PENGAJARAN LITERASI: AWAL MEMBACA DAN MENULIS BAHASA MELAYU


TOPIK 

Proses dan perkembangan pembelajaran bahasa dan 2M adalah satu proses yang berterusan (continuous. Secara terperinci huraikan Perspektif Pendekatan Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK) dari perspektif:

a. Teori dan konsep
b. Langkah-langkah menggunakan KGBK
c. Kekuatan dan kelemahan KGBK

d. Isu dan cabaran KGBK

Cadangan Jawapan :

1.0 Pendahuluan

Menurut Atan Long (1976), membaca adalah proses menterjemahkan bentuk penulisan kepada bacaan atau mendapatkan makna daripada bahan bertulis itu.  Ini bermakna tanpa memahami apa-apa yang dibaca belum dianggap mahir membaca.  Menurut Dr. Koh Boh Boon, membaca dapat membantu perkembangan kognitif dan afektif seseorang murid Justru itu  kemahiran membaca perlu dikuasai diperingkat awal persekolahan bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan agar mereka dapat berkembang secara menyeluruh dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, sesuai dengan Falsafah Pendidikan Negara.   Sekiranya seseorang murid tidak boleh membaca seperti rakan-rakan sebaya mereka, mereka bukan sahaja akan ketinggalan dalam pelajaran, malah mereka juga akan merasa rendah diri, hilang keyakinan diri dan kurang minat belajar.   Justeru, itu, Program Pemulihan Bacaan perlu dilakukan terhadap murid yang tidak dapat menguasai kemahiran ini. Menurut Margaret et.al (1989), guru haruslah memulakan pengajaran mengikut tahap yang sesuai.

Menurut Isahak Haron (2004) terdapat dua mazhab besar tentang cara kanak-kanak mula membaca; Beliau mendefinisikan bacaan sebagai tentang bagaimana kanak-kanak mengenal dan mentafsir simbol-simbol tulisan dan memberi makna kepadanya. Mazhab pertama merujuk kepada perspektif linguistik yang berasaskan kepada anggapan bahawa bahasa terdiri daripada ‘bunyi’ dan adunan bunyi yang menjadi perkataan.
Mazhab ini mengajar kanak-kanak membaca bermula dengan menghafal simbol-simbol yang mewakili bunyi asas ini (fonem), iaitu huruf abjad dan bunyi-bunyi huruf tersebut. Kaedah ini juga dikenali sebagai pendekatan fonik. Di Malaysia kaedah ini sinonim dengan kaedah abjad iaitu kaedah mengenal nama-nama huruf yang digunakan dalam tulisan bahasa Melayu. Kaedah ini menegaskan hafalan-hafalan yang agak kurang bermakna bagi kanak-kanak.

Mazhab kedua berasaskan kepada teori psikologi kognitif yang beranggapan bahawa kanak-kanak belajar bahasa melalui ‘perkataan-perkataan’ dan ayat yang bermakna kepadanya. Murid-murid membaca bermula dengan melihat seluruh perkataan dan ayat yang bermakna.Kaedah ini dikenali sebagai kaedah seluruh perkataan (whole word) atau kaedah pandang dan sebut. Variasi lanjutan daripada kaedah ini adalah kaedah frasa, kaedah ayat dan kaedah cerita (Isahak Harun, 1989).

Pandangan daripada mazhab-mazhab ini mencetuskan kepada kaedah pengajaran awal asas membaca yang pelbagai di Malaysia. Antara kaedah yang telah digunakan di Malaysia ialah kaedah campuran, Kaedah DBP, Pendekatan Bacaan Asas Pusat Perkembangan Kurikulum (PEBAS), Kaedah Atan Long, Kaedah cerakin, kaedah fonetik, kaedah eklektik, kaedah abjad, dan Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK) .

2.0 Teori dan Konsep Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK)

Terdapat pelbagai cara dan kaedah untuk mengajar kanak-kanak membaca di antaranya ialah kaedah abjad (Isahak, 1 990), kaedah suku kata (Safiah, 1983; Zaidah, 1975), kaedah fonik (Smith, 1988) dan kaedah seluruh perkataan (Cambell, 1995; Durkin , 1987; Doman dan Doman, 1994) .

Setiap kaedah tersebut mempunyai kelemahan dan kebaikannya.Walaubagaimanapun bagi memperolehi pengajaran awal bacaan yang lebih berkesan adalah sebaik-baiknya guru menggabung kesemua ciri-ciri yang terbaik kaedah-kaedah mengajar membaca (Isahak, 1990). Dengan cara ini juga guru dapat mempelbagai cara pengajaran disamping meningkatkan kreativiti pengajaran.

 Antara kaedah yang  yang diperkenalkan ialah kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK) ialah kaedah yang menggabungkan proses mengajar mengenal bunyi huruf dengan membina dan membaca perkataan serta dapat membaca frasaatau ayat. Selain itu, kaedah ini merupakan satu alternatif kepada kaedah abjad atau fonik dan kaedah seluruh perkataan.Kaedah ini merupakan kaedah yang mudah dan berkesan untuk memulih murid yang tidak boleh atau lemah membaca.

Kaedah  ini dihasilkan sebagai satu kaedah mengajar 2M iaitu membaca dan munulis. Ia adalah aktivti mengenal bunyi bebapa huruf vokal dan konsonan. Ia juga bertujuan untuk membolehkan kanak-kanak mengenal suku kata dan seterusnya membina dan membaca perkataan, frasa atau ayat.

Secara amnya Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) merupakan satu  kaedah yang sistematik, mengambil kira sistem ejaan Bahasa Melayu yang fonemik dan suku kata yang jelas. Proses pengajaran membaca Bahasa Melayu peringkat awal untuk kanak-kanak boleh dibuat dengan  menggabungkan pengajaran bunyi beberapa huruf vokal asas ( a, i , u ) satu huruf konsonan ‘b’ untuk membentuk suku kata : b+a=ba, b+i=bi, b+u=bu, untuk membentuk perkataan seperti babu, babi. baba dan terus dibunyikan [baba], [babi], [babu] dan bentuk frasa yang bermakna /i bu/ + /baba/ = /ibu baba/.

Melalui pendekatan ini, murid tidak perlu menghafal semua huruf a b c hingga x y z, sebaliknya unsur membunyikan huruf dengan membina dan membaca perkataan boleh digabungkan dalam satu masa pengajaran membaca. Guru boleh memperluas gabungan huruf vokal dan konsonan dengan memilih beberapa perkataan suku kata terbuka yang bermakna secara ansur maju.

Penekanan kaedah ini membolehkan pembinaan dan susunan bahan pengajaran dan pembelajaran serta peningkatan kemahiran membaca secara developmental.
Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) ini telah dipelopori oleh Profesor Dato’ Dr. Isahak Harun yang dinyatakan melalui pembentangan kertas kerja di KONPEN IV anjuran Persatuan Suluh Budiman di Kuantan, pada 8 hingga 10 Disember 1979. Beliau telah memperkenalkan kaedah ini sebagai cadangan untuk mengatasi masalah membaca kebanyakan murid di sekolah rendah, terutamanya murid di sekolah kebangsaan yang tidak boleh membaca. Melalui pembentang kertas kerja ini maka kertas kerja ini telah diterbitkan dalam Jurnal Dewan Bahasa, jilid 24 bil. 7, Julai 1980.

Kaedah ini turut menjadi salah satu kaedah pilihan (ke-4) dalam buku panduan am, kurikulum baru sekolah rendah (KBSR) terbitan Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1981. Seterusnya kaedah ini telah dijadikan asas untuk panduan guru Bahasa Malaysia (KBSR) Tahun Satu untuk sekolah SRKJ Cina dan SRKJ Tamil pada Jun 1981. Namun begitu, kaedah ini tidak digunakan di sekolah kebangsaan untuk mengajar bacaan asas pada Tahun Satu. Selain itu juga, kaedah KGBK digunakan oleh tadika swasta di Bandar-bandar seluruh Malaysia dengan menggunakan buku ‘Kegiatan Tadika 2 Bahasa Malaysia, Mari Membaca’ yang diterbitkan oleh Fajar Bakti (Isahak Harun, 2004).

Asas Prinsip Kaedah Gabungan Bunyi-Kata

Menurut Azman Wan Chik (1993), kaedah abjad dianggap sebagai kaedah nama-nama huruf yang digunakan di dalam tulisan Melayu, iaitu huruf a hingga z. Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Murid-murid diajar menghafal nama-nama huruf secara mengikut turutan bermula dari a hingga z. Kemudian kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au, oi. Selepas itu, huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan. Pemulihan khas bertujuan untuk memberi ‘rawatan’ yang diharapkan dapat ‘mengubati’ pelajar lambat ini (Chua Tee Tee dan Koh Boh Boon, 1992). Seterusnya satu kaedah yang tepat perlulah dikenalpasti bagi mengatasi masalah ini. 

Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK) bagi pengajaran awal Bahasa Melayu berbeza dengan ‘pendekatan fonik/abjad’ atau ‘seluruh perkataan’ dalam bahasa Inggeris. KGBK diasaskan berdasarkan ciri-ciri istimewa yang terdapat dalam Bahasa Melayu.

a) Ia mengambil kira sistem ejaan Bahasa Melayu yang sistematik dan fonemik: maksudnya, setiap huruf mewakili satu bunyi, kecuali huruf e, di mana terdapat dua bunyi.Misalnya, huruf a bunyinya ‘aa’, huruf b bunyinya ‘bh’, c bunyinya ‘ch’, d bunyinya ‘dh’, m bunyi ‘mm’ dan sebagainya. Hanya e mempunyai dua bunyi, iaitu e taling seperti dalam perkataan ‘emak’, ‘enam’ dan e pepet seperti dalam ‘ekor’ dan ‘elok’.

b) Suku kata Bahasa Melayu jelas, misalnya ‘ba tu’,‘ka ki’, ‘ma kan’, ‘ka kak’, ‘i tu’, ‘i tik’, ‘se ko lah’, ‘jam ba tan’, ‘bu nga’, ‘ta nya’ ‘pe nyu’ ‘su ngai’ ‘pan tai’, kam pung’, ‘per ja la nan’ dan sebagainya.

c) Tatabahasa Bahasa Melayu lebih mudah berbanding dengan tatabahasa Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Misalnya dalam Bahasa Melayu tidak ada perbezaan bentuk bagi gender (laki- laki atau perempuan) untuk menyatakan ‘banyak’ (plural),untuk menyatakan perbezaan waktu (past tense, present tense) seperti dalam bahasa Inggeris.
Dengan itu pengajaran membaca Bahasa Melayu peringkat awal untuk kanak-kanak (atau kepada sesiapa saja yang mula belajar Bahasa Melayu) boleh dibuat dengan menggabungkan :

a) pengajaran ‘bunyi’ asas (fonem) beberapa huruf vokal ‘a i u’ dan bunyi satu atau dua huruf konsonan, misalnya bunyi ‘b’, untuk membentuk bunyi suku kata ‘ba bi bu’, dan

b) terus membaca perkataan mudah ‘baba, bibi, bubu, ubi, ibu abu’, dan frasa seperti ‘bubu baba’, ‘ibu abu’ yang bermakna, dalam satu atau dua pelajaran saja.

Apabila suku kata digabungkan seperti bahagian (a) dan (b) di atas, iaitu mengabung ‘bunyi’ dengan terus membentuk perkataan dan membacanya, kita sudah mengguna apa yang dipanggil kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK), Kaedah ini dinamakan Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK), kerana dalam satu set pengajaran dan pembelajaran, ‘bunyi huruf dan suku kata terus digabung menjadi ‘perkataan’ dan mudah untuk dibaca.

Melalui kaedah ini murid diberi asas kemahiran yang mudah dan teratur untuk

a) mengesan (attack) sesuatu perkataan, dengan melihat bunyi hurufnya dan suku katanya, jika ia tidak tahu membacanya. Ini penting untuk memberi kemahiran atau kecekapan mereka membaca sendiri perkataan baru. Contohnya setelah murid boleh membaca suku kata ‘ba bi bu‘ dan ‘ca ci cu’ dan boleh membaca perkataan ‘cucu, baca, cuci’ mereka sendiri akan boleh membaca ‘cuba’ dan ‘bucu’.

b) membaca perkataan yang bermakna secara serentak dalam suatu pelajaran. Dengan ini mereka mendapati proses belajar membaca itu memberi makna dan berguna. Kajian telah menunjukkan bahawa kebanyakan murid bermotivasi untuk mencuba lagi membaca setelah mereka mula tahu membaca beberapa patah perkataan begini.

Melalui Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) akan memberikan beberapa kelebihan, antaranya 

1. murid tidak perlu diajar mengenal dan menghafal semua huruf abjad secara berturutan dari a, b, c sampai x, y, z seperti dalam kaedah abjad/fonik. Ini mengambil masa panjang (2, 3 bulan di setengah sekolah). Murid juga tidak perlu diajar semua suku kata terbua seperti ba bi bu be be bo, ca ci cu ce ce co, dsb’ yang mengambil masa sebulan lagi, sebelum murid boleh diajar membaca perkataan dan ayat.

2. murid tidak perlu diajar ‘mengecam seluruh perkataan’ (pandang dan sebut perkataan) dan menghafal bentuknya, kemudian ‘cerakin’ perkataan untuk mengenal huruf dan bunyi huruf, seperti dalam kaedah seluruh perkataan. Dalam KGBK kanak-kanak terus ‘membina’ dan ‘membaca perkataan’ berdasarkan suku kata yang mereka belajar dalam satu pelajaran itu.

3. Perkembangan unit-unit pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat secara sistematik berturutan (sequential) berkembang, di mana pelajaran yang lalu terus diguna untuk belajar membaca pelajaran yang baru. Setiap unit baru berkembang berasaskan unit sebelumnya. Misalnya, setelah murid belajar membaca ‘b dan ba bi bu’ dan perkataan-perkataan daripada suku kata ini seperti ‘ibu baba, ubi abu’, murid boleh disambung berikutnya untuk belajar bunyi konsonan ‘k’ pula; membentuk dan membunyikan suku kata ‘ka ki ku’ dan terus membaca perkataan atau frasa ‘kuku kaki aki’. Jika dicantum pula dengan suku kata ‘ba bi bu’ yang dipelajari sebelumnya, murid boleh membina dan membaca perkataan dan ayat seperti ‘buku abu; abu buka buku’. Fasa pertama kanak-kanak menguasai membina dan membaca perktaan suku kata terbuka; fasa kedua membina perkataan suku kata tertutup (kv +kvk seperti ‘ka sut’, ‘bu kit’ atau kvk+kv) seperti ‘lam pu’ ‘lembu’ dan sebagainya. Fasa berikutnya murid belajar jenis-jenis perkataan suku katanya diftong (seperti sungai, pulau) dan imbuhan seperti ber me, mem seperti ‘berjalan’, ‘memberi’, melawan’ dan sebagainya.

4. Murid juga terus membaca ayat mudah dalam sesuatu pelajaran itu. Kaedah ini merupakan satu kaedah yang amat bersistematik. Menurut Isahak Harun (2004) perlunya mengambil kira perkara-perkara berikut;

a) Sistem ejaan Bahasa Melayu adalah ‘alphabetic’ dan fonemik. Hal ini menjelaskan bahawa adanya hubungan yang rapat antara simbol atau huruf dan bunyinya. Hal ini berbeza dengan sistem ejaan Bahasa Inggeris yang bercelaru.

b) Suku kata ejaan Bahasa Melayu adalah mudah dan jelas, jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain.

Seperti yang kita maklum, murid-murid Melayu telah mempunyai perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu yang mencukupi untuk mereka belajar membaca dalam Bahasa Melayu. Begitu juga dengan murid Cina dan India. Rakyat Malaysia yang sudah mempunyai perbendaharaan kata Bahasa Melayu terutamanya diperingkat sekolah menengah. 

Seterusnya hal ini menjelaskan bahawa Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) ini tidak sesuai digunakan untuk mengajar bahasa kedua seperti Bahasa Inggeris kerana ianya amat berbeza dengan bahasa pertama. Unsur membunyikan huruf dengan membina dan membaca perkataan boleh digabungkan dalam sesuatu pengajaran-pembelajaran membaca. Susunan bahan-bahan adalah secara ‘developmental’, kumulatif dan sistematik. Hal ini memudahkan guru-guru mengajar dan memudahkan murid belajar membaca dan menulis. Pendekatan gabungan dan susunan bahan secara kumulatif tidak mungkin berlaku dalam pendekatan abjad/ fonik, pendekatan seluruh perkataan atau pendekatan eklektik yang digunakan pada masa ini. 

Gabungan mengenal bunyi huruf dengan membina dan membaca perkataan dalam satu atau dua pelajaran, dan murid terus membaca perkataan, frasa atau ayat. Hal ini yang membezakan KGBK dengan kaedah-kaedah lain yang berpegang kepada dua mazhab utama awal membaca. Selain itu, KGBK dibina atas keistimewaan ejaan Bahasa Melayu yang fonemik dan sistematik dan suku kata yang jelas. Di samping itu juga, pemilihan susunan abjad yang diajar telah dikenalpasti melalui kajian yang menyeluruh berdasarkan kepada yang mudah, dekat dengan kanak-kanak dan tidak mengelirukan.

Ciri-ciri Utama Kaedah Gabungan Bunyi Kata

a) Murid-murid tidak perlu diajar semua abjad dalam sistem ejaan Bahasa Melayusebelum mereka boleh diajar membaca.

b) Menggabungkan kemahiran bunyi beberapa abjad, suku kata dan membacaperkataan/ frasa/ ayat bermakna dalam satu atau dua pelajaran.

c) Gabungan dibuat secara sistematik, dan tiap-tiap pelajaran berikutnya beransur-
ansur memperkembangkan kemahiran sebelumnya.

d) Kad imbasan amat diperlukan untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti
yang disarankan.

e) Untuk peneguhan kemahiran murid-murid membaca mereka perlu diberi bahan-
bahan bacaan yang berperingkat-peringkat supaya mereka dapat melatih membacasendiri. Bahan-bahan bacaan yang sesuai perlu disediakan untuk murid-murid sentiasa dekat dengan membaca.

3.0 Langkah-langkah menggunakan KGBK

Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) bermula  daripada sistem ejaan bahasa Melayu yang berasaskan bunyi dan suku katanya jelas. Setiap huruf mewakili hanya satu bunyi, kecuali huruf e yang mewakili dua bunyi iaitu bunyi e “pepet” dan e “taling” (√©). Satu suku kata ditandai oleh satu vokal. Huruf vokal yang mudah dan kerap digunakan ialah a, i, dan u.

Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) ini juga harus dirmula dengan memperkenalkan huruf vokal kepada murid, diikuti dengan pengenalan huruf konsonan, pembentukan suku kata, dan pembentukan perkataan yang bermakna dalam satu atau dua pelajaran sahaja. Murid akan dapat membaca beberapa perkataan dengan cepat serta faham apa-apa yang dibaca.

Gambar rajah dibawah menunjukkan carta perlaksanaank Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK):


Langkah-langkah menggunakan Kaedah Gabungan Bunyi Kata adalah seperti yang berikut:

1. Murid diperkenalkan dengan bunyi vokal. Dua atau tiga huruf vokal diperkenalkan dalam pelajaran pertama. Pengenalan hendaklah dilakukan berdasarkan susunan a, i, u dan dengan pelbagai teknik latih tubi yang menarik agar murid dapat mengingat bunyi vokal itu. Vokal e dan o hanya diperkenal setelah murid dapat membaca perkataan asas dengan menggunakan vokal a, i, u dan beberapa konsonan.

2. Kemudian perkenalkan bunyi satu huruf konsonan. Dahulukan konsonan yang mudah dan dapat membentuk perkataan yang bermakna seperti konsonan k yang dapat membentuk perkataan “kaki” dan “kuku” atau konsonan b yang dapat membentuk perkataan “baba” dan “bubu”. Lakukan latih tubi yang pelbagai agar murid dapat mengingat bunyi konsonan itu.

3. Gabungkan bunyi konsonan itu dengan huruf vokal supaya menjadi suku kata ka, ki, ku. Lakukan latih tubi sebutan suku kata ini dengan pelbagai teknik, termasuk teknik nyanyian.

4. Cantumkan suku kata-suku kata itu supaya menjadi beberapa perkataan yang bermakna seperti ka + ki menjadi “kaki” dan ku + ku menjadi “kuku”.

5. Adakan permainan mencantum huruf menjadi suku kata dan mencantum suku kata menjadi perkataan. Pelbagaikan jenis permainan agar murid berasa seronok belajar.

6. Sebagai peneguhan, adakan latih tubi menulis huruf, suku kata dan perkataan dengan pelbagai cara. Pengajaran penulisan hendaklah berdasarkan peringkat-peringkat dan teknik yang betul, termasuk penggunaan kertas bergaris dan alat tulis yang sesuai.

7. Dalam pelajaran kedua, ulang penggunaan vokal a, i, u dan perkenalkan satu atau dua konsonan lagi. Gunakan pola pengajaran yang sama, tetapi dengan teknik yang pelbagai, iaitu huruf → suku kata → perkataan g aktiviti penulisan. Sebagai contoh, suku kata dan perkataan yang berikut dapat dibaca oleh murid setelah dua konsonan diperkenalkan:

ka + ki → kaki
ku + ku → kuku
ba + ba → baba
bu + bu → bubu
ba + bi → babi
bi + bi → bibi
bu + ku → buku
u + bi → ubi
i + bu → ibu
a + bu → abu

8. Buatkan ayat dan latih tubi murid membacanya. Contohnya: ibu baba, ibu abu, bubu abu, kuku kaki abu.

9. Murid boleh melakukan aktiviti membina perkataan tambahan berdasarkan suku kata yang telah dipelajari. Dalam pelajaran seterusnya guru dapat mencipta beberapa ayat lagi untuk dibaca oleh murid. Contohnya: buku abu dan abu buka buku. Jika konsonan s telah diperkenalkan, ayat “abu suka buku” dapat dicipta. Perkataan “abu” dapat digantikan dengan “baba”, “ibu” dan lain-lain sebagai latih tubi.

10. Seterusnya, di samping mengulang bunyi vokal guru boleh memperkenalkan dua atau tiga konsonan lagi seperti t, m, d. Ikuti pola penyampaian pelajaran yang lalu. Antara perkataan yang dibina dan dibaca ialah dada, muda, uda, mata, mama, titi, tadi, madu. Dengan menggunakan perkataan-perkataan ini dan perkataan yang terdahulu, lebih banyak frasa dan ayat dapat dibina dan dibaca oleh murid.

11. Dalam pelajaran keenam, suku kata tertutup dapat diperkenalkan. Dengan ini lebih banyak perkataan dan ayat dapat dibentuk, dibaca dan ditulis.

12. Dalam pelajaran ketujuh, guru boleh memperkenalkan konsonan r, p, n dan melaksanakan pengajaran seperti pola pengajaran sebelumnya.

13. Dalam pelajaran kelapan guru boleh memperkenalkan bunyi vokal e dan o. Bina suku kata yang menggunakan vokal o dahulu. Adakan latihan perbezaan bunyi e pepet dengan e taling dengan pasangan perkataan seperti emak-esok, emas-ekor, beras-besok. Latihan membaca frasa dan ayat seperti “kotak besar itu di situ”. Pelbagai permainan yang berkaitan dengan huruf, suku kata dan perkataan diadakan.

14. Pelajaran seterusnya memperkembang kemahiran murid membunyikan huruf lain seperti l, g, h, f, j, c, y, z, w, q, dan x.

15. Seterusnya perkenalkan bunyi gabungan ng, sy, gh dan ny dalam beberapa pelajaran.

16. Nama huruf diajarkan secara tidak langsung. Penggunaan papan tulis sangat penting. Huruf besar disisipkan dari semasa ke semasa. Latihan mengeja dilakukan sebagai pengukuhan setelah murid boleh membaca. Latihan menulis dianggap sebagai pe Selain itu,

Adalah perlu diingatkan bahawa prinsip yang perlu diikuti ketika menggunakan kaedah ini adalah;

i. Memperkenalkan terlebih dahulu vokal dan konsonan yang kerap digunakan dalam ejaan Bahasa Melayu, kemudian baru perkenalkan yang kurang digunakan. Hal ini bermakna tidak perlu memperkenalkan huruf dan bunyi mengikut susunan biasa dalam abjad (a-z).

ii. Susunan nama-nama huruf dan cara menulis huruf besar boleh dibuat secara tidak langsung kemudian.

iii. Tidak perlu memisah-misahkan dengan jauh dan jelas antara langkah mengajar bunyi huruf, bunyi suku kata dan sebutan perkataan. Boleh digabungkan dalam satu pelajaran.

iv. Memerlukan latihan membunyikan dan memandang huruf, suku kata dan perkataan tertulis. Dengan itu penggunaan kad imbasan dan papan hitam amat diperlukan.

v. Kaedah ini juga cuba untuk mengurangkan penggunaan gambar kerana mengganggu tumpuan murid membunyi dan memandang lambing-lambang bunyi, suku kata dan perkataan dengan cepat. Hal ini bertujuan supaya murid-murid mendapat kemahiran-kemahiran asas untuk membaca sendiri perkataan-perkataan baru dan seterusnya bahan-bahan bacaan secara berperingkat-peringkat.

vi. Latihan dan ulangan yang munasabah dan beragam amatlah penting untuk mengukuhkan kemahiran.

vii. Latihan menulis bolehlah dilakukan selepas tiap-tiap latihan membaca. Latihan menulis berdasarkan perkataan-perkataan yang dibaca supaya boleh meneguhkan kemahiran membaca.ngukuhan.

Pendekatan ‘gabungan’ dan susunan bahan secara kumulatif seperti dalam Kaedah Gabungan Bunyi Kata ini tidak mungkin berlaku dalam ‘pendekatan abjad/fonik’, ‘pendekatan seluruh perkataan’, atau ‘pendekatan eklektik’ yang sering  diguna oleh guru pada masa sekarang untuk mengajar subjuk Bahasa Inggeris. Pendekatan Kaedah Gabungan Bunyi Kata ini menyatakan bahawa  tidak perlu dipisahkan ‘sequence’ antara mengenal ‘bunyi-huruf’  dengan  membina dan membaca ‘perkataan’.

Pendekatan Kaedah Gabungan Bunyi Kata ini juga  tidak  memulakan pengajaran membaca dengan memperkenalkan  ‘perkataan’ (whole word) dahulu dan kemudian ‘mencerakinkannya’ menjadi suku kata dan ‘bunyi’ setiap huruf.  Ini menyusahkan dan melambatkan kebolehan kanak-kanak membaca .  Dalam kaedah abajd / fonik, murid  perlu belajar dahulu nama huruf dan bunyi semua huruf  a  b  c…sampai …x  y  z sebelum mereka  diajar membaca perkataan, frasa atau ayat. Ini juga melambatkan dan menyusahkan setengah murid  dan murid ini akan lebih mudah tercicir.

Kebanyakkan guru berpegang kepada kepercayaan bahawa jika murid ‘tidak kenal huruf  abjad, murid itu tidak boleh diajar membaca Bahasa Melayu. Begitu juga guru yang mengajar Bahasa Inggeris. Kepercayaan ini didapati daripada pengalaman mereka diajar dan belajar membaca di zaman kanak-kanak dahulu, iaitu mengenal huruf abjad a, b, c sehingga x, y, z dahulu sebelum membaca. Kebanyakkan Ibu bapa juga percaya anak-anak mereka hendaklah diajar a b c dahulu sebelum boleh diajar membaca. Maka kadang-kadang  timbul konflik di antara guru yang mengajar kanak-kanak membaca mengguna Kaedah Gabungan Bunyi Kata (dan kanak-kanak itu boleh membaca ), tetapi ibu bapa masih tidak puas hati dan mahu anak mereka diajar   a  b  c Sampai x  y  z  mengikut susunan dalam abjad.  Dalam pengajaran 2M kita perlu juga mengajar kemahiran berbahasa lain, iaitu mendengar dan bertutur.

Guru hendaklah membina keempat-empat kemahiran berbahasa ini. Walau pun terdapat pendekatan gabung jalin sebagai ‘pendekatan am’ untuk mengajar bahasa, ada kaedah dan teknik  tertentu khusus untuk mengajar kanak-kanak ’membaca dan menulis’ pada peringkat permulaan.  Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK) ini digubal secara bersistematik untuk mengajar kanak-kanak membaca dan menulis, supaya mereka lebih mudah membaca. Kemahiran murid mendengar dan bertutur  terselit secara informal semasa guru dan murid, murid dan murid berbual, mendengar dan bercakap. Guru tentu sekali harus mengajar murid menyebut sesuatu perkataan itu dengan sebutan standard. Guru hendaklah juga selang selikan aktiviti pengajaran  membaca dengan membaca kuat (read aloud) buku kepada murid, atau menyanyi semasa mengajar membaca dan menulis, supaya murid  seronok belajar.

Pendekatan  Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK)  menyatakan bahawa kita boleh menggabungkan proses mengajar ‘mengenal bunyi huruf’ dengan ‘membina dan membaca perkataan’ dalam satu atau dua pelajaran, dan kanak-kanak terus membaca perkataan, frasa atau ayat. Ia  dibuat  kerana  keistimewaan yang terdapat dalam sistem ejaan Bahasa Melayu itu sendiri, yang mana sistem ejaannya fonemik dan sistematik,  suku katanya  jelas, dan tatabahasanya yang mudah berbanding dengan sistem ejaan yang celaru dan tatabahasa yang lebih kompleks seperti yang terdapat dalam Bahasa Inggeris.

Semua pihak haruslah diingat bahawa Kaedah Gabungan Bunyi Kata adalah merupakan fasa pertama untuk memudahkan murid mula belajar membaca. Setelah asas awal membaca dikuasai oleh murid, dan murid boleh membaca sendiri ayat dan cerita mudah, maka fasa seterusnya ialah  murid diberi dorongan dan peluang membaca berbagai bahan bacaan: cerita, puisi, dan buku pilihan,  supaya mereka  terus membaca sendiri, dan tertanam tabiat dan minat  membaca. Jika ini berlaku, ia akan menjadi bekalan dan asas untuk ‘pendidikan sepanjang hayat’.

4.0  Kekuatan dan Kelemahan Kaedah Bunyi Kata (KGBK)

Setiap kaedah mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Begitu juga dengan kaedah Bunyi Kata ini. Antara kekuatan kaedah Bunyi Kata ini yang dapat dilihat adalah :
      i.        Ianya amat  bersesuaian  dengan sistem ejaan Bahasa Melayu yang fonik dan suku kata yang jelas. Prinsip ini bermaksud setiap huruf abjad a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u v y z mewakili satu bunyi fonem kecuali huruf ‘e’.  Contohnya huruf ‘b’ bunyinya ‘bh’, ‘c’ bunyinya ‘ch’, ‘d’ bunyinya ‘dhh’, ‘m’ bunyi ‘mm’ dan sebagainya. Hanya huruf ‘e’ mempunyai dua bunyi fonem, iaitu ‘e’ taling seperti dalam perkataan ‘emak’, ‘enam’ dan ‘e’ pepet seperti dalam ‘ekor’ dan ‘elok’.  Berikut adalah contoh bunyi fonem bagi setiap huruf abjad dari a hingga  z.  Kaedah ini juga amat membantu murid kerana murid-murid tidak terbeban untuk menghafal huruf abjad.
   iii.        Selain itu susunan bahan boleh dilaksanakan secara developmental, kumulatif dan sisitematik , pekara ini amat memudahkan guru untuk mengajar dan murid mudah untuk belajar.

   iv.        Kaedah ini juga mampu menarik minat murid untuk belajar dan murid kurang berasa jemu kerana murid belajar bunyi huruf, suku kata, perkataan dan frasa dalam satu pelajaran. Kaedah ini amat sesuai dilaksanakan kepada murid-murid yang lemag didalam membaca.
    v.        Kaedah ini tidak dimulakan dengan aras pembelajaran susah kerana murid-murid tidak perlu mengeja dan membatang.

   vi.        Guru juga kurang memerlukan bahan bantu mengajar yang banyak dan bahan bantu mengajar tidak susah untuk dibina. Ini kerana Bahan Bantu mengajar yang utama adalah kad imbasan dan papan hitam atau keperluan ICT sahaja.

  vii.        Kaedah ini amat sesuai untuk murid pemulihan khas kerana ianya tidak memerlukan hafalan.  Kaedah ini juga menekankan aspek bahasa berirama yang mampu menarik minat murid-murid untuk belajar. Kaedah ini juga boleh disesuaikan dengan lain-lain kaedah seperti kaedah berceritaGuru-guru boleh menggunakan kelebihan penggunaan  ICT dengan meluas dalam mengajar menggunakan kaedah ini kerana kaedah ini tidak melibatakan penggunaan bahan bantu yang susah untuk dibina.

   xi.         Gabungan dengan kaedah bercerita banyak membantu penguasaan kemahiran dan ingatan murid-murid. Latih tubi adalah aspek yang perlu diutamakan.

Kelemahan kaedah ini pula adalah :
  1.  Murid sudah biasa menggunakan kaedah lain seperti kaedah abjad akan menyebabkan berlakunya kekeliruan. Hal ini juga menjejaskan kebolehan murid tersebut dan terpaksa bermula semula
  2.  Murid sukar membezakan antara bunyi abjad dengan nama abjad
  3.  Sukar menyebut bunyi abjad tertentu dan mengganggu pembelajaran
  4.  Sukar mencari contoh perkataan yang sesuai dengan konsonan yang telah diajar.
  5.  Murid tidak memahami maksud perkataan yang telah dibina dan memerlukan penjelasan daripada guru. Murid-murid pemulihan khas sukar untuk memahami maksud perkataan dan memerlukan bahan maujud atau gambar untuk membantu penerangan. Hal ini menunjukkan bahawa murid-murid tidak mempunyai perbendaharaan yang cukup
  6. Kemahiran-kemahiran asas bacaan perlu diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum murid dapat membaca frasa.
  7. Murid-murid lebih mudah memguasai kemahiran jika diajar secara individu berbanding secara kumpulan atau kelas
  8. Lebih mudah mengajar murid-murid yang tidak tahu apa-apa daripada murid-murid yang telah menguasai beberapa kemahiran asas seperti mengeja dan membatang.

Isu Dan Cabaran

Sebenarnya penggunaan kaedah Gabungan Bunyi Kata amat sesuai dilaksanakan disekolah rendah namun  kajian mengajar menggunakan Kaedah Gabungan Bunyi-kata di peringkat sekolah menengah belum lagi dijalankan. Untuk melaksanakan kaedah ini sekolah menegah ianya merupaka cabaran yang paling besar.Ini kerana dalam beberapa kajian yang dilaksanakan menunjukkan bahwa  sikap murid-murid yang bosan dengan apa yang diajar. Perkara ini lumrah kerana murid-murid terpaksa menghafal perkara yang sama iaitu abjad ‘a hingga z’ semenjak di sekolah rendah lagi.

Murid-murid juga akan berasa rendah diri kerana masih membaca huruf ‘abc’. Dengan menggunakan Kaedah Gabungan Bunyi Kata  kata ini murid-murid berasakan satu kelainan dan mereka sudah mampu untuk membaca buku cerita yang mudah. Keyakinan murid-murid dapat ditegarkan supaya kemahiran asas ini dapat dikuasai.

Melalui kaedah ini  ianya  mampu mempercepatkan penguasaan kemahiran menulis murid pemulihan khas di sekolah menengah. Hal ini dibuktikan dengan beberapa kejayaan melalui kajian yang dilaksanakan keatas beberapa murid-murid yang kini mampu membaca dengan lancar buku cerita mudah termasuklah buku cerita yang mempunyai suku kata tertutup.

Oleh itu, keperluan untuk kajian terhadap keberkesanan Kaedah Gabungan Bunyi Kata kepada murid-murid pemulihan sekolah menengah perlu dilakukan. Hal ini penting untuk mendapat hasil kajian dan dapatan yang mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi. Sebenarnya di sekolah menengah banyak bilangan murid-murid yang belum menguasai kemahiran asas membaca. Terutama untuk memenuhi tuntutan difinisi boleh membaca iaitu mengenal dan mentafsir simbol-simbol tulisan dan memberi makna kepadanya. Selain itu yang memerlukan murid-murid memahami apa yang dibaca bukan setakat bunyi-bunyi abjad dan gabungan bunyi-bunyi abjad.

Kesimpulan

Kelemahan murid menguasai kemahiran membaca  boleh menjejaskan potensi dalam menguasai pelbagai kemahiran lain dalam semua mata pelajaran. Sebagai pendidik kita haruslah mempunyai komitmen yang tinggi bagi mengatasi masalah ini.

Selain menggunakan Kaedah gabungan Bunyi Kata ini, seorang pendidik harus mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran seperti menggunakan kaedah fonetik, kaedah abjad dan kaedah pandang dan sebut dalam membantu murid  membaca,  penggunaan bahan bantu mengajar yang menarik juga mampu minat murid boleh digunakan untuk membantu dalam pengajaran membaca  ini. Bahan pengajaran merupakan aspek yang penting dalam mengajar asas kemahiran bacaan. Guru perlu mempunyai kemahiran untuk memproses bahan, memilih bahan, mengolah bahan, membina, menggunakan dan menilai bahan. Bahan pengajaran pula perlulah menarik, dan memenuhi  minat murid.

Latihan bacaan perlu diberi penekanan untuk mengatasi masalah membaca di kalangan kanak-kanak dari peringkat awal.  Ujian diagnostik bacaan perlu dijalankan untuk membantu guru mengesan kelemahan dan tahap  bacaan murid supaya guru dapat merancang aktiviti-aktiviti yang  boleh menarik minat murid dalam pengajaran pembacaan murid.   

Guru juga perlu mengesan faktor-faktor yang mempengaruhi kebolehbacaan murid. Pengetahuan dan pengalaman guru  dapat membantu dalam merancang dan menyediakan proses pembelajaran murid.. Aktiviti pembacaaan  perlulah dilakukan dengan menggunakan pendekatan, kaedah, dan teknik yang sesuai agar murid-murid mampu menguasai asas kemahiran  membaca.

Melalui pendekatan Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK) menyatakan bahawa kita boleh menggabungkan proses mengajar ‘mengenal bunyi-huruf’ dengan ‘membina-dan-membaca perkataan’ dalam satu atau dua pelajaran, dan kanak-kanak terus membaca perkataan, frasa atau ayat. Ia digubal atas keistimewaan yang terdapat dalam sistem ejaan Bahasa Melayu, di mana sistem ejaannya fonemik dan sistematik, suku katanya jelas, dan tatabahasanya yang mudah berbanding dengan sistem ejaan yang celaru dan tatabahasa yang lebih kompleks dalam Bahasa Inggeris.

Rujukan :
1. Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman (2003). Falsafah Pendidikan dan Kurikulum. Tanjung Malim: Quantum Books.
2. Isahak Harun (2006). Mudah Membaca Bahasa Melayu: Edisi Guru 2. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti.
3. Chua Tee Tee & Koh Boh Boon (1992). Pendidikan Khas dan Pemulihan: Bacaan Asas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
4. Isahak Harun (2004). Laporan Kajian Awal Membaca Bahasa Melayu. Tanjung Malim: UPSI.
5. Saayah Abu  (2007). Menjadi Guru Tadika. PTS Profesionals: Kuala Lumpur.
6. http://wasilahpendidikankhas.blogspot.com/2011/09/kaedah-gabungan-bunyi-kata-kgbk.html
7. http://prodtas.blogspot.com/2013/01/pengajaran-bacaan-awal-bahasa-melayu.html
8. http://www.scribd.com/doc/73571079/Report-Kaedah-Gabungan-Bunyi-Kata


0 comments: