Pengajaran Berbentukan Nota Elektronik Dan Laman Web



Tahap kefahaman di kalangan pelajar seni bina terhadap pengajaran berbantukan nota elektronik bagi subjek sejarah seni bina


Pendahuluan


Penggunaan teknologi komputer dalam bidang pendidikan telah lama diperkenalkan di negara-negara maju seperti Amerika dan Eropah sejak awal tahun 60 an lagi. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam menikmati arus pembangunan yang berasaskan komputer ini. Dalam konteks pendidikan, penggunaan teknologi komputer bukan hanya mampu membantu tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, tetapi berpotensi sebagai alat untuk mengayakan lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran bagi hampir semua mata pelajaran. Penciptaan mikro komputer pada awal tahun 70 an telah memberi kesan yang mendalam kepada penggunaan teknologi tersebut dalam bidang pendidikan di Malaysia (Norhashim et al. 1996). Menurut Norhashim et al. (1996) penggunaan komputer dalam bidang pendidikan memberi kesan yang besar dan bermakna terhadap kualiti pembelajaran iaitu :
  1. memudahkan penghasilan bahan-bahan pengajaran secara lebih efisien.
  2. membenarkan pendidik menyediakan pendekatan pengajaran baru yang lebih efektif.
  3. memudahkan penggunaan pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran seperti multimedia, simulasi dan aktiviti kumpulan menerusi aplikasi sistem rangkaiannya.

Konsep Pengajaran Bantuan Komputer


Menurut Norhashim et al. (1996) konsep pengajaran bantuan komputer adalah mengenai pembahagian bahan pembelajaran dan kemahiran dalam unit kecil supaya ianya mudah difahami. Unit kecil ini pula akan dipersembahkan semula dengan gaya yang menarik dalam bentuk bingkai untuk dipaparkan di skrin monitor. Pengajaran atau pembelajaran di bantu komputer boleh dihubungkan secara dalam talian. Semasa proses pembelajaran wujud interaksi di antara pelajar dan komputer.  Bahan pengajaran melalui komputer boleh disediakan dalam bentuk cakera keras atau bahan ini tadi dilancarkan ke laman web. Bagi proses pembelajaran yang berasaskan laman web belajar akan berinteraksi dengan komputer melalui Internet. Penginteraksian menerusi penjanaan bunyi dan suara melalui sentuhan skrin dan pergerakan tetikus akan mewujudkan satu suasana pembelajran yang menarik.

Penggunaan Internet di dalam pendidikan


      Aspek teknologi telah digabungkan dalam kurikulum sekolah sebagai satu daya usaha untuk membentuk, menyemai dan memupuk minat serta sikap yang positif terhadap perkembangan teknologi. Persekitaran pembelajaran di sekolah seharusnya diubah daripada sesuatu yang berdasarkan memori kepada yang berpengetahuan, berpemikiran, kreatif dan penyayang dengan menggunakan teknologi terkini (KPM 1997). Pendedahan kepada teknologi komputer dan Internet di sekolah akan membolehkan fleksibiliti dan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan (KPM 1997). Penggunaan Internet yang begitu meluas dalam bidang perniagaan dan komunikasi, akan memudahkan pelaksanaannya dalam bidang pendidikan. Peluang pembelajaran melalui Internet lebih bersifat terbuka dan luas kerana ia tidak tertakluk kepada lokasi tertentu,sebaliknya ia meliputi seluruh dunia. Secara tidak langsung ia juga menjurus kepada kelompok sasarannya sendiri seperti pelajar-pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (Web Sutera 1999). Kemudahan Internet juga telah memperkayakan lagi sumber-sumber maklumat yang dahulunya hanya dipersembahkan melalui kaedah konvensional sahaja, iaitu buku, majalah, surat khabar, rencana tertentu, jurnal dan buletin (Web Sutera 1999). Melalui Internet, sumber-sumber tersebut turut disediakan dalam bentuk World Wide Web. Sumber-sumber sebegini biasanya disediakan oleh pihak institusi pengajian tinggi, badan-badan pemikir dan pusat penyelidikan dalam bidang tertentu. Ianya bukan sahaja sesuai untuk dijadikan bahan rujukan kepada para pelajar sekolah, kolej dan universiti, malah ia juga turut oleh dimanfaatkan oleh semua golongan orang yang berminat (Web Sutera 1999).

     Menurut laporan yang disediakan oleh Riley (1996) komputer adalah merupakan asas di dalam pendidikan di Amerika dan Internet adalah merupakan papan hitam untuk masa hadapan. Seperti mana yang dinyatakan oleh Jonassen et al. (1999) pembelajaran melalui laman web akan membawa kepada suasana yang menggerakkan, mencabar dan menyemarakkan suasana pembelajaran pelajar yang akan membentuk hubungan dengan literasi komputer bukan sebagai objektif tetapi untuk mencapai objektif yang lebih besar.

     Satu kajian tentang penggunaan perisian pengajaran dan pembelajaran berasaskan laman Web yang disepadukan subjek Geografi telah dijalankan terhadap 114 pelajar yang mengikuti kursus di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1998 (Habibah 1999).Kajian ini telah dijalankan oleh Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM (PJJ USM) untuk melihat keberkesanan penggunaan perisian pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan laman web. Hasil dari kajian ini menunjukkan bahawa ramai pelajar yang mendapat markah yang tinggi datangnya dari kumpulan pelajar yang belajar menggunakan perisian yang berasaskan laman Web berbanding kaedah konvensional.

Dalam satu kajian lain menunjukkan proses pembelajaran berasaskan laman web dapat mengurangkan sebahagian besar masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut (Hannaford 1993). Dapatan kajian mendapati:
  1. Pelajar mengambil masa yang kurang untuk mempelajari sesuatu.
  2. Menambahkan tumpuan perhatian  kepada tugas dan motivasi.
  3. Pelajar mempunyai sikap positif terhadap penggunaan komputer di kelas.
  4. Komputer tidak menyekat kreativiti pelajar.
  5. Faedah penggunaan komputer bergantung kepada persekitaran dan cara komputer digunakan.
  6. Komputer berjaya mengajar pelajar yang terdahulunya tidak boleh diajar dan tidak berminat untuk belajar.

Kajian – kajian yang dijalankan Atkinson (1984) ; Burns dan Bozeman (1981) ; Forman (1982) ; Hartley (1978) ; Kearsley, Hunter dan Seidel (1983) ; Kulik et al. (1984) ; Niemiec and Walberg (1984) ; dan Visonhaler dan Bass (1972) terhadap pembelajaran berbantu komputer mendapati keputusan seperti berikut :
       i.        Pencapaian pelajar PBK mungkin meningkat, tetapi yang pasti ia dapat mempertingkatkan keberkesanan tutorial individu.
      ii.        PBK menjadikan pembelajaran lebih menarik dan memuaskan.
     iii.        Pelajar yang memiliki sikap positif terhadap PBK melalui kekerapan kehadiran, lebih menumpukan perhatian dan menambah motivasi.
     iv.        PBK memberikan kekuatan kepada pembelajaran subjek sejarah dan subjek yang memerlukan fakta.
      v.        Program PBK yang digunakan dalam proses pembelajaran amat berkesan dalam meningkatkan pencapaian pelajar dalam proses pembelajaran.

Pendekatan Multimedia

Laman web yang dibina untuk proses pembelajaran subjek sejarah seni bina ini akan diaplikasikan dengan penggunaan multimedia interaktif. Menurut Von Wodtke (1993) , multimedia pada masa kini merujuk kepada integrasi media seperti teks, bunyi, grafik, animasi, video ke dalam sistem komputer. Menurut Feldman (1994), multimedi ialah manipulasi dan intergrasi pelbagai media seperti data, teks, grafik, imej, video, dan bunyi dalam suatu persekitaran digital. Menurut Jonassen (1996), persembahan multimedia adalah lebih attention – getting dan attention holding kerana ia adalah multimod, yakni rangsangan lebih daipada satu deria pada satu masa. Maurer (1993) dan Thalmann (1993) penggunaan multimedia dalam pendidikan akan memainkan peranan yang lebih ketara apabila dibandingkan dengan media sedia ada kerana pelajar yang menggunakan multimedia kini lebih cepat untuk mencapai maklumat yang sesuai apabila diapplikasikan dengan komputer melalui perhubungan maklumat mengikut konsep hiperteks. Terdapat banyak manafaat yang boleh membantu proses pembelajaran sekiranya teknologi multimedia interaktif diapplikasikan dalam pembelajaran subjek sejarah seni bina berasaskan laman web.
Menurut Zulkifli (1998), ciri – ciri kelebihan yang boleh dimanfaatkan daripada teknologi multimedia interaktif adalah seperti berikut :

  1. Proses pembelajaran menjadi aktif.
  2. Menggunakan gambar dan interaktif
  3. Menyediakan laluan pelbagai hala yang boleh dikawal sendiri oleh pengguna untuk menyampai maklumat.
  4. Memberi kecekapan dalam pengurusan masa pembelajaran dan mengurangkan masa latihan dan pengajaran.
  5. Mengawal pelbagai jenis data.

Pendekatan Teori


Dalam proses pembelajaran di dalam bilik kuliah, teori dan strategi pembelajaran yang betul adalah penting dalam memastikan maklumat yang disampaikan akan dapat diterima dengan baik oleh pelajar. Begitu juga di dalam proses pembelajaran berasaskan laman web, teori dan strategi pembelajaran yang betul adalah di antara faktor penting di dalam menentukan keberkesanannya.Teori pembelajaran akan menjadikan sesuatu laman web itu lebih efektif untuk berfungsi sebagai tutor kepada pelajar yang menggunakan kaedah pembelajaran ini.  Di antara teori yang akan diterapkan di dalam pendekatan pembelajaran berasaskan komputer ini ialah teori pembelajaran Gagne. Teori ini menyatakan terdapat beberapa perbezaan atau tahap dalam pembelajaran (Gagne 1992). Kesan dari itu, ia memerlukan pelbagai cara pengajaran yang berbeza. Gagne (1992) mengenal pasti lima kategori pembelajaran iaitu:
  1. maklumat lisan
  2. kemahiran intelek
  3. strategi kognitif
  4. kemahiran motor dan
  5. sikap

     Gagne (1992) juga telah menggariskan beberapa garis panduan bagi strategi pembelajaran bagi melengkapkan proses kognitif. Pengkaji mengambil garis panduan ini untuk dijadikan strategi pengajaran yang digunakan untuk pembinaan laman web ini iaitu :
  1. Menarik perhatian
  2. Memaklumkan objektif pembelajaran
  3. Merangsang untuk mengingat pelajaran yang lepas
  4. Menyediakan rangsangan/pendorong pembelajaran
  5. Menyediakan panduan pembelajaran – secara semantik
  6. Mendapatkan kemajuan
  7. Menyediakan maklum balas
  8. Menilai pencapaian pembelajaran
  9. Tingkatkan pemindahan dan mengekalkannya
 (Gagne 1992)

Implikasi Terhadap Reka bentuk Pembelajaran menggunakan Laman Web


Reka bentuk pengajaran untuk laman web perlulah dibuat dengan perancangan yang teliti. Reka bentuk pengajaran laman web juga perlulah bersandarkan kepada suatu teori pembelajaran yang terpilih dan bersesuaian. Teori pembelajaran di sebalik reka bentuk pengajaran laman web akan memberikan impak pembelajaran yang lebih sempurna dan berkesan. Berlandaskan kepada itulah, saya memilih teori yang disyorkan oleh Gagne sebagai pendokong terhadap pembentukan pengajaran laman web saya. Langkah-langkah yang perlu diambil dalam proses pembentukan pengajaran laman web ialah :

  1. pemilihan teori pembelajaran.
  2. pembentukan carta alir,
  3. rekabentuk papan cerita dan penulisan skrip, dan
  4. pembentukan laman web.

Tujuan Kajian


Kajian ini dijalankan untuk melihat tahap kefahaman di kalangan pelajar seni bina terhadap pengajaran berasaskan laman web bagi subjek sejarah seni bina. Pendekatan ini akan dapat membantu pelajar untuk mempelajari sesuatu konsep atau topik mengikut tahap dan kemampuan yang sesuai dengan diri pelajar. Laman web ini juga direka untuk memberi pautan kepada pelajar tentang maklumat lain yang boleh membantu untuk memahami sesuatu topik itu dengan lebih berkesan. Laman web yang dibina dalam kajian ini boleh juga dijadikan sebagai bahan bantu mengajar yang baik untuk pelajar – pelajar seni bina dari institusi pengajian tinggi yang lain seperti di universiti.

Objektif Kajian


Kajian ini dibuat adalah untuk :
  1. Menentukan perhubungan di antara kesesuaian kaedah pengajaran berasaskan laman web dengan kefahaman pelajar terhadap subjek sejarah seni bina.
  2. Meninjau perhubungan di antara sikap pelajar terhadap kaedah pembelajaran berasaskan laman web dengan kefahaman pelajar terhadap subjek sejarah seni bina.
  3. Mengenalpasti keberkesanan penggunaan kaedah PBK dalam menentukan kefahaman pelajar terhadap subjek sejarah seni bina.

Reka bentuk Kajian


Kajian ini dijalankan dengan menggunakan pendekatan kuantitatif dengan kaedah tinjauan untuk mendapatkan maklum balas dari pelajar seni bina terhadap penggunaan laman web dalam pembelajaran tajuk seni bina China bagi subjek sejarah seni bina semester enam. Seramai lima belas pelajar semester enam kursus diploma seni bina dari Politeknik Port Dickson dan lima belas pelajar semester enam dari Politeknik Ungku Omar akan dipilih secara rawak untuk dijadikan sebagai sampel kajian. Tajuk yang akan dipelajari oleh kedua – dua kumpulan pelajar ini ialah sejarah seni bina China. Bagi topik sejarah seni bina pelajar akan melalui proses pembelajaran secara konvensional dan berasaskan laman web.
    
     Kaedah tinjauan akan digunakan untuk melihat persepsi pelajar ke atas  keberkesanan penggunaan laman web dan melihat minat pelajar terhadap penggunaan laman web dalam pengajaran dan pembelajaran subjek sejarah seni bina . Pengumpulan data akan dibuat pada masa yang ditetapkan di Politeknik Port Dickson dan Politeknik Ungku Omar. Instrumen yang digunakan bagi mendapatkan data dari sampel ialah melalui soal selidik.

Kepentingan Kajian


Kajian ini penting kerana ianya dapat memberi pendekatan baru kepada pihak pentadbiran politeknik yang menghadapi masalah kekurangan pensyarah. Pendekatan ini akan dapat membantu pensyarah untuk menggunakan pendekatan yang kreatif dan berinovasi dalam menyampaikan maklumat kepada pelajar khususnya pelajar seni bina. Perbandingan tahap kefahaman pelajar berdasarkan pendekatan konvensional dan pendekatan kaedah PBK adalah penting kerana ianya akan menunjukkan kaedah manakah  yang akan memberikan kesan yang lebih baik dalam proses pembelajaran subjek sejarah seni bina.

     Pandangan dan respon daripada pelajar juga dapat memberi maklum balas yang boleh dijadikan ukuran tentang keberkesanan penggunaan kaedah PBK dalam subjek sejarah seni bina bagi meningkatkan minat pelajar seni bina khususnya dalam proses mempelajari subjek ini. Kajian ini juga akan dapat menggalakkan implementasi penggunaan kaedah PBK secara meluasnya pada masa depan bagi membolehkan pelajar seni bina mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan cepat. Kajian ini juga diharapkan akan dapat memberikan galakan khususnya kepada pensyarah di politeknik untuk menggunakan pendekatan kaedah PBK dalam proses pengajaran mereka. Diharapkan kajian ini akan dapat memberi idea baru kepada Jabatan Pendidikan Teknikal supaya mendedahkan penggunaan kaedah ini dalam pengajaran kepada pensyarah politeknik khususnya bagi mengurangkan masalah di politeknik iaitu kekurangan pensyarah seni bina.   

Analisa Data


Data - data yang diperolehi dari sampel telah dianalisa dengan menggunakan korelasi Pearson dan menghasilkan dapatan di bawah :
      i.        Berdasarkan kepada anggaran kekuatan perhubungan antara dua pembolehubah dalam Jadual 1.1 wujud korelasi yang tinggi di antara kesesuaian pembelajaran berasaskan laman web dengan kefahaman subjek sejarah seni bina dengan nilai r = 0.657. Nilai korelasi ini adalah signifikan dengan nilai a = 0. (sila rujuk lampiran B)
Jadual 1.1 Anggaran kekuatan perhubungan antara dua pembolehubah

Pekali korelasi                                                             Kekuatan Perhubungan

0.00 – 0.20                                                                  boleh diabaikan
0.20 – 0.40                                                                  rendah
0.40 – 0.60                                                                  sederhana
0.60 – 0.80                                                                  tinggi
0.80 – 1.00                                                                  sangat tinggi
Sumber : Statisitik Penyelidikan dalam Pendidikan dan Sains Sosial, 1997 :
Alias Baba
     ii.        Berdasarkan kepada anggaran kekuatan perhubungan antara dua pembolehubah dalam Jadual 1.1 wujud korelasi yang sederhana di antara sikap pelajar ke atas pembelajaran berasaskan laman web dengan kefahaman subjek sejarah seni bina dengan nilai r = 0.463. Nilai korelasi ini adalah signifikan dengan nilai a = 0.01 (sila rujuk lampiran C)
Regresi Linear Mudah
Satu analisa regresi linear mudah telah dibuat untuk menganalisa anggaran indek untuk kedua – dua pembolehubah bebas dengan indek untuk pembolehubah bersandar. Analisis regresi digunakan untuk menjelaskan sumbangan pembolehubah bebas terhadap jumlah varians pembolehubah bersandar. Analisa data menunjukkan dapatan di bawah iaitu :
      i.        Bagi perhubungan di antara kesesuaian pembelajaran berasaskan laman web dengan kefahaman subjek sejarah seni bina analisa data menunjukkan wujud perhubungan yang linear di antara kedua – dua pembolehubah dimana peningkatan kesesuaian kaedah pembelajaran akan meningkatkan kefahaman pelajar dalam proses pembelajaran subjek sejarah seni bina. Persamaan regresi untuk menganggarkan kefahaman pelajar dalam proses pembelajaran subjek sejarah seni bina berdasarkan perhubungan dengan kesesuaian pembelajaran berasaskan laman web ialah :
(Sila rujuk lampiran D)
Kefahaman subjek sejarah seni bina = 0.592 Kesesuaian pembelajaran berasaskan laman web + 7.589

Seperti yang dijangkakan pertambahan kesesuaian kaedah pembelajaran akan meningkatkan kefahaman pelajar ke atas subjek sejarah seni bina. Nilai pekali korelasi di antara kesesuaian kaedah pembelajaran dan kefahaman subjek sejarah seni bina ialah 0.657, t(28) = 4.608, r = 0.000 (Sila rujuk lampiran E). Dengan anggaran sebanyak 41 peratus dari varians kefahaman pelajar dalam proses pembelajaran subjek sejarah seni bina ditentukan oleh kesesuaian kaedah pembelajaran dengan laman web dibina oleh perhubungan secara linear.

     ii.        Bagi perhubungan di antara sikap pelajar ke atas pembelajaran berasaskan laman web dengan kefahaman subjek sejarah seni bina analisa data menunjukkan wujud perhubungan yang linear di antara kedua – dua pembolehubah dimana peningkatan sikap positif dalam diri pelajar ke atas pembelajaran berasaskan laman web akan meningkatkan kefahaman pelajar dalam proses pembelajaran subjek sejarah seni bina. Persamaan regresi untuk menganggarkan kefahaman pelajar dalam proses pembelajaran subjek sejarah seni bina berdasarkan perhubungan dengan sikap pelajar ke atas pembelajaran berasaskan laman web ialah : (Sila rujuk lampiran F)
Kefahaman subjek sejarah seni bina = 0.526 Sikap pelajar ke atas pembelajaran berasaskan laman web + 9.506

Seperti yang dijangkakan pertambahan sikap positif pelajar ke atas pembelajaran berasaskan laman web akan meningkatkan kefahaman pelajar ke atas subjek sejarah seni bina. Nilai pekali korelasi di antara sikap pelajar ke atas pembelajaran berasaskan laman web dan kefahaman subjek sejarah seni bina ialah 0.463, t(28) = 2.761, r = 0.010 (Sila rujuk lampiran G). Dengan anggaran sebanyak 21 peratus dari varians kefahaman pelajar dalam proses pembelajaran subjek sejarah seni bina ditentukan oleh sikap pelajar ke atas pembelajaran berasaskan laman web dibina oleh perhubungan secara linear.

Perbincangan

Objektif yang diwujudkan di dalam kajian ini ialah untuk meninjau dari persepsi pelajar perhubungan di antara sikap pelajar terhadap pembelajaran berasaskan laman web dengan kefahaman pelajar terhadap subjek sejarah seni bina. Kajian ini juga cuba untuk menentukan perhubungan di antara kesesuaian kaedah pembelajaran berasaskan laman web dengan kefahaman pelajar terhadap subjek sejarah seni bina. Perhubungan yang wujud di antara sikap pelajar dan kesesuaian kaedah pembelajaran dengan kefahaman pelajar akan dapat menentukan keberkesanan kaedah pembelajaran berasaskan laman web. Seterusnya keberkesanan kaedah pembelajaran berasaskan laman web akan dapat menentukan tahap kefahaman dalam proses pembelajaran subjek sejarah seni bina.

     Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar diploma seni bina Politeknik Port Dickson dan Politeknik Ungku Omar bersikap positif terhadap pembelajaran berasaskan laman web. Dapatan kajian juga menunjukkan kesesuaian yang positif untuk kaedah pembelajaran berasaskan laman web untuk subjek sejarah seni bina. Dapatan kajian juga menunjukkan wujud korelasi di antara sikap pelajar dan kesesuaian kaedah dengan kefahaman pelajar untuk subjek ini. Keputusan kajian menunjukkan bahawa min secara keseluruhannya cenderung kepada persepsi positif terhadap peningkatan proses pemahaman terhadap proses pembelajaran berasaskan laman web. Berdasarkan dapatan di atas dapatlah dinyatakan di sini bahawa pelajar lebih mudah untuk memahami subjek sejarah seni bina dengan kaedah pembelajaran berasaskan laman web. Dengan ini jelaslah bahawa penggunaan kaedah PBK sebagai media pengajaran telah dapat meningkatkan proses pemahaman isi pengajaran dengan lebih jelas dan mudah.

     Kajian ini juga telah dapat membuktikan keberkesanan pembelajaran dengan laman web dari persepsi pelajar. Analisa data menunjukkan wujud satu regresi yang linear di antara kefahaman pelajar dengan sikap dan kesesuaian kaedah pembelajaran ini. Data – data yang diperolehi menunjukkan sikap positif yang ditunjukkan oleh pelajar dalam menjalani proses pembelajaran berasaskan komputer telah meningkatkan kefahaman mereka terhadap subjek sejarah seni bina. Data deskriptif juga menunjukkan wujud min yang hampir sama di antara sikap pelajar terhadap proses pembelajaran dan kefahaman pelajar terhadap subjek sejarah iaitu min bagi sikap pelajar ialah 20.8333 dan min bagi kefahaman pelajar ialah 20.4667.

     Persepsi pelajar dari kajian ini juga menunjukkan proses pembelajaran yang sesuai akan meningkatkan kefahaman pelajar terhdap subjek yang dipelajari. Dari kajian ini menunjukkan wujud satu regresi yang linear di antara kefahaman pelajar dengan kesesuaian kaedah pembelajaran. Analisa data juga menunjukkan wujud korelasi yang jelas di antara kaedah pembelajaran berasaskan laman web dengan kefahaman pelajar terhadap subjek sejarah seni bina. Data deskriptif juga menunjukkan wujud min yang hampir sama di antara kesesuaian kaedah pembelajaran dan kefahaman pelajar terhadap subjek sejarah iaitu min bagi kesesuaian kaedah pembelajaran ialah 21.7667 dan min bagi kefahaman pelajar ialah 20.4667.

     Kajian ini juga telah dapat membuktikan keberkesanan pendekatan multimedia dalam proses pembelajaran. Pendekatan ini akan membentuk suasana pembelajaran yang interaktif dengan menggunakan laman web. Kajian yang dijalankan oleh Oouz (1998) dan Norhayati (1999) menunjukkan bahawa kadar pembelajaran dan pemahaman manusia dapat dipertingkatkan dengan menggunakan cara yang interaktif dalam suatu persekitaran pembelajaran. Persekitran ini akan membenarkan manusia melihat, mendengar, bertindakbalas dan beraksi.

Cadangan Perlaksanaan


Pihak pengurusan politeknik – politeknik Malaysia perlu melatih pensyarah – pensyarah menghasilkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berinovasi dan berteknologi tinggi. Program harus diseragamkan dengan mengambilkira kemampuan infrastruktur yang terdapat di politeknik. Bagi memudahkan perlaksanaan kaedah pembelajaran berasaskan komputer di politeknik  - politeknik Malaysia beberapa cadangan diberikan di bawah.

Persediaan Pensyarah


Bagi memudahkan penerapan kaedah PBK dalam proses pembelajaran di politeknik pensyarah boleh menggunakan model ASSURE yang diperkenalkan oleh Heinich et al. (1996). Melalui model ini pensyarah dikehendakki untuk menganalisa kemampuan pelajar yang akan menggunakan kaedah PBK dalam proses pembelajaran mereka. Kecekapan pelajar mengendalikan komputer dan Internet dengan baik memberi kesan secara tidak langsung kepada keberkesanan kaedah PBK.
     Menurut Heinich et al. (1996) lagi pensyarah juga perlu menyatakan dengan jelas objektif pembelajaran yang perlu dicapai oleh pelajar apabila melalui proses pembelajaran dengan kaedah PBK. Melalui laman web yang disediakan objektif pembelajaran bagi setiap tajuk yang di ajar perlu dinyatakan. Dengan menyatakan objektif bagi setiap tajuk yang dipelajari maka ini akan memudahkan pelajar untuk mencapai objektif pembelajaran.
     Seterusnya Heinich et al. (1996)  menyatakan melalui model ASSURE pensyarah perlu memilih media pengajaran yang sesuai. Bagi memastikan proses pembelajaran berasaskan laman web dapat berjalan dengan lancar maka pensyarah perlu mengenalpasti kemudahan akses Internet di setiap politeknik. Pensyarah juga perlu menentukan keupayaan LCD projektor yang terdapat di politeknik bagi memudahkan proses penyampaian di dalam bilik kuliah. Keupayaan komputer yang terdapat di setiap politeknik juga menentukan keupayaan pelajar untuk akses maklumat dari Internet. Bilangan dan saiz grafik di dalam laman web yang dibina untuk proses pembelajaran perlu ditentukan oleh keupayaan komputer.
     Model ASSURE juga menyatakan keupayaan pensyarah untuk mengurus media dengan baik adalah penting dalam menentukan kelancaran proses pembelajaran berasaskan laman web. Gabungan kepelbagaian media dengan berdasarkan pendekatan multi media akan mewujudkan satu suasana pembelajaran yang menarik untuk proses pembelajaran yang berasaskan laman web.
     Heinich et al. (1996) menyatakan akan kepentingan untuk melibatkan pelajar dalam proses pembelajaran . Laman web yang di bina perlulah bersifat interaktif bagi memudahkan pelajar untuk terlibat secara aktif dalam proses pembelajaran. Interaksi yang berlaku di antara pelajar dan komputer semasa proses pembelajaran akan memudahkan lagi pelajar untuk memahami perkara yang dipelajari. 
 Seterusnya melalui model ASSURE pensyarah juga perlu menyediakan latihan dan ujian bagi memastikan pelajar memahami apa yang telah dipelajari. Melalui latihan dan ujian yang disediakan pelajar akan dapat menilai secara kendiri tahap pemahaman mereka terhadap apa yang telah dipelajari.

Sokongan pentadbir

Pihak pentadbiran politeknik serta kementerian pendidikan perlu membantu pensyarah dengan menyediakan kemahiran kepada mereka untuk menyediakan laman web bagi proses pembelajaran. Pusat – pusat pengajian tinggi harus mewajibkan bakal guru dan pensyarah yang dilatih untuk mengambil kursus literasi komputer. Seterusnya pihak pengurusan politeknik perlu memastikan setiap pensyarah yang ada di politeknik akan mempunyai kemahiran literasi komputer yang baik. Syarikat – syarikat komputer boleh membekalkan komputer secara kontrak di politeknik bagi memastikan lebih banyak komputer dapat disediakan untuk kegunaan pelajar. Kursus jangka pendek juga perlu disediakan oleh pihak pentadbir politeknik bagi memastikan kemahiran pensyarah sentiasa meningkat berdasarkan kepada perkembangan pesat teknologi komputer.

Rumusan

Sebagai kesimpulan kajian ini telah dapat membuktikan keberkesanan proses pembelajaran berasaskan laman web untuk subjek sejarah seni bina. Penggunaan komputer dengan pendekatan multimedia telah dapat meningkatkan lagi mutu pembelajaran di politeknik. Dengan kaedah ini para pensyarah akan dapat meningkatkan lagi inovasi mereka dalam proses penyampaian maklumat. Rangsangan yang diberikan oleh komputer dalam proses pembelajaran dapat meningkatkan minat pelajar khususnya untuk subjek teori. Teknik pengajaran yang disediakan oleh pensyarah secara tidak langsung mempengaruhi setiap insan yang dididik. Kaedah ini akan menyempurnakan kaedah pembelajaran yang telah digunakan oleh pensyarah sebelum ini. Justeru itu kajian ini boleh dijadikan sebagai panduan oleh pensyarah seni bina yang mengajar subjek teori di politeknik – politeknik Malaysia untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran mereka. Kajian ini boleh dijadikan sebagai panduan kerana ianya merangkumi dua dari empat politeknik yang ada di Malaysia yang menawarkan kursus seni bina.

Seterusnya kaedah ini akan dapat membantu pihak politeknik menyelesaikan masalah kekurangan pensyarah yang wujud di politeknik kerana kaedah pembelajaran ini berupaya untuk menggabungkan kelas semasa proses pembelajaran.  Pelajar juga akan mempunyai kebebasan untuk mengikuti proses pembelajaran di luar dari waktu kuliah. Penggunaan kaedah ini dijangkakan bukan sahaja sesuai untuk subjek teori tetapi mempunyai potensi yang lebih besar untuk subjek yang berasaskan praktikal. Bagi subjek praktikal setiap langkah kerja yang perlu dikuasai oleh pelajar boleh divideokan dan dilancarkan ke laman web. Adalah dijangkakan kaedah ini akan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan program pendidikan jarak jauh untuk masa yang akan datang. Dengan kaedah ini diharapkan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan satu masyarakat yang mahir dengan kemahiran teknologi maklumat akan secara tidak langsung telah dapat direalisasikan.

 Penyelidikan yang menggunakan kaedah yang sama boleh dibuat ke atas pelajar diploma seni bina di politeknik-politeknik yang lain pada masa yang akan datang. Penglibatan lebih ramai pelajar diploma seni bina akan memberikan gambaran yang lebih jelas tentang keberkesanan proses pembelajaran yang berasaskan komputer. Kajian yang menggunakan kaedah yang sama boleh digunakan ke atas pelajar kursus – kursus lain di politeknik-politeknik Malaysia. Keputusan kajian ini juga akan dapat memberikan panduan kepada pensyarah - pensyarah politeknik untuk meningkatkan proses pembelajaran yang berasaskan komputer di politeknik – politeknik Malaysia.

0 comments: