BIJAKSANA semasa didik anak

Pendidikan, Kanak-kanak, Psikologi kanak-kanak, murid-murid, pelajar dan budak-budak
Asslammualikum......

Satu tips yang PokCIk amat berminat.....
Hope PokCIk dapat cuba menikuti segala tips yang diberikan ini.....
Bagi PokCIk murid-murid PokCik adalah anak PokCIk sendiri....
Banyak yang nak kena Repair ni....
This is time to change.......

Jom layan sampai habis artikel ini....

Anak adalah amanah dan anugerah Allah yang tidak ternilai. Mereka yang bergelar ibu bapa perlu memeliharanya dengan penuh tanggungjawab, dengan memenuhi haknya dalam segenap aspek mengikut kemampuan masing-masing.

Dalam memperkatakan tanggungjawab terhadap anak, ia membabitkan ruang lingkup yang luas, bukan hanya membabitkan soal memberi makan minum, pakaian dan keselesaan tempat tinggal, tetapi turut menyentuh aspek pendidikan.

Pendidikan boleh dibahagikan kepada dua jenis, secara formal seperti menghantar mereka belajar di sekolah dan tidak formal, misalnya menunjuk ajar mereka di rumah dengan norma dan gaya hidup terpuji.

Mengulas mengenai aspek ini, seorang tokoh ilmuwan Islam, Ibnu Sina ada berkata: “Pendidikan itu berlaku dengan cara membiasakan anak melakukan nilai dan norma yang baik dalam suatu jangka masa lama sehingga dia biasa melakukan perbuatan yang baik tadi.” Sayid Sabiq pula berkata: “Pendidikan anak ialah usaha membentuk mereka dari segi jasmani, akal, rohani, emosi dan sosial sehingga menjadi anggota masyarakat yang berguna kepada masyarakatnya.” Pepatah mengatakan, melentur buluh biarlah waktu rebungnya. Memang sesuai peribahasa itu kerana jika kita mahu anak kita orangnya berbudi pekerti baik, ajarlah sewaktu mereka kecil. Sekiranya daripada kecil sudah terbiasa dengan adab dan sopan santun, tahu menghormati orang tua, suka menolong, rajin dan berdisiplin, besar nanti pun begitulah hendaknya, insya-Allah. Tetapi jika terbiasa dengan anasir negatif, secara adat demikian jugalah apabila dewasa kelak, melainkan diberikan hidayah untuk mendapat pimpinan ke jalan kebenaran dan kebaikan.

Imam Ghazali ada mengingatkan kita dengan penerangan berikut: “Anak adalah amanah atas ibu dan bapa. Jika dia terbiasa dengan benda yang baik, dia akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. “Jika dibesarkan dalam suasana tidak baik dan dipersia-siakan seperti haiwan, menderitalah dia dan binasa. Dosa juga akan ditimpakan ke atas orang yang dipertanggungjawabkan itu.” Oleh itu, sebagai ibu bapa sempurnakanlah amanah itu dengan sebaik-baiknya dan berilah bimbingan dengan kaedah terbaik dan jangan bertindak melampaui batas dibenarkan sehingga melukai emosi dan jasmani anak kita. Memang, sekalipun anak kita masih kecil dan belum banyak mengerti, emosinya juga harus dijaga. Kita perlu berhemah dalam memberikan teguran dan menghadapi ragamnya, bukan diperlakukan sesuka hati.

Nabi SAW sendiri menunjukkan teladan kepada kita. Pada suatu hari ketika Baginda berada di masjid, tiba-tiba terbang seekor burung hinggap dan berbunyi dengan nyaring. Kejadian itu menimbulkan pertanyaan kepada Baginda. Baginda pun berkata kepada sahabatnya: “Cari anak burung yang diambil oleh seseorang dan pulangkanlah kepada ibunya yang sedang merayu-rayu itu.” Mendengar permintaan Baginda itu, sahabat pun bergegas keluar untuk mencari dan seketika kemudian mereka berjumpa dengan seorang budak yang sedang bermain dengan anak burung itu, lalu dibawanya berjumpa Baginda.

Rasulullah SAW kemudian melepaskan anak burung itu terbang ke arah ibunya dan Baginda berkata kepada budak itu dengan nasihat yang lembut supaya tidak mengapa-apakan makhluk lain dan jangan sesekali melakukan kerosakan. Malah, Baginda SAW juga pernah terserempak dengan sekumpulan kanak-kanak yang sedang menangkap burung dengan menggunakan lastik, lalu ditegur perbuatan berkenaan dengan kaedah berhemah dan penuh hikmah. Baginda berkata kepada kumpulan kanak-kanak itu: “Jangan gunakan lastik kerana ia tidak membantu menangkap burung, tetapi hanya membutakan mata dan mematahkan gigi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Justeru, melalui dua kisah itu diharapkan boleh menambahkan kesedaran kepada kita selaku ibu bapa untuk lebih bertanggungjawab, peka dan sensitif terhadap hak anak, supaya dengan itu mereka berasa lebih dihargai.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Sumber : Harian Metro (21/3/2013)

Bersama-samalah kita mengambil ikhtibar....

0 comments: