Ini adalah artikel dari hmetro yang PokCIk baca hari ini....
terasa nak copy dan paste pulak sebagai perkongsian antara kita semua...
wahai lelaki-lelaki.....baca dan faham kan betul-betul....
tak salah cemburu TAPI biar bertempat.....
Penting ego tu TAPI biarlah kena pada masanya.....
yang paling penting jangan lah kaki dan tangan naik bila nak selesaikan masalah.....Dayus namanya...sedar-sedar sikit.....
Bila dah marah jaga sikit bahasa tu...kerana satu perkataan yang buruk akan diingati selalu.....
yang paling penting.........Bukan susah nak minta maaf.......
Dah minta maaf kena lah ingat selalu.......jangan diulangi lagi....
Yang paling penting...kalau dah angin satu badan....sabar banyak-banyak...fikir salah diri sendiri dulu...baru salah orang lain....Caranya keluar dan fikirkan dengan tenang....
"Kalau perempuan cemburu, masih banyak ‘jalan keluar’ yang boleh
difikirkan, setidak-tidaknya mereka beremosi dan inginkan kepastian
saja. Lepas dijelaskan atau dipujuk, sejuk hati membara tadi."
Tapi lain pula kalau lelaki yang cemburu. Itu lebih berbahaya dan
jauh menakutkan kepada kekasih mereka kerana kebarangkalian yang mampu
difikirkan lebih banyak dan membabitkan fizikal.
Mana tidaknya, cemburu itu didorong oleh sikap panas baran dan gemar
menuduh tanpa usul periksa. Kebiasaan lelaki jenis begini adalah mereka
yang ego dan sukar mengaku kelemahan diri.
Walaupun masih ada
baiknya dalam sifat
lelaki jenis ini seperti
penyayang, bijak memikirkan
soal masa depan, hebat merencana hubungan dan seorang yang taat pada
janji, namun kelemahannya ini mungkin membuatkan mereka jenis lelaki
yang perlu dijauhi.
Panas baran adalah sikap yang sukar dibuang dan ego adalah
penyakit yang akhirnya akan merosakkan sesebuah hubungan. Itu adalah
realiti dan hakikat dalam banyak kes percintaan sebelum ini.
Hujung kepada semua sikap ini adalah cemburu. Lelaki jenis ini
terlalu sayangkan kekasihnya hingga tidak boleh membenarkan mereka
bergaul dengan lelaki lain walaupun kawan sekerja atau kawan lama di
sekolah, perlu memberitahu setiap pergerakan, 24 jam bersama hingga
tiada ruang untuk diri sendiri dan mereka selalu berasa curiga dengan
bayang-bayang sendiri.
Lebih 90% lelaki jenis ini gemar menuding
kesalahan kepada kekasihnya selain salah anggap dan memaki hamun.
Kemudian selepas menyedari salah itu berpunca daripada mereka, mulalah
pujuk kembali dengan menabur ayat cinta.
Hanya separuh daripada
jumlah lelaki jenis ini akan sudi melafazkan kata maaf dan selebihnya
menggunakan helah lain untuk menutup kesalahan diri.
Fikirkan
kembali, adakah ini calon paling layak untuk memimpin anda ke akhir
hayat atau hanya akan menambah kekusutan saja? Ingat, sikap dan sifat
adalah dua perkara berbeza dan dalaman seorang lelaki seperti panas
baran tidak boleh diubah sebaliknya hanya mampu diredakan dengan
motivasi berterusan.
Apa kriteria lelaki cemburu dan rutin tabiat mereka?Lelaki
jenis ini adalah kaki siasat. Awal perkenalan, pasangan mungkin
ditatang bagai minyak penuh, bahkan segala kemahuan dituruti. Namun
lama-kelamaan ada saja yang tidak kena.
Kalau boleh dia cuba
mengawal setiap pergerakan. Ke mana, dengan siapa dan yang paling
penting ada atau tidak lelaki bersama anda. Jika ada, anda akan disiasat
dengan terperinci. Boleh dikatakan siasatan pasangan mengalahkan pihak
berkuasa. Anda mungkin berasa seperti seorang pesalah yang sedang
menanti hukuman untuk dijatuhkan.
Lelaki cemburu ini juga adalah
jenis yang
sentiasa curiga dan sentiasa menganggap pasangannya berlaku
curang. Kenapa? Kerana dia tidak yakin dengan kesetiaan teman wanitanya.
Sukar baginya untuk mempercayai, tambahan pula apabila pasangan
sering diganggu dan kebanyakan daripada mereka yang mengganggu adalah
lelaki yang lebih bergaya atau kacak. Itu sudah menyentuh keegoannya.
Walaupun
tidak melayan mana-mana lelaki yang cuba mengganggu, dia tetap
merasakan yang pasangan cuba menduakan dirinya. Padahal anda tidak tahu
dan bersalah dalam hal ini. Apa yang boleh anda lakukan hanyalah
bersabar dan makan hati.
Tidak perlu terang atau jelaskan kerana
lelaki jenis cemburu ini
tidak akan mendengar alasan anda kerana
baginya, rasa kurang selesa itu akan mengganggu tumpuannya sekali gus
menyifatkan anda mula lupa akan dirinya.
Paling menakutkan dan
fakta lelaki jenis cemburu adalah
mereka panas baran. Suami atau teman
lelaki yang anda kenali dengan lebih mendalam mungkin mempunyai perangai
yang suka marah.
Salah sedikit saja tapi kemarahannya bukan
main lagi. Sakit hati bukan? Panas baran ini kalau tidak ditangani
dengan baik mungkin akan mendatangkan padah, silap hari bulan tangan
boleh naik ke muka.
Panas baran itu hanya sementara dan kemudian
apabila marahnya reda, dia mula sedar kesilapan dan cuba memujuk anda
kembali. Tapi kepada mereka yang sudah menjadi mangsa penderaan atau
pukul, bolehkah maaf itu memulihkan kembali perasaan dan tekanan itu?
Lelaki
jenis cemburu juga adalah individu yang
tidak pernah puas. Si kaki
cemburu tidak pernah berpuas hati dengan orang yang disayanginya. Ada
saja kesalahan yang dicarinya. Dari sekecil-kecil zarah hinggalah
sebesar-besar kesalahan.
Susah untuk memuaskan hatinya. Sikap
ini akan membuatkan pasangan berfikir, kenapa si dia harus begini dan
apakah salah anda. Pada satu tahap pasangan akan berada dalam keadaan
yang sangat tertekan. Namun setiap daripada kata-kata anda tidak
diterimanya malah air mata menjadi peneman setia setiap hari.
Jika
teman lelaki atau suami anda jenis yang
kuat mengongkong, dia juga
adalah jenis lelaki yang kuat cemburu dan anda perlu lebih berhati-hati.
Dahulunya anda bebas ke sana ke mari dengan sesiapa saja yang anda
suka tapi sekarang tidak lagi.
Semua perkara yang anda lakukan
perlulah mendapat kebenarannya terlebih dulu. Anda tidak boleh melakukan
sesuatu perkara itu tanpa pengetahuan si dia. Seolah-olah kehidupan
anda berada di tangannya. Anda pula harus akur dengan peraturan yang
diciptanya. Nak tak nak anda terpaksa ikut.
Orang zaman sekarang
menggelarkan senario itu ‘punch card’ seperti pekerja kilang atau
pejabat yang mana perlu memberitahu teman lelaki apa saja aktiviti anda.
Jika dikatakan tidak, maka jawapannya tidak.
Peliknya, si gadis-gadis ini pula akur mendengar arahan itu tapi tidak pula mendengar nasihat ayahnya dulu.
Lelaki
jenis ini juga adalah
gemar mengambil kesempatan. Ini memberi maksud si
dia mengambil kesempatan di atas kelemahan kamu. Memandangkan anda
tidak pernah melawan, setiap daripada kata-katanya perlu diikuti tanpa
ada bantahan menyebabkan si dia menggunakan kesempatan itu.
Setiap
kali keluar, pasti si dia akan mengambil telefon bimbit anda dengan
tujuan untuk melihat mesej yang boleh mengundang kemarahannya. Malah si
dia akan mengambil tahu banyak perkara mengenai diri anda. Ini akan
digunakan agar anda tidak dapat lari daripadanya.
Buang rasa negatifCemburu
tandanya sayang tapi kerana cemburu buta, sayang boleh melayang.
Manusia mempunyai sebab berbeza untuk menjadi cemburu dan orang kata
cemburu buta itu boleh membunuh.
Bunuh emosi atau lebih teruk
bunuh secara fizikal. Perasaan cemburu itu normal tapi kalau sudah
cemburu teramat, itu jadi tidak normal dan boleh mengganggu hubungan.
Apabila kita cemburu, kita bimbang jika pasangan mungkin mencari orang
lain yang lebih menarik dan lebih baik daripada kita.
Tetapi
lama-kelamaan pasangan akan rasa rimas, risau dan cuba mengelakkan diri
daripada si dia yang suka cemburu buta. Jika anda seorang cemburu buta,
perlu dipertimbangkan untuk mengikuti semua langkah ini bagi memastikan
kekasih hati tidak terlepas atau mula bosan dengan anda.
Langkah-langkah yang boleh anda lakukan untuk mengatasi perasaan cemburu buta.
1. Cari punca sebenar
Anda harus mencari punca sebenar apa menyebabkan anda berasa terlalu
cemburu. Adakah anda kurang percaya kepada pasangan kerana sikapnya
sendiri? Atau anda kurang yakin pada diri anda sendiri? Jangan buat
tuduhan melulu tanpa usul periksa. Jika anda memang mempunyai sifat
panas baran, anda perlu menenangkan diri sebelum bersemuka dengan
pasangan.
2. Beri masa Beri diri sendiri masa untuk
mengatasi sifat cemburu dalam diri. Jika anda memang seorang yang
cemburu, anda tidak boleh berharap untuk berubah dalam sekelip mata.
3. Minta maaf
Mungkin pada mata si dia jika anda selalu meminta maaf jika suka
cemburu buta, perkataan maaf yang datang daripada mulut anda itu tidak
berharga lagi. Tapi ia cukup baik daripada anda ego untuk meminta maaf.
Jika anda meminta maaf, ia bermakna anda sedar perbuatan anda itu salah
dan cuba untuk tidak melakukannya lagi.
4. Komunikasi
Luahkan perasaan anda dan mengenai masalah cemburu anda bersama-sama
dengan pasangan. Berkomunikasi bukan bermaksud anda boleh melenting
sesuka hati tapi sebaliknya berbincanglah dengan elok dan elakkan
daripada rosakkan perhubungan anda berdua.
5. Elak salahkan pasangan
Elakkan daripada menyalahkan pasangan jika berlaku perselisihan faham.
Anda mempunyai pilihan untuk menyelesaikannya dengan cara baik tanpa
membabitkan perasaan cemburu buta. Anda bertanggungjawab dengan
perasaan anda sendiri. Menyalahkan pasangan tidak akan menyelesaikan
masalah.
6. Sentiasa optimis Sekiranya anda berfikiran
positif, mungkin perasaan cemburu itu dapat diatasi dan dikawal. Tapi
harus ingat untuk tidak sewenang-wenangnya mempergunakan kepercayaan
yang diberikan kepada anda. Jika disalah guna, mungkin perasaan cemburu
buta itu akan makin bertambah dan mungkin kepercayaan itu akan hilang
terus!
7. Ubah diri menjadi lebih baik Tak rugi jika anda
mempunyai motivasi diri untuk ubah diri sendiri menjadi lebih baik.
Minta pertolongan atau nasihat daripada pakar jika anda benar-benar
ingin buang sifat cemburu buta di dalam diri. Jangan lupa sentiasa
berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan kesabaran yang lebih tinggi.
8. Kurangkan sifat marah
Jangan cepat melenting, sebaliknya fikir secara positif dengan menarik
nafas dalam-dalam biarpun ketika berdepan dengan si dia yang menyinggung
hati anda dan membuatkan anda cemburu. Selain daripada menarik nafas
dalam-dalam, anda boleh mandi, solat atau buat aktiviti yang dapat
mengurangkan rasa marah dan cemburu anda.
9. Hentikan perbandingan
Jangan membandingkan diri anda dengan orang lain dan menyeksa sendiri
dengan perasaan negatif. Kalau anda sibuk dengan sikap cemburu buta yang
negatif itu, bila masa pula anda nak berasa kemanisan kasih sayang
dalam satu-satu hubungan? Bina keyakinan terhadap diri sendiri dengan
mengenal pasti kelebihan yang ada pada anda dan yakinlah dengan
keistimewaan yang anda miliki.
10. Belajar daripada kesilapan
Sebenarnya emosi negatif mempunyai peranan dalam kehidupan kita, dan
salah satu pengajarannya adalah ia mengajar kita bagaimana untuk menjadi
seseorang yang lebih baik dalam memperjuang dan mengatasi sikap cemburu
buta.