkang.tripod.com/home.htm
Akta Kanak-Kanak. 2009.  Diperoleh daripada http://leeannkang.tripod.com/home.htm (14 Ogos 2010).
Akta Pendidikan. 1996. Diperolehi pada 14 Ogos, 2010 daripada                                         http://jpt.mohe.gov.my/RUJUKAN/akta/akta%20pendidikan%201996.pdf
Akta Pendidikan. 1996. Diperolehi daripada http://jpt.mohe.gov.my
Ali Ab. Ghani.2008. Konvensyen Nasional Pipp Kedua : Membangun         Modal             Insan. Bahagian Perkembangan Kurikulum Kementerian Pelajaran      Malaysia

Bernard Van Leer. 2009. About the Bernard van Leer Foundation. Diperoleh dari              http://www.bernardvanleer.org/about

Jabatan Perdana Menteri. 2009. Dasar Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan. Selangor: PERMATA Negara.
Kamarul Azman b. Abd Salam. 2009. Kursus Asuhan Dan Pendidikan Awal Kanak-         kanak dalam nota kuliah satu (1): Sejarah Perkembangan Asuhan dan       Pendidikan Awal Kanak-kanak di Malaysia. Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Kurikulum Permata. 2008. Panduan Pendidikan Awal Kanak-kanak 0-4 Tahun.    Perak: Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara Universiti          Pendidikan Sultan Idris.
Mastura Badzis. Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal Umur Berasaskan         Binaan Kurikulum yang Integratif. Malaysia

Pendidikan Awal Kanak-Kanak : Pra 3101. Diperolehi  daripada 
http://zulprasekolah.blogspot.com/2009/01/pra-3101-asas-pendidikan-awal            kanak.html/RUJUKAN/akta/akta%20pendidikan%201996.pdf
Permata Negara, Dasar Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan,     Jabatan Perdana Menteri. 2008. Enterprise Building. Selangor.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Prasekolah
http://www.kemas.gov.my/7#                                            
http://www.moe.gov.my/?id=134&lang=my
http://www.permata.jpm.my/buletin/28.html
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0224&pub=Utusan_Malays            &sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm
http://www.google.com.my/search?q=kualiti+jumlah+kelas+pendidikan+awal+kanak      kanak&ie=utf-8&oe=utf-8&aq=t&rls=org.mozilla:en-US:official&client=firefox-a
http://www.e-kedai.net/en/prasekolah/tadika-berkualiti.html
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0118&pub=Utusan_Malays            &sec=Pendidikan&pg=pe_08.htm
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0204&pub=Utusan_Malays            &sec=Rencana&pg=re_07.htm
www.mindamadani.my/index2.php?option=com_content


0 comments:

Post a Comment

Cerita Menarik