Esei ilmiah
Soalan : Berdasarkan pengalaman anda
sebagai guru, buat refleksi dan jelaskan tentang konsep pengetahuan pedagogikal
isi kandungan guru (PPIK).
Untuk memastikan sesuatu matlamat dan objektif dalam pembelajaran muid,
pengaplikasian kaedah dan model pengajaran adalah sangat penting. Model pengajaran yang sesuai harus digunakan
untuk memastikan guru dapat mengajar dan menyampaikan maklumat kepada murid
dengan lebih jelas dan berkesan agar objektif pembelajaran dan pengajaran guru
dapat dicapai. Untuk memastikan sesuatu konsep dapat di sampaikan dengan jelas
dan tepat bahan yang digunakan haruslah dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Rancangan mengajar atau persediaan sebelum mengajar juga boleh didefinisikan
sebagai suatu rancangan pelajaran yang mengandungi unsur-unsur seperti
pengetahuan sedia ada murid, objektif pelajaran, media pengajaran, kaedah dan
teknik pengajaran, set induksi, perkembangan, penilaian dan penutup untuk satu atau dua waktu pengajaran. Faktor penting yang perlu dipertimbangkan oleh guru
semasa menyediakan rancangan mengajar adalah tujuan utama atau matlamat yang
mahu dicapai dari pengajaran yang hendak
disampaikan serta kesannya terhadap penerimaan isi pelajaran dan pemahaman
murid.
Dengan adanya perancangan yang lengkap dan
sistematik Proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi sempurna dan dapat mencapai objektif
pembelajaran yang telah ditetapkan. Seseorang guru perlulah mengetahui perkara
yang hendak dilaksanakan sebelum, semasa dan selepas proses pengajaran dan
pembelajaran. Seorang guru memerlukan satu perancangan yang rapi untuk
memastikan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan
lebih efisien dan berkesan. Salah satu model pengajaran yang boleh digunakan
oleh guru model ASSURE.
Model ASSURE (Heinich, Molenda, Russell dan
Smaldino, 1993) merupakan satu model reka bentuk pengajaran yang boleh
digunakan untuk merancang penggunaan media secara sistematik. Model ini telah digubal oleh Heinich dan
rakan-rakan (1982). Assure membawa maksud " memastikan sesuatu
berlaku.". Matlamat utama Model
ini adalah bertujuan untuk menyediakan panduan merancang dan mengendalikan
pengajaran dengan menggunaan media.
Model ini lebih berfokus kepada inisiatif pengajaran dengan menggunakan
media dan teknologi di dalam kelas. Modul ini juga menyediakan rangka kerja
yang sesuai dengan media dan teknologi mengikut kesesuaian persekitaran
pengajaran dan pembelajaran. Modul Assure
ini juga amat sesuai digandingkan dengan Sembilan peringkat pembelajaran Gagne
.Modul Assure lebih
sesuai digunakan dalam persekitaran yang konstruktivis di mana murid perlu
berinteraksi dengan persekitarannya.
Dalam model ini terdapat enam komponen utama seperti yang ditunjukkan dalam Rajah dibawah:
• A - Analyse learners (Analisis pelajar).
• S - State learning
objectives (Nyatakan objektif pembelajaran).
• S - Select methods, media
and materials (Pilih kaedah, media dan bahan ).
• U - Utilise media and
materials (Gunakan media dan bahan).
• R - Require learner
participation ( Penglibatan murid dalam pembelajaran ).
• E – Evaluate / Review
(Penilaian / semak semula bahan).
Komponen 1 :
Analisis pelajar
Model ASSURE bermula dengan analisis murid. Guru perlu
mengenalpasti cirri-ciri umum yang terdapat pada seorang murid Ciri-ciri umum
murid termasuklah deskripsi tentang umur murid, jantina murid, kelas, budaya,
bakat, gaya pembelajaran,kawasan kediaman , latar belakang,taraf ekonomi dan
sebagainya. Maklumat yang dinyatakan di atas boleh dijadikan asas dalam
pemilihan media. Maklumat-maklumat ini
boleh diperolehi dengan meneliti rekod murid dan berinteraksi secara langsung
Dengan cara ini guru akan dapat mengetahui dan memahami harapan, sikap dan
latar belakang murid.
Ciri-ciri umum ini boleh juga dikenalpasti melalui
sesi suai kenal antara guru dengan murid pada hari pertama persekolahan .Semasa
proses pengajaran dan pembelajaran berjalan guru boleh membuat pemerhatian
untuk mengetahui tentang diri seseorang murid.
Pada peringkat pertama modul assure ini lebih
banyak berkaitan dengan pengetahuan dan
kemahiran sedia ada murid tentang tajuk dan kandungan pelajaran. Maklumat yang diperolehi banyak didapati
daripada ujian kemasukan dan juga interaksi bersama murid. Murid juga biasa mendapatkan sesuatu maklumat
daripada buku rujukan dan mendapat pendedahan melalui majalah dan TV. Setiap murid mempunyai pengalaman dan pengetahuan
tersendiri yang dibawa masuk ke dalam
kelas. Ini dipanggil sebagai entry
point. Guru perlulah menganalisis pengetahuan atau pengalaman sedia ada murid
untuk membantu guru menyediakan pengajaran yang berkesan. Di samping itu juga
murid juga dapat membina pengetahuan secara konstruktivis dan membantu guru
mengesan pengetahuan murid melalui soal jawab ataupun pra ujian. Setiap murid
mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri. Gaya pembelajaran murid merujuk
kepada cara yang paling sesuai dan berkesan untuk murid itu menguasai pembelajaran. Pengetahuan
tentang gaya pembelajaran murid dapat
membantu guru merancang pengajaran dan pembelajaran yang efektif.Model Dunn dan
Dunn, model Honey dan Mumford, dan model Mutiple Intelligence Gadner adalah
beberapa contoh model gaya pembelajaran murid. Gaya pembelajaran seseorang
murid mempengaruhi cara seseorang murid memproses maklumat, membentuk persepsi
merupakan faktor motivasi serta perubahan setiap tingkah laku belajar.
Media yang akan digunakan perlu disesuaikan dengan
ciri-ciri murid, kandungan pelajaran, kaedah, media dan bahan pembelajaran.
Untuk menganalisis ciri murid, terdapat 3 perkara penting yang perlu dilihat
iaitu penggunaan sesuatu media dalam proses pengajaran dan pembelajaran perlu
disesuaikan dengan ciri-ciri murid supaya penggunaannya lebih berkesan dan
bermakna kepada murid itu sendiri. Perkara-perkara ini juga harus diberi pertimbangan oleh guru iaitu perkembangan
tahap kognitif dan fizikal murid yang akan diajar. Dengan cara ini bahan media
yang akan digunakan dapat disesuaikan dengan tahap kognitif murid, yang mana
hasil pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan. Selain itu, perbezaan
budaya dan bahasa setiap murid harus diberi dititik beratkan bagi menjamin
kualiti sesuatu pembelajaran murid terlaksana dengan jayanya.
Komponen 2: Nyatakan
objektif
Objektif merujuk kepada hasil pembelajaran yang
yang telah ditetapkan.Objektif pembelajaran harus ditulis dan dinyatakan dengan jelas supaya
guru dapat lebih fokus kepada perkara yang sepatutnya dipelajari dan dikuasai
oleh murid. Peringkat ini memberi penekanan kepada penyataan
objektif atau hasil pembelajaran yang diharapkan dapat dicapai di dalam bentuk
yang spesifik dan boleh diukur. Penyataan objektif perlu bagi membantu guru
memilih media dan bahan sumber pendidikan yang bersesuaian, memastikan
penilaian dapat dibuat dengan baik serta membantu para murid mengetahui apa
yang diharapkan daripada mereka. Setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran
yang dirancang adalah untuk menyampaikan maklumat berdasarkan objektif
pembelajaran. Penggunaan kaedah dan media yang bersesuaian dapat dipilih kerana
guru telah fokus terhadap pengetahuan, kemahiran dan sikap baru yang perlu
dikuasai oleh murid. Objektif pembelajaran berfokuskan kepada apakah
pengetahuan, kemahiran dan sikap yang baru untuk dipelajari.
Penetapan objektif dapat membantu seseorang guru
memilih media dan kaedah penyampaian yang paling sesuai mengikut aras
pembelajaran murid. Dengan itu guru dapat menentukan aktiviti pengajaran yang
paling sesuai untuk murid . Guru tidak mungkin dapat menilai pencapaian murid
tanpa menyatakan objektif terlebih dahulu.
Menurut Dick & Carey (1985) serta Kemp (1985)
melalui objektif pretasi, seorang guru dapat mengenal pasti pretasi yang hendak
dibentuk, menyusun strategi pengajaran dan membentuk kriteria untuk menilai
pencapaian murid apabila tamat sesuatu pengajaran. Ia bolehlah dianggap sebagai
satu perjanjian antara murid dan guru dalam proses pengajaran pembelajaran.
Objektif perlu dibentuk dengan jelas dan mempunyai hubungan rapat antara
situasi ujian dengan pencapaian murid demi untuk menghasilkan pengajaran yang
berkesan (Moldstad, 1979; Stubbs, 1991). Gagne, Briggs & Wager (1992) pula
mengklasifikasikan objektif kepada objektif kognitif (berkaitan dengan
intelek), objektif afektif (berkaitan dengan perasaan dan sikap) , objektif
psikomotor (berkaitan dengan kemahiran fizikal) dan objektif interpersonal.
Pengkelasan ini memudahkan seseorang guru membuat penilaian sesudah pengajaran
nanti.
Pernyataan objektif yang baik mengandungi empat kriteria berikut:
- Siapakah yang
hendak dicapai? (Kumpulan sasar)
Matlamat penulisan objektif ialah
pembelajaran. Kumpulan sasar yang dimaksudkan ialah murid. Pembelajaran akan
berlaku sekiranya murid terlibat secara aktif dalam semua aktiviti dan proses
pembelajaran sama ada secara mental ataupun fizikal.
- Apakah yang
hendak dicapai? (Apakah bentuk pelakuan baru)
Apakah yang hendak dicapai adalah merujuk kepada murid .Tingkah laku
yang dinyatakan dalam objektif pengajaran dan pembelajaran haruslah yang dapat
dilihat dan diukur pencapaiannya. Tingkah laku ini juga hendaklah yang wajar
dan berasas situasi dan keadaan sebenar.Diantara perkataan yang sesuai
digunakan ialah melakar, menamakan, meramal, membaca, menjawab, melukis,
menilai, melabel dan menjelas
- Bagaimana
hendak dicapai? (Apakah syarat pelakuan)
Apakah syarat perlakuan? Pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran adalah termasuk
syarat bagaimana suatu tingkahlaku itu baru boleh dapat diperhatikan.Penyataan
syarat pencapaian objektif ini dapat membantu guru dalam menyediakan suasana,
langkah pengajaran dan pembelajaran. Situasi atau syarat pelakuan bermakna penyataan pencapaian syarat objektif dapat
membantu guru menyediakan suasana, langkah-langkah pembelajaran dan media yang
paling sesuai.
- Apakah tahap
pencapaian minimum? (standard pencapaian)
Darjah pencapaian
minimum atau standard pencapaian merujuk kepada darjah ketepatan, kualiti atau
kuantiti tingkah laku, tempoh masa yang ditetapkan dan sebagainya.Penyataan
pengukuran pencapaian ini akan membolehkan guru menyediakan tindakan susulan
bagi membantu murid yang belum mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran
dalam bentuk aktiviti pemulihan dan juga aktiviti pengayaan. Penulisan tahap
pencapaian boleh dalam bentuk kualitatif atau kuantatif. Kriteria kualitatif
sukar didefinisikan. Penulisan kriteria kuantitatif boleh dalam bentuk
peratusan, nilai angka atau skor mentah. Contohnya, sekurang-kurangnya tujuh
daripada sepuluh dengan tepat dan betul. Contoh penulisan
objektif yang baik ada seperti tajuk planet-planet dalam sistem suria melalui
topik bumi dan alam semesta bagi mata pelajaran Sains Tahun 6. Di sini dapat di
lihat bahawa penetapan objektif dapat menentukan pemilihan media yang akan
digunakan. Di sini bahan yang dipilih ialah bahan multimedia berasaskan
komputer, manakala mod penyampaian termasuk penilaiannya adalah berbantukan
komputer.
Komponen 3: Pilih
kaedah, media dan bahan
Media dan bahan sumber pengajaran memainkan peranan yang penting di
dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan media dan bahan sumber
yang sesuai
bukan sahaja dapat membantu penyampaian isi pelajaran, malah dapat
menarik minat
dan tumpuan murid serta menjadikan pengajaran tidak membosankan.
Pengajaran
menggunakan bahan sumber pendidikan memerlukan perancangan yang teliti
termasuk
daripada segi pemilihan dan penggunaan bahan sumber tersebut.Dalam
proses pemilihan, membaiki atau mengubah suai media, guru perlu merujuk kepada
tingkat kebolehan murid dan objektif pembelajaran yang ingin dicapai. Terdapat
3 perkara yang perlu dilakukan dalam langkah ini:
1)
Memilih kaedah
Dalam satu pengajaran, pelbagai kaedah
yang berbeza harus digunakan bagi
disesuaikan di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dipilih
seperti set induksi, pengenalan untuk konsep, aktiviti berkumpulan dan latihan.
Guru menarik perhatian murid dengan memulakan set induksi dan diikuti dengan
kaedah perbincangan, latihan dan latih tubi untuk mempelajari sesuatu
pengetahuan yang baru. Sesuai dengan latar belakang
murid yang pelbagai, gabungan beberapa teknik dalam satu sesi pembelajaran
adalah amat berkesan. Penentuan kaedah hendaklah diasaskan berasaskan ciri-ciri
murid, pengalaman sedia ada murid, gaya pembelajaran murid serta
objektifpembelajaran yang hendak dicapai. Kaedah simulasi dan tunjuk cara
mungkin sesuai untuk menyampaikan maklumat bagi murid yang belum menguasai kemahiran membaca yang
mantap. Murid yang memilih gaya pembelajaran kinestetik lebih mudah dapat
belajar melalui aktiviti konteksual, kajian lapangan, kaedah bermain, simulasi,
lakonan dan seumpamanya.
2)
Memilih media
Pemilihan media yang sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran
merupakan antara faktor yang membolehkan mesej atau maklumat disampaikan secara
bermakna. Media yang dipilih ialah
slaid, video, tayangan komputer multimedia.
Format media yang dipilih perlu sesuai dengan keupayaan murid. Pemilihan
media boleh dilihat dari dua aspek. Pertama adalah memilih media yang telah
sedia ada, manakala yag kedua adalah memilih format atau bentuk media yang
belum ternyata makna didalamnya. Pemilihan media pengajaran yang tersedia
berasaskan kreteria yang tertentu seperti :
·
Sepadan dengan kokurikulum
·
Maklumat yang tepat dan tekini
·
Bahasa yang jelas dan tepat
·
Menarik minat dan mencetuskan motivasi murid
·
Menggalakkan penglibatan murid
·
Mempunyai teknikal kualiti yang baik
·
Terdapat bukti keberkesanannya
·
Bebas dari bias
·
Mempunyai buku panduan yang lengkap
Media yang tersedia boleh diperolehi melalui pelbagai sumber seperti
agensi pendidikan contohnya di Pusat Sumber Sekolah, Pusat Kegiatan Guru,
Bahagian Teknologi Pendidikan, agensi swasta dan sebagainya.
3)
Memilih bahan
Bahan sumber pengajaran dan pembelajaran adalah isi pelajaran yang
menjadi fokus kepada pembelajaran. Bahan ini boleh dalam bentuk petikan,
artikel, teks dan sebagainya. pemilihan baan melibatkan tiga langkah berikut,
iaitu memilih bahan sumber sedia ada, mengubai suai bahan sumber sedia ada, dan
mereka bentuk bahan sumber yang baru.
Menurut McAlpine & Wetson (1994) dipetik oleh Heinich et al. (1999),
untuk memilih bahan sumber yang sesuai, soalan-soalan berikut harus ditanya:
1. Adakah bahan ini menepati
kurikulum?
2. Adakah isi sumber ini
tepat dan terkini?
3. Adakah laras bahasanya
jelas dan mudah difahami?
4. Adakah bahan ini menarik
dan memotivasikan?
5. Adakah bahan ini dapat
menarik penglibatan pelajar?
6. Adakah bahan ini ada
kualiti?
7. Adakah bukti yang
menunjukkan bahan ini berkesan?
8. Adakah bahan ini bebas
daripada iklan dan kecenderungan memihak?
9. Adakah ada panduan
pengguna? Manual pelajar? Bank ujian?
Memilih bahan sumber yang sedia ada haruslah menepati kriteria dan
objektif pengajaran pembelajaran supaya dapat menjimat masa dan kos. Walau
bagaimanapun, jika bahan sumber sedia ada tidak sepenuhnya menepati kriteria
atau objektif pembelajaran, guru perlu mengubah suai bahan tersebut secara
kreatif. Contohnya, menggunakan bahagian-bahagian yang sesuai sahaja, memotong
aspek-aspek atau bahagian yang tidak relevan dan sebagainya. sekiranya tidak
ada bahan sumber yang sesuai, guru boleh menyediakan bahan sumber sendiri. Ini
pasti akan memerlukan masa, kos dan kreativiti yang tinggi.
Komponen 4: Gunakan
media dan bahan
Penggunaan media dan bahan di dalam pengajaran
adalah amat penting kerana ia menjadi penentuan kepada keberkesanan suatu
proses pengajaran dan pembelajaran. Guru
boleh menggunakan internet dalam proses pengajaran dan menyediakan bahan
pengajaran dalam bentuk nota atau latihan. Buku teks juga digunakan sebagai sumber tambahan. Media dan bahan yang telah dipilih akan
mengubah suasana persekitaran yang
sesuai dan ideal untuk pembelajaran
murid. Selain itu pemilihan bahan dan media tersebut adalah bersesuaian dengan
pengalaman murid, jadi akhirnya dapat mendatangkan manfaat kepada para murid.
Anjakan fokus daripada strategi berpusatkan guru
kepada strategi berpusatkan murid turut menjadikan penggunaan sumber
pembelajaran oleh murid lebih utama berbanding media penyampaian guru. Bagi
memastika kejayaan penggunaan media dan bahan sumber, tindakan seperti berikut
harus diambil oleh guru:
1. kaji dahulu bahan sumber
yang akan digunakan sebelum digunakan di dalam kelas.
Guru hendaklah mengkaji,menyemak
atau menonton bahan sumber yang
telah dipilih sebelum menggunakkannya untuk proses pengajaran dan
pembelajaran
di dalam kelas. Ini akan dapat membantu guru memastikan bahan tersebut
benar-benar sesuai dengan kumpulan pelajar, objektif pengajaran pembelajaran,
tidak mengandungi unsur-unsur sensitif, berada dalam keadaan baik dan
sebagainya. dengan itu, guru dapat merancang penggunaannya semasa proses
pengajaran pembelajaran berjalan.
2. Menyediakan bahan untuk
penggunaan di dalam kelas.
Setelah menjalankan pratonton contohnya, guru hendaklah merancang
langkah penggunaannya dalam proses pengajaran pembelajaran. Dalam menyediakan
proses ini, guru perlu terlebih dahulu mengumpulkan dan menyediakan semua
kelengkapan yang perlu bagi kegunaan guru dan murid . Guru juga haruslah boleh
meramal masalah yang mungkin akan timbul dan bersedia dengan bahan tambahan
atau pelan alternatif yang lain.
3. Mewujudkan persekitaran yang
sesuai untuk penggunaan.
Memastikan persekitaran pembelajaran
yang sesuai yang merujuk kepada penyusunan media dan bahan sumber agar
mudah dicapai, diambil atau dilihat. Guru juga seharusnya memastikan alatan dan
media dalam keadaan baik dan boleh guna. Susun atur bilik darjah haruslah
sesuai dengan kaedah yang telah dipilih dan hendaklah dipastikan selamat.
Misalnya, susun atur kerusi dalam bulatan kecil untuk perbincangan kumpulan.
4. Sediakan murid untuk
mendapat manfaat daripada bahan sumber.
Memastikan murid bersedia untuk
pengalaman pembelajaran yang sama pentingnya dengan menawarkan pengalaman yang
memberangsangkankan. Memastikan set Induksi yang terancang dan memotivasikan
murid supaya dapat menimbulkan rasa ingin tahu murid untuk terus belajar.
Menurut Ausubel, murid boleh disediakan
untuk menerima maklumat baru dengan membuka minda mereka dengan advance
organizer, iaitu memberikan gambaran menyeluruh tentang isi pelajaran yang akan
murid pelajari. Seterusnya, wajar bagi seorang guru memberitahu murid objektif
pembelajaran serta kepentingan menguasai isi pelajaran. Dengan itu, murid dapat
dimotivasikan untuk belajar. Murid juga harus tahu tentang aspek yang diberi
fokus untuk penilaian pembelajaran.
5. Sediakan pengalaman
pembelajaran bagi murid.
Bagi menyediakan pengalaman pembelajaran yang memberangsngkan, guru
seharusnya memilih kaedah dan teknik penyampaian yang sesuai. Guru hendaklah
menguasai pelbagai kaedah dan teknik penyampaian agar dapat menjadi penyampai
yang baik. Semasa penyampaian isi pelajaran, guru boleh menggunakan slaid,
projector overhed, gambar foto dan sebagainya untuk menarik tumpuan dan
perhatian murid kepada penyampaiannya. Dalam perkembangan pembelajaran, fokus
pembelajaran hendaklah diberi keutamaan. Strategi berpusatkan murid boleh
digunakan untuk melibatkan murid secara langsung dalam proses pembelajaran.
Guru berperanan sebagai pengurus dan fasilitator. Antara kaedah dan teknik yang
sesuai ialah simulasi, lakonan, perbincangan, kajian lapangan, bengkel dan
pembentangan dan sebagainya. apabila murid terlibat secara langsung,
pembelajaran akan menjadi lebih berkesan.
komponen 5:
Penglibatan murid dalam pembelajaran
Untuk mempastikan proses pembelajaran berlaku,
murid perlu terlibat dalam aktiviti pembelajaran yang dilasanakan seperti
perbincangan, gerak kerja kumpulan, latihan, latih tubi dan sebagainya. Pengukuhan serta merta perlu diberikan atas
tindak balas murid yang betul.
Sesuatu pembelajaran yang melibatkan murid
menyertai aktiviti dan berfikir secara
aktif akan menghasilkan perubahan tingkah laku yang kekal. Ini disokong oleh
semua teori pembelajaran seperti teori behavioris mahupun teori kognitif.
Pandangan teori konstruktivis yang juga mengambil kira keaktifan murid dalam
proses membina pengetahuan sendiri sebagai bentuk pengalaman pembelajaran yang
paling berkesan.
Pengalaman rasa berjaya murid akan dapat mengekalkan motivasi murid
terhadap aktiviti pembelajaran yang dilaksanakan. Lataran itu, guru haruslah
memberikan maklum balas sebaik sahaja murid menunjukkan kejayaan. Latihan dalam
bentuk perbincangan, latih tubi, latihan bertulis, permainan bahasa dan
sebagainya akan dapat mengekalkan penglibatan pelajar dalam aktiviti
pembelajaran. Jika aktiviti yang menyediakan maklum balas secara langsung
melalui guru, keterlibatan dan minat murid dalam aktiviti akan berterusan.
Pemilihan media dan bahan sumber yang sesuai
sebenarnya dapat membantu dan mengekalkan penglibatan murid dalam proses
pembelajaran. Gambar, foto, slaid, gambar bersiri, video contohnya akan dapat
mencetuskan perbincangan kumpulan, penjanaan idea dan juga aktiviti
penyelesaiaan masalah.
Media pengajaran yang baik membolehkan penyertaan
dan respons murid berinteraksi serta mendapat maklum balas. Ia boleh berlaku
sama ada secara invidu atau secara kumpulan. Ia juga harus bersesuaian dengan
aktiviti serta teknik pengajaran yang dilaksanakan.
Komponen 6 :
Penilaian / semak semula bahan
Penilaian merupakan satu proses untuk melihat keberkesanan keseluruhan
proses pengajaran dan pembelajaran
mahupun program pendidikan yang dilaksanakan. Penilaian boleh
dilaksanakan melalui sesebuah program
atau kursus, kesusuaian penggunaan media, pembinaan bahan pengajaran, dan
pencapaian murid mengikut keperluan.
Setelah selesai pengajaran, penilaian perlu
dilakukan bagi menentukan kekuatan dan keberkesanan media secara menyeluruh
supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan untuk mendapatkan kesan penggunaan
media yang maksimum dalam proses pengajaran.
Penilaian ialah proses membuat pertimbangan nilai berkaitan sesuatu
perkara. Keputusan penilaian akan mempengaruhi keputusan yang diambil terhadap
perkara yang dinilai. Secara umum,
pencapaian murid dibahagikan kepada tiga, iaitu
i.
Prestasi murid berdasarkan rujukan kriteria (penilaian murid berdasarkan
suatu set objektif yang telah
ditentukan)
ii.
Prestasi murid dalam aspek kemahiran.
iii.
Sikap.
Murid akan dinilai dengan soalan betul atau salah untuk melihat
pemahaman mereka. Selain itu Murid juga menjawab soalan struktur.
Pemilihan dan
penilaian sesuatu bahan sumber adalah sangat penting bagi memastikan bahan
yang digunakan untuk
pengajaran dan pembelajaran adalah bersesuaian dengan objektif
pengajaran yang
ingin dicapai serta tahap pencapaian dan kebolehan murid. Bagi
membantu dan
memudahkan guru membuat pemilihan dan penilaian bahan sumber
pendidikan Model ASSURE boleh diaplikasikan. Models ASSURE yang
mengandungi enam komponen ini dapat membantu guru membuat satu persediaan dalam
pemilihan dan penggunaan media. Model ini merupakan asas bagi pemilihan untuk
semua jenis pengajaran media.
0 comments:
Post a Comment