HALA
TUJU PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK DI MALAYSIA
20 OKTOBER 2010
Abstrak
Peranan yang dimainkan oleh
kanak-kanak amat penting dalam perkembangan dan pembangunan seseorang
kanak-kanak. Di Malaysia terdapat pelbagai kaedah yang dijalankan bagi memastikan
kanak-kanak mendapat pendidikan yang sempurna tidak kira di bandar ataupun di
luar bandar. Disamping itu juga, kurikulum pendidikan awal kanak-kanak digubal
bagi memastikan pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan
kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari
segi jasmani, rohani, mental dan emosi. Transformasi kurikulum dan perubahan
dalam sistem juga dilakukan mengikut peringkat yang telah disusun oleh pihak
kerajaan bagi memastikan kejayaan dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak. Di
Malaysia terdapat empat agensi utama yang menjalankan pendidikan prasekolah
iaitu Kementerian Pelajaran sendiri, pihak KEMAS di bawah Kementerian Kemajuan
Luar Bandar dan Wilayah serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
di bawah Jabatan Perdana Menteri, serta pihak swasta bertujuan memastikan
kanak-kanak yang ada di negara ini memperolehi pendidikan yang secukupnya
selaras dengan perkembangan minda dan usia mereka.
1.HALA TUJU PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK DI MALAYSIA
Pendidikan awal
kanak-kanak memainkan peranan yang penting dalam perkembangan dan pembangunan
seseorang kanak-kanak. Sekiranya seorang kanak-kanak mendapat pendidikan asas
yang berkualiti, maka diyakini kanak-kanak tersebut akan terus berjaya dalam
pendidikan yang akan dilalui pada peringkat yang lebih tinggi.
Terdapat
empat agensi utama yang menjalankan pendidikan prasekolah iaitu Kementerian
Pelajaran sendiri, pihak KEMAS di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Jabatan
Perdana Menteri, serta pihak swasta. Dari segi statistik didapati sehingga
kini, KPM telah menyediakan sebanyak 7511 kelas prasekolah, KEMAS sebanyak
8,525, JPNIN 1643 dan prasekolah swasta yang berdaftar sebanyak 6378 Ini
menunjukkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak lebih kurang 2.9 peratus
(69.9%) daripada kadar enrolmen pada tahun 2009 iaitu 67 peratus.
2.SEJARAH
PENDIDIKAN AWAL KANAK – KANAK
2.1 SEBELUM
MERDEKA
Sejarah
Pendidikan Awal Kanak-Kanak bermula pada era 1950-an iaitu bermula selepas perang dunia ke 2. Pada tahun 1900-an pendidikan awal kanak-kanak mula ditubuhkan di
Filipina, Singapura dan Thailand sahaja. Manakala di Malaysia, perkembangan
pendidikan pendidikan awal kanak-kanak bermula pada tahun 1940 an.
Pada tahun 1940-an pendidikan awal kanak-kanak mula
dibuka oleh missionari Kristian dengan pendidikan berpengaruhkan British (sistem pendidikan British) dengan
mengenakan yuran yang sangat mahal dan anak-anak orang berada sahaja belajar di
tadika itu. Guru-guru pendidikan awal kanak-kanak pula terdiri daripada bekas
guru sekolah rendah yang tidak ada latihan dan pengalaman mengajar di tadika.
Dari tahun 1950 hingga 1960, tadika di Malaysia telah dibuka oleh
sosialis kristian sebagai sebahagian aktiviti gereja. Hampir kesemua tadika
dipunyai oleh individu atau agensi persendirian yang bertapak di kawasan bandar
dan menyediakan Pendidikan Awal Kanak-Kanak hanya untuk ibubapa yang mampu
membayar yuran. Kesannya, hanya sebahagian kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6
tahun berpeluang mengikuti kelas tadika. Malangnya, ramai kanak-kanak yang
berasal daripada keluarga yang miskin dan luar bandar tidak dapat menerima
pendidikan awal di tadika.
2.2 ZAMAN
SELEPAS MERDEKA
Sekitar tahun
1960-an pula, Pendidikan Awal Kanak-Kanak mula berkembang secara umum berikutan
kesedaran untuk mendapatkan pendidikan dalam kalangan golongan kurang
berkemampuan selepas merdeka mula meningkat. Pada tahun 1969 satu revolusi telah berlaku iaitu,
Yayasan Asia telah menyumbangkan wang kepada Pertubuhan Pekerja-Pekerja
Malaysia (Worker Society of Malaysia) bagi mendirikan tadika yang mirip
kepada projek “Head Start” di Amerika Syarikat. Tadika ini telah ditubuhkan di
Negeri Selangor iaitu di Kampung Muniady, Kg. Manggis dan Kg. Sentosa. Kumpulan
sasaran terdiri daripada kanak-kanak yang kurang beruntung dan miskin terdiri
dari keturunan Melayu, Cina dan India. Satu kajian
telah diambil di Amerika Syarikat menunjukkan kanak-kanak yang terlibat dalam
projek ini telah mencapai prestasi yang baik dari segi akademik dan tingkah
laku jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang tidak terlibat dalam projek ini
(Bernard Van Lee 2009).
Pada tahun
1970, KEMAS membuka 10 buah
prasekolah contoh di kawasan luar bandar yang dikenali Tabika untuk membantu
rakyat yang miskin di luar bandar .Diikuti dengan penubuhan prasekolah oleh
FELDA, Risda (1980) dan Majlis Perhubungan Masyarakat (1976). Pada tahun 1972,
Pusat Perkembangan Kurikulum telah menerbitkan Buku Panduan Pendidikan
Prasekolah dan telah membuka 12 buah prasekolah percubaan di seluruh Malaysia. Tahun
1972 Maktab Perguruan Ilmu Khas, Ceras telah melatih seramai 137 orang
guru-guru sekolah rendah dan guru-guru KEMAS dalam pendidikan prasekolah untuk
mengajar di prasekolah.
KEMAS telah membuka Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA)
adalah selaras dengan Falsafah Baru Pembangunan Luar Bandar. Program ini
memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar, bandar dan pinggir bandar
bagi golongan berpendapatan rendah dan miskin.
Melalui pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang
berfokuskan kepada program "Pembasmian Buta Huruf", Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Kemajuan Pekebun Kecil
Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Rukun Tetangga
dan Perpaduan Negara, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kerajaan
Tempatan serta Perumahan Sabah telah mengambil keputusan untuk menubuhkan Taman
Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) atau Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) untuk
penjagaan dan pendidikan bagi kanak-kanak di antara umur empat hingga enam
tahun.
Pada tahun 1972 pula, Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) telah membina akta yang khusus bagi Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang dinamakan Akta Pelajaran 1961 P.U (A),
Kaedah-kaedah Pelajaran (Kindergarten/ SekolahAsuhan)(Pendaftaran). Berdasarkan laporan daripada kajian Keciciran
1973 (Ee Ah Meng 1988) terdapat kesan yang positif di kalangan kanak-kanak yang
mendapat pendidikan awal di peringkat prasekolah. Sebanyak 90% daripada
kanak-kanak yang mendapat pendidikan di peringkat ini diletakkan di dalam kelas
pertama apabila mereka memasuki sekolah rendah (Ee Ah Meng 1998).
Pendidikan awal
kanak-kanak semakin berkembang pesat dengan kewujudan Yayasan Bernard Van Leer. Yayasan ini telah banyak
membiayai aktiviti pendidikan Prasekolah terutamanya dalam menggubal program
pukal Prasekolah, menganjurkan seminar-seminar dan menerbitkan buku panduan
pendidikan yang khas untuk pendidikan awal
kanak-kanak (Bernard van Leer
Foundation, 2009). Perkembangan pesat tersebut
menuntut bilangan tenaga pengajar yang lebih banyak dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Sekitar
tahun 1972 sehingga 1976, Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) mula menawarkan
kursus untuk melatih para guru dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Usaha MPIK ini mendapatkan
sambutan dan diteruskan melalui projek-projek rintis Prasekolah oleh Maktab
Perguruan Sultan Idris (MPSI), Maktab Perguruan Sri Pinang (MPSP), Maktab
Perguruan Mohd Khalid (MPMK) dan Maktab Perguruan Perempuan Melayu (MPPM) yang
dibiayai oleh UNICEF (Bernard Van Leer Foundation 2009).
Pada
tahun 1981, Yayasan Sabah telah menubuhkan Institut Guru-Guru Tadika di Pusat
Perkembangan Kanak-Kanak dan mendapatkan khidmat nasihat daripada Universiti
Malaya. Pada 18 Disember 1991, Jemaah Menteri telah bermesyuarat untuk
membincangkan mengenai program prasekolah di Malaysia dan pada 27 Januari 1992,
Kementerian Pelajaran Malaysia telah mula bermesyuarat untuk membincangkan
mengenai peluasan prasekolah. Kesan daripada mesyuarat di atas, maka Akta Pendidikan
1996, telah menyuarakan mengenai pendidikan prasekolah dalam sistem Pendidikan
Kebangsaan. Kesan daripada akta pendidikan prasekolah, maka pada 6 Jun 2001,
Jemaah Menteri bermesyuarat khusus untuk program peluasan prasekolah.
Pendidikan
awal kanak-kanak mula mendapat perhatian yang lebih serius pada tahun 1984.
Terdapat beberapa pihak mula mencadangkan dan menuntut bahawa pendidikan awal
kanak-kanak harus bermula lebih awal, iaitu di bawah empat tahun. Hal yang demikian ini menyebabkan
tertubuhnya Children Centre Act atau
Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) bagi memenuhi tuntutan tersebut.
Pada
tahun 1986 pula, Buku Panduan Guru Prasekolah mula diterbitkan. Buku ini
diterbitkan bagi tujuan meningkatkan kemahiran dan kreativiti guru prasekolah.
Ia juga dapat membantu guru mengelola dan mengurus pengajaran dan pembelajaran
prasekolah dengan lebih sistematik. Selain itu, ia juga boleh dijadikan rujukan
oleh para pelajar di pusat-pusat pengajian pendidikan.
Seterusnya,
pada tahun 1993, Garis Panduan Kurikulum Pendidikan Prasekolah Malaysia mula
diperkenalkan dan digunapakai untuk sekolah rintis di KPM. Kini, Garis Panduan
Pendidikan Prasekolah Malaysia diganti dengan Kurikulum PERMATA (0-4 tahun) dan
Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (4-6 tahun) dan dijadikan rujukan utama bagi
Pendidikan awal kanak-kanak.
Selain
daripada pertambahan bilangan prasekolah dari tahun ke tahun, bilangan peluasan
prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia mengikut negeri juga
bertambah dari setahun ke setahun.
3.KURIKULUM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
Kurikulum seperti
yang tercatat dalam Akta Pendidikan Malaysia 1996 dan Peraturan-peraturan
Kurikulum Kebangsaan Pendidikan 1997 merujuk kepada suatu program pendidikan
yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan
dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya
dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan
mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.
Kurikulum
pendidikan apabila diterjemahkan dalam bentuk aplikasi di sekolah ia adalah
sesuatu yang melibatkan program pembelajaran di dalam atau di luar kelas,
aktiviti, peralatan, perancangan, jadual waktu, tajuk-tajuk bagi sesuatu yang
dipelajari dan juga proses penilaian. Namun perkataan kurikulum bila dikaitkan
dengan kanak-kanak di peringkat awal perkembangan ianya tidak hanya tertumpu
kepada sesuatu yang dikaitkan dengan pengalaman pembelajaran di sekolah tetapi
ia merangkumi segala pengalaman dalam kehidupan hariannya samada di pusat
asuhan, di rumah atau di luar rumah. Para pakar unit kanak-kanak di bawah usia
5 tahun dari National Children Beaureu , United Kingdom berpandangan bahawa
kurikulum untuk kanak-kanak di peringkat awal umur yang di letakkan di pusat
asuhan kanak-kanak adalah merangkumi perkara-perkara berikut:
- Segala peluang perkembangan pembelajaran yang disediakan untuk kanak-kanak
- Segala aktiviti, sikap dan tingkah laku samada yang dirancang atau tidak, samada digalakkan atau ditegah.
- Cara bagaimana persekitaran fizikal yang mengelilingi kanak-kanak disusun dan juga rutin harian yang dilakukan oleh orang dewasa atau kanak-kanak itu sendiri.
- Peranan yang dimainkan oleh orang dewasa untuk menyusun atur, mengarah, mempengaruhi dan turut serta bersama melakukan apa yang dilakukan oleh kanak-kanak.
- Penglibatan ibu bapa dalam perkara-perkara yang disebutkan (NCB, 1989, p.11).
Di dalam
penulisan Prof. Madya Dr. Mastura Badzis ada menyatakan Bruce dan Meggitt
(2005) menyifatkan kurikulum kanak-kanak ialah sesuatu yang dapat membantu
kanak-kanak membesar dan belajar yang mana menjadi satu tanggungjawab kepada
pendidik untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang dapat menyokong dan merangsang
potensi yang ada pada seseorang kanak-kanak dan ianya bersesuaian dengan
keperluan dan keupayaan kanak-kanak melakukan atau mempelajarinya.
Dalam
konteks Islam, kurikulum pendidikan bagi seseorang kanak-kanak khasnya di
peringkat awal perkembangan melibatkan segala pengalaman pembelajaran yang didedahkan
kepada kanak-kanak samada ianya dirancang ataupun tidak, secara langsung atau
tidak langsung yang ditimba oleh seseorang kanak-kanak sepanjang proses mereka
membesar. Kurikulum dan pengalaman ini sebenarnya tercetus dari sikap, nilai
dan tatasusila yang ditonjolkan oleh guru, orang dewasa, keluarga dan
masyarakat sekitar.
Dalam
erti kata lain kurikulum pendidikan bagi seseorang kanak-kanak adalah
merangkumi segala aktiviti dan pengalaman pembelajaran yang disediakan oleh
orang dewasa, segala aktiviti yang ditentu dan difikirkan oleh kanak-kanak itu
sendiri, termasuklah juga bahasa dan teknik berkomunikasi yang diamalkan oleh
orang dewasa dan kanak-kanak menggunakannya dalam kalangan rakan sebaya atau
orang lain, malah segala apa yang mereka boleh lihat dan dengar daripada persekitaran
mereka. Kadang kala kurikulum ini juga boleh jadi sesuatu yang tersembunyi,
yang tidak dirancang tetapi tanpa disedari kanak-kanak mempelajarinya. Sebagai
contohnya masa atau perhatian yang diberikan oleh pengasuh atau pendidik
kanak-kanak terhadap sesuatu aktiviti mungkin menyebabkan kanak-kanak merasakan
sesuatu perkara itu lebih berfaedah dari yang lain walaupun hakikatnya tidak
begitu.
4.TRANSFORMASI KURIKULUM DAN PERUBAHAN DALAM SISTEM
4.1 Transformasi Kurikulum Kebangsaan
Kurikulum merupakan
suatu elemen terpenting dalam sistem pendidikan. Ia merupakan nadi kepada
sistem pendidikan yang mencorakkan generasi akan datang. Bagi menjana suatu
sistem pendidikan yang berkualiti, kurikulum itu sendiri perlu bersifat dinamik
dan relevan dengan kehendak semasa mahupun keperluan masa akan datang.
Kurikulum di Malaysia ditakrifkan sebagai suatu program pendidikan yang
merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai kebudayaan serta
kepercayaan untuk membantu perkembangan potensi seseorang murid secara seimbang
dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).
Pernyataaan
kurikulum ini perlulah diterjemahkan melalui pelaksanaan aktiviti kurikulum dan
kokurikulum di sekolah dan melalui proses pengajaran dan pembelajaran serta
interaksi guru murid di bilik darjah. Perlu ditegaskan bahawa kurikulum
bukannya satu entiti yang konsistan tetapi berubah mengikut senario dan
keperluan ekonomi, sosial dan politik tanah air.
4.2 Transformasi Kurikulum
Kajian keberkesanan
KBSR dan KBSM yang dijalankan oleh agensi dalam Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) banyak menunjukkan kelemahan dari aspek pelaksanaan kurikulum tersebut di
sekolah. Beberapa prinsip KBSR dan KBSM tidak dilaksanakan dengan berkesan
dalam proses P&P. Ini mengakibatkan kesepaduan pengetahuan, kemahiran dan
nilai tidak tercapai sepenuhnya melalui proses P&P di bilik darjah. Antara
faktor yang mendorong kepada perkara ini ialah fokus berlebihan untuk mencapai
gred kelulusan A dalam peperiksaan. Maka kebanyakan proses P&P yang berlaku
di bilik darjah lebih berupa proses menyediakan pelajar untuk peperiksaan,
bukannya bersifat menyampaikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai yang perlu
seperti mana dituntut oleh kurikulum mata pelajaran tersebut. Ini secara
langsung mengurangkan keberkesanan usaha ke arah membangunkan insan yang
berilmu pengetahuan, berketrampilan, berdaya saing, berkemahiran dan mempunyai
jati diri dan ciri modal insan cemerlang yang dihasratkan.
Ke arah
itu, satu bentuk pengubahsuaian sedang dijalankan bagi mengatasi masalah ini.
Dari aspek kurikulum sekolah, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) sedang
berusaha membangunkan satu bentuk kurikulum baru yang lebih berpusatkan murid,
lebih memberikan peluang kepada murid untuk meneroka bidang ilmu tersebut
dengan lebih mendalam, dan kurikulum yang menyeronokkan dan tidak
berorientasikan peperiksaan. Berdasarkan keperluan ini, BPK membangunkan konsep
Transformasi Kurikulum Kebangsaan yang membawa cadangan perubahan kepada
konsep, bentuk, struktur dan operasi kurikulum persekolahan kebangsaan.
Struktur kurikulum baru KBSR memperkenalkan konsep tunjang – satu bentuk
pengklasifikasian bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang berfokus kepada
pembentukan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan
inteleknya. Enam tunjang di kenalpasti mewakili bidang ilmu, kemahiran dan
nilai yang menjadi asas kepada pembangunan insan yang dihasratkan.
Transformasi
Kurikulum Kebangsaan dan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan merupakan dua
strategi yang saling melengkapi ke arah merealisasikan agenda untuk membangunkan
modal melalui pendidikan. Kedua-dua strategi menekankan kepada pencapain
standard yang ditetapkan; Transformasi Kurikulum melalui penetapan standard
kandungan dan standard pencapaian manakala SPPK melalui Ujian Rujukan Standard.
Pelaksanaan Transformasi Kurikulum Kebangsaan dan SPPK akan memastikan prestasi
murid dibitara dan setanding dengan
standard antarabangsa dalam pelbagai bidang pengetahuan, kemahiran dan
kecekapan.
5.Dasar & Polisi Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Pendidikan awal kanak-kanak amat penting untuk membantu perkembangan otak kanak-kanak yang berlaku dengan pantas mengikut peringkat
umur masing-masing. Oleh yang demikian, beberapa dasar dan polisi dalam
pendidikan awal kanak-kanak diwujudkan untuk menentukan hala tuju Program
Asuhan dan Didikan Awal kanak-kanak tersebut.
Dalam
satu pertubuhan iaitu, Convention On The
Rights Of the Child – CRC adalah satu pertubuhan antarabangsa. Konvensyen
ini banyak membincangkan khususnya tentang keperluan-keperluan dan hak–hak
kanak–kanak dan berfokuskan kepada kanak–kanak berumur 0 hingga 18 tahun (Sumber: Convention On The
Rights Of the Child 2009).
Akta Kanak-Kanak 2001 (disebut Akta 611) dan telah
berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2002. Tujuan utama Akta 611 adalah untuk menyatukan
dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, perlindungan
dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara
yang berkaitan dan bersampingan dengannya. Antara perkara penting yang
diketengahkan oleh Akta 611 adalah tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau
penjaga dalam memelihara kesejahteraan kanak-kanak, tanggungjawab untuk
memaklumkan kes-kes penderaan kanak-kanak, penubuhan mahkamah bagi kanak-kanak,
cara perbicaraan dan hukuman (Sumber: Akta Kanak-Kanak
2009).
Childcare Centers
Act 1984 & Amedment 2007 (Act 308) suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi
pendaftaran, pengawalan dan pemeriksaan Taman-taman Asuhan Kanak-kanak dan bagi
maksud-maksud yang berkaitan dengannya. Mengikut seksyen 4, tiap-tiap taman
asuhan kanak-kanak hendaklah didaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
(Institusi-kanak-kanak & Itemid 2009).
Akta Pendidikan 1996
yang juga dikenali sebagai Akta 550 adalah bertujuan memansuhkan Akta Pelajaran
1961. Secara amnya, Akta Pendidikan 1996 tersebut telah mengemukakan satu
undang-undang baru tentang pendidikan bagi maksud melaksanakan dasar pendidikan
negara yang berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Sumber: Akta Pendidikan
1996).
Oleh itu, rasionalnya
dasar ini ditubuhkan adalah kerana keperluan dasar yang komprehensif
Kementerian Pelajaran Malaysia telah pun mewujudkan dasar pendidikan awal untuk
kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun. Sehingga kini, masih belum ada satu dasar
yang komprehensif yang menggabungkan asuhan dan didikan awal kanak-kanak berumur
di bawah 4 tahun di negara ini.
Dasar asuhan dan didikan
Awal Kanak-kanak Kebangsaan ini merupakan asas penting sebagai landasan jangka
panjang dari pelaburan awal dalam pembangunan modal insan seperti yang
digariskan di dalam Rancangan Malaysia ke-9. Kanak-kanak hari ini merupakan
bakal pewaris dan modal insan negara di masa hadapan. Penumpuan kepada peringkat umur ini merupakan
salah satu strategi awal bagi mengasaskan pendidikan sepanjang hayat dengan
menghasilkan insan berjiwa murni, berakhlak mulia, berdisiplin serta
berkemahiran menangani perubahan teknologi dan sosioekonomi global.
Penjelasan secara khusus
penyataan Dasar Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan ialah
"Dasar Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan ialah Dasar yang komprehensif bagi memastikan perkembangan
yang holistik bagi semua kanak-kanak dari lahir hingga 4 tahun. Ia menjadi asas
kukuh kepada pembangunan potensi kanak-kanak berlandaskan acuan Malaysia. Dasar
ini adalah pengukuh serta pelengkap kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan sedia
ada.
Penyataan Dasar ini
penting memandangkan kanak-kanak merupakan kumpulan masyarakat yang perlu
diberi perhatian oleh Kerajaan, ibu bapa, NGO dan pihak swasta supaya mereka
dibesarkan mengikut acuan Malaysia ke arah melahirkan modal insan yang
berkualiti tinggi dan berperibadi mulia. Justeru semua pihak yang
bertanggungjawab perlu menggembeleng tenaga, kepakaran dan sumber, menyediakan program,
perkhidmatan, pendidikan dan latihan, perlindungan serta kemudahan yang dapat
merangsang perkembangan positif kanak-kanak.
Objektif Dasar Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak
Kebangsaan adalah :
- · Menyediakan asas kepada pembangunan potensi insan yang seimbang dan optimum berlandaskan acuan tersendiri dengan mengambil kira nilai-nilai tempatan dan amalan bijak antarabangsa;
- · Menggalakkan kanak-kanak di bawah umur 4 tahun mendapat asuhan dan didikan yang berkualiti bagi merangsang perkembangan awal mereka yang sesuai mengikut kumpulan umur dari segi fizikal, bahasa, kognitif, sosio-emosi dan rohani dalam persekitaran yang selamat, sihat dan menyeronokkan.
- · Membangunkan kurikulum yang komprehensif bagi perkembangan awal kanak-kanak secara menyeluruh meliputi pendidikan, pengasuhan, nutrisi dan kesihatan.
- · Mewujudkan kemudahan infrastruktur dan persekitaran pembelajaran termasuk peralatan pembelajaran yang berkualiti bagi membolehkan pencapaian hasil pembelajaran yang positif.
- · Menggalakkan penglibatan dan hubungan yang teguh antara ibu bapa, Kerajaan, pihak swasta dan juga badan bukan kerajaan serta kumpulan masyarakat setempat di dalam pengasuhan dan pendidikanawal kanak-kanak.
- · Meningkatkan kesedaran awam terhadap keperluan memberikan pendidikan awal kanak-kanak dari lahir hingga ke 4 tahun sebagai asas utama pembangunan holistik mereka sebelum memasuki alam persekolahan formal.
- · Memastikan kewujudan dan pelaksanaan sistem pemantauan dan penilaian keberkesanan program asuhan dan didikan awal kanakkanak.
Kumpulan sasar bagi
Dasar ini adalah kanak-kanak di bawah umur 4 tahun khususnya bagi kanak-kanak
dari keluarga berpendapatan rendah dari kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
Mengikut statistik 2007, populasi kanak-kanak yang berumur di bawah 4 tahun
adalah seramai 3,116,200 orang. Dari jumlah ini hanya 10% atau seramai 300,000
orang kanak-kanak yang dianggarkan menghadiri taman asuhan kanak-kanak di 8841
buah TASKA (iaitu 2,176 buah TASKA yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan
Masyarakat dan di 6,665 buah TASKA yang tidak berdaftar dengan Jabatan
Kebajikan Masyarakat).
Dianggarkan juga
daripada 8,841 buah TASKA ini hanya 30% atau 2,653 buah TASKA (berdaftar dan
tidak berdaftar) terletak di kawasan luar bandar yang memberikan perkhidmatan
pengasuhan kepada 80,000 orang kanak-kanak bawah umur 4 tahun. Daripada jumlah
2,653 buah TASKA ini, sebanyak 304 TASKA adalah dibawah kelolaan KEMAS dengan
bilangan kanak-kanak seramai 3,654 orang.
Komponen dasar asuhan dan didikan Awal Kanak-kanak ini
meliputi 4 komponen
utama iaitu :
I. Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak
Kebangsaan
II. Kemudahan Fizikal
III. Tenaga pendidik dan
IV. Penglibatan Ibu Bapa
Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan
(Kurikulum PERMATA)
Dasar / Polisi / Akta
|
Fokus Umur (Tahun)
|
Convention On The
Rights Of the Child – CRC
|
0 – 18
|
Child Act 2001
(Act 611)
|
0 – 18
|
Childcare Centers
Act 1984 & Amedment 2007(Act 308)
|
0 – 4
|
Education Act
1996 ( Act 550 )
|
4 – 6
|
Education Act
1996 (Regulation of Special Education 1997)
|
4 – 6
|
Education
Development Master Plan (PIPPT) 2006 - 2010
|
5 – 6
|
The Early
Childhood Care & Development
(ECCD) Policy 2007
|
0 – 8
|
Child Health
Services Policy – 1950
|
0 – 18
|
National Child
Protection Policy (Act 574 & 521)
|
0 – 18
|
National Policy
on Disable Child (article 21 of CRC)
|
0 – 18
|
National Policy
on Indigenous Child (article 30 of CRC)
|
0 – 18
|
9th Malaysian
Plan (2006 – 2010)
|
0 – 18
|
(Sumber:
En. Azman b. Abd Salam 2009)
5.1 Pelan Tindakan Pelaksanaan Dasar
Pelaksanaan Dasar
ini akan dijalankan secara berperingkat melalui fasa I dan fasa II mulai tahun
2009.
Fasa
Pertama (Mulai 2009)
Penggunaan Kurikulum Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-kanak
Kebangsaan di taska yang dikelolakan oleh kerajaan. Penggunaan Kurikulum
Kebangsaan ini hanya terpakai bagi TASKA yang dikelolakan oleh Kerajaan atau
badan-badan berkanun.
·
TASKA KEMAS yang dikelolakan
oleh KEMAS, Kementerian Kemajuan Luar Bandar.
·
TASKA Perpaduan yang
dikelolakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Kementerian
Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
·
TASKA Kementerian
Pertahanan.
·
Pusat Anak PERMATA Negara.
Pemakaian kurikulum ini
boleh dibuat secara pentadbiran, tanpa perlu meminda mana-mana undang-undang.
Ini adalah kerana TASKA yang dikelolakan oleh agensi Kerajaan tidak tertakluk
kepada mana-mana undang-undang. Seksyen 3 Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984
(Akta 308) telah mengecualikan TASKA yang dikelolakan oleh kerajaan daripada
pemakaian Akta tersebut.
Bagi TASKA yang
dikelolakan oleh pertubuhan perbadanan dan perlu berdaftar di bawah Akta Taman
Asuhan Kanak-kanak 1984, seperti TASKA FELDA, pertubuhan perbadanan boleh
memilih untuk menerima pakai Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak
Kebangsaan yang digubal oleh Kementerian Pelajaran.
5.2 Penubuhan Pusat PERMATA KEMAS
Fasa 1 akan melibatkan peningkatan taraf 304 taska sedia
ada dari aspek
latihan, perjawatan, kemudahan dan peralatan.
·
Latihan
Bagi melaksanakan kurikulum PERMATA di semua Taska KEMAS
sepenuhnya, latihan tambahan kepada pegawai dan kakitangan KEMAS sedia ada yang
mengendali dan memantau Taska KEMAS perlu diadakan seperti berikut :
- a) kursus Jurulatih Utama kepada seramai 20 orang Jurulatih KEMAS
dan
Pegawai / Penyelia Prasekolah untuk menjadi 'Master Trainers'.
- b) kursus Orientasi Kurikulum PERMATA kepada seramai 840 orang Pengasuh dan Penyelia / Pegawai Pemantau. Ia akan di buat secara berperingkat dalam jangka masa 3 tahun.
- c) Mempertingkatkan tahap kelulusan akademik Pemaju Masyarakat sedia ada ke peringkat diploma di institusi pengajian tinggi secara jarak jauh pada hujung minggu.
- d) Latihan pra perkhidmatan kepada Pemaju Masyarakat baru yang akan dilantik.
- e) Dengan mengambil kira nisbah seorang pengasuh kepada 5 orang kanak-kanak dari itu program PERMATA KEMAS akan memerlukan seramai 818 orang pengasuh tambahan.
·
Kemudahan
Premis dan Peralatan
Bagi menjadikan Taska KEMAS setaraf dengan Pusat PERMATA
pengubahsuaian dan naik taraf dari segi ruang dan kemudahan serta peralatan
pembelajaran perlu dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan
kewangan.
·
Perjawatan
Pada masa kini jawatan Pemaju Masyarakat Taska KEMAS adalah
bertaraf kontrak dengan tangga gaji disandarkan ke jawatan Gred N11. Dengan
perancangan latihan dan cadangan peningkatan tahap kelulusan akademik, gred
jawatan Pemaju Masyarakat Taska KEMAS ini perlu disesuaikan selaras dengan
kelulusan akademik. Disamping itu KEMAS juga memerlukan penambahan jawatan
sebanyak 818 orang di peringkat pemaju Masyarakat dan 356 orang di peringkat
Pembantu Taska.
5.3 Penubuhan Pusat PERMATA Perpaduan
Sebagai permulaan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi
Nasional (JPNIN) mencadangkan supaya
Taska PERMATA Perpaduan ini dilaksanakan dalam lingkungan kawasan Rukun
Tetangga di bandar dan pinggir bandar seperti di Pusat Aktiviti Perpaduan,
pusat Rukun Tetangga dan bangunan Tabika Perpaduan. Bagi Fasa I sebanyak 105
Pusat PERMATA Perpaduan akan ditubuhkan iaitu 15 bagi tahun 2009,
30 buah Pusat pada tahun 2010 dan 60 buah Pusat pada
tahun 2011.
·
Kemudahan
Premis dan Peralatan
Kebanyakan bangunan dan premis sedia ada JPNIN perlu
ditambah baik dan diubahsuai supaya setaraf dengan Pusat PERMATA. Memandangkan
kini terdapat 415 buah bangunan yang sesuai dijadikan sebagai Taska PERMATA
Perpaduan, pelaksanaannya perlulah dibuat secara berperingkat bersesuaian
dengan kemampuan kewangan.
·
Perjawatan
Bilangan jawatan yang diperlukan bagi 105 Taska PERMATA
Perpaduan ialah seperti berikut:
Tahun
taska pendidik pembantu pendidik
TAHUN
|
TASKA
|
PENDIDIK
|
PEMBANTU
PENDIDIK
|
2009
|
15
|
60
|
30
|
2010
|
30
|
120
|
60
|
2011
|
60
|
240
|
120
|
Jumlah
|
105
|
420
|
210
|
JPNIN mencadangkan supaya Pendidik dilantik pada Gred S27
dengan pembantunya pada Gred N11 berasaskan kelayakan akademik mereka.
·
Latihan
Pendidik di Pusat PERMATA Perpaduan di jangka perlu
mengikuti latihan dalam bidang pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak
selama 6 minggu.
5.4 Penubuhan pusat permata felda
FELDA bercadang untuk memperluaskan program PERMATA
dengan menambah lima lagi Pusat iaitu di FELDA Jaya Raja Alias, FELDA Gugusan
Besout, FELDA Gugusan Kertih, FELDA Ciku Kelantan dan FELDA Tenggaroh.
Bangunan-bangunan sedia ada di lokasi-lokasi tersebut akan dinaik tarafkan
supaya sesuai dengan keperluan program PERMATA.
5.5 Penubuhan pusat permata angkatan tentera malaysia (ATM)
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menubuhkan Pusat
PERMATA di 5 buah lokasi iaitu Kompleks Perumahan Desa Tun Hussein Onn, Kuala
Lumpur (Markas ATM), Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur (Markas Tentera Darat),
Pangkalan TLDM Lumut (Markas Tentera Laut), Pangkalan Udara Subang (Markas
Tentera Udara), dan Taskanita Kementerian Pertahanan (PUSPANITA). ATM
seterusnya akan menambah 8 lagi Pusat PERMATA ATM iaitu 4 lokasi bagi Tentera
Darat, 2 lokasi bagi Tentera Laut dan 2 lokasi bagi Tentera udara.
Fasa Kedua (Mulai 2010)
Pemakaian Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak
Kebangsaan Di Taska Swasta. Sekiranya pemakaian Kurikulum Asuhan dan Didikan
Awal Kanak-kanak ini akan dijadikan mandatori bagi semua taska, termasuklah
yang ditubuhkan dan dikelolakan oleh pihak swasta, sebagaimana yang
diperuntukkan dalam Seksyen 22 Akta Pendidikan 1996 bagi pemakaian Kurikulum
Kebangsaan prasekolah di termasuk TADIKA Swasta, maka pindaan hendaklah di buat
kepada Akta Pendidikan 1996 bagi memasukkan peruntukan yang serupa.
Dengan ini, Kurikulum
Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak akan menjadi sebahagian daripada Sistem
Pendidikan Kebangsaan. Bagi maksud ini, pindaan yang substansif perlu dibuat
kepada Akta Pendidikan 1996, khususnya yang melibatkan Bahagian IV yang
memperuntukkan perkara-perkara berhubungan dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan.
Peruntukan mengenai
kenyataan dasar yang disebut dalam perenggan 14 diatas adalah peruntukan
membolehkan (enabling clause) yang memperuntukkan bahawa Menteri Pelajaran
mempunyai kuasa untuk menggubal atau menetapkan serta bertanggungjawab bagi
hal-hal yang berkaitan dengan kurikulum asuhan dan didikanawal kanak-kanak.
Selain itu, kenyataan Dasar ini tidak menyentuh obligasi mana-mana pihak untuk
melaksanakan kurikulum tersebut. Ini adalah kerana pelaksanaannya boleh dibuat
secara pentadbiran.
Berhubung dengan Akta
Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 yang memperuntukkan mengenai pengawalseliaan
taska swasta, khususnya pendaftaran TASKA swasta, walaupun ia tidak
memperuntukkan mengenai penggubalan dan pemakaian kurikulum di TASKA, namun
pemakaian Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak adalah di peruntukkan di bawah
Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Di Institusi) 1985 yang
dibuat di bawah Akta tersebut. Memandangkan Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal
Kanak-kanak yang digubal oleh Kementerian Pelajaran akan terpakai bagi semua
TASKA, maka beberapa pindaan mungkin perlu dibuat kepada Akta Taman Asuhan
Kanak-kanak 1984.
Bagi melaksanakan
pemakaian Kurikulum Kebangsaan di semua TASKA swasta, adalah dicadangkan supaya
pindaan kepada Akta Pendidikan 1996 dan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984
dipinda pada tahun 2010.
6. HALA TUJU PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
Kepentingan
pendidikan prasekolah sebagai penyediaan kepada kanak-kanak ke alam
persekolahan telah banyak didokumentasikan. Menurut UNESCO, pendidikan awal
kanak kanak memainkan peranan yang penting dalam perkembangan minda kanak-kanak
dan dapat mengurangkan kekurangan sedia ada dan di masa depan. 26 Kajian
dijalankan di Amerika Syarikat mendapati kanak-kanak yang mengikuti pendidikan
prasekolah, lebih komited dalam pendidikan dan memperolehi pendapatan lebih
tinggi pada masa hadapan
Menyedari kepentingan pendidikan
prasekolah serta skop Malaysia dalam meningkatkan kadar penyertaan prasekolah,
yang mana kadar semasa ialah 67% bagi kanak-kanak yang berumur empat dan lima
tahun, kami telah mengenalpasti pendidikan prasekolah sebagai salah satu fokus
di bawah NKRA Pendidikan.
Bagi
meningkatkan kadar penyertaan dan kualiti pendidikan prasekolah, terdapat tujuh
teras yang dikenalpasti bagi memperkasa tadbir urus dan pelaksanaan pendidikan
prasekolah yang berkualiti.
- Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan serta Bahagian Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Prasekolah. Jawatankuasa ini berperanan mengkaji semula dasar pendidikan prasekolah kerajaan dan prasekolah swasta yang berdaftar termasuk kurikulum, kriteria kelayakan, latihan dan penilaian, menyelaras semua prasekolah (kerajaan dan swasta) serta memantau dan menilai pendidikan prasekolah bagi menggubal dasar prasekolah masa depan. Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pelajaran (MOE), manakala ahli tetapnya terdiri daripada Ketua Pengarah KEMAS, Ketua Pengarah JPNIN dan Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta (MOE).
- Pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bermula Januari 2010, yang dibangunkan dengan kerjasama agensi swasta. KSPK memberi penekanan dalam aspek berikut:
Ø
Menggabungkan prinsip pendidikan holistik
yang berorientasikan kepada hasil pembelajaran
Ø
Memastikan proses pengajaran dan pembelajaran
mengambil kira latar belakang pelajar yang berbeza
Ø Mentakrifkan
penggunaan bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin sebagai bahasa
instruksional.
Ø Melibatkan
aktiviti-aktiviti yang menggalakkan pemahaman budaya serta aktiviti pelbagai
bangsa.
Penambaikan kepada Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan ini
merupakan satu inisiatif yang diterima baik
- Menyeragamkan bantuan kepada murid prasekolah kerajaan. Ini termasuk penyeragaman pemberian geran per kapita kepada prasekolah MOE, KEMAS dan JPNIN serta menaikkan bantuan makanan bagi menampung inflasi.
- Meningkatkan kualiti guru dan pembantu guru prasekolah. Program Peningkatan Kemahiran akan diberikan kepada lebih kurang 30,000 guru dan pembantu guru prasekolah sedia ada dan baru dalam tempoh tiga tahun. Selain itu, kriteria kelayakan minima untuk semua guru prasekolah ialah Ijazah sarjana muda. Sebagai tambahan, kerajaan juga akan membangunkan kerangka kecemerlangan pendidikan prasekolah, dengan menakrifkan sasaran yang perlu dicapai oleh prasekolah.
- Menambah bilangan kelas prasekolah, khususnya bagi kanak-kanak berumur 4 tahun. Berdasarkan kepada kadar penyertaan semasa, disasarkan bilangan kelas prasekolah yang diperlukan dalam anggaran 10,000 kelas. Bagi mencapai sasaran ini, pihak kami akan meningkatkan kerjasama dengan pihak swasta.
- Meningkatkan Perkongsian Pintar Kerajaan-Swasta dalam pendidikan prasekolah. Insentif baru akan diberikan kepada pengusaha presekolah swasta khususnya di kawasan miskin bandar dan di luar bandar. Manakala pihak swasta pula , perlu mematuhi standard yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan, termasuk sasaran yang ditetapkan.
- Mewujudkan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan bagi menyelaras dan mengumpul maklumat berkaitan prasekolah termasuk maklumat asas pelajar, personel dan lokasi sekolah serta pencapaian prasekolah tersebut. Dengan sistem ini, pihak Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan akan dapat memantau dan menilai pelaksanaan prasekolah dengan lebih telus dan berkesan serta dapat merancang dasar-dasar baru bagi memantapkan
6.1
LITERASI DAN NUMERASI: MEMASTIKAN SEMUA KANAK-KANAK BERUPAYA MENGUASAI KEMAHIRAN ASAS LITERASI
DAN NUMERASI SELEPAS TIGA TAHUN MENGIKUTI
PENDIDIKAN RENDAH
Sasaran yang ditetapkan agak sukar dicapai, walaupun untuk
golongan dewasa kerana kurang daripada 30 negara mempunyai kadar literasi
mencapai 100%. Namum, sasaran yang tinggi untuk kadar literasi dan numerasi
amat penting. Ini disebabkan pada tahun 2008 sahaja, masih terdapat 54,000
pelajar Tahun 1 (anggaran 13% daripada jumlah enrolmen pelajar Tahun 1) yang
tidak menguasai kemahiran literasi dan 117,000 (24%) pelajar dalam Tahun 4 yang
tidak menguasai kemahiran numerasi yang ditetapkan.
Kajian yang telah dijalankan oleh MOE menunjukkan bahawa faktor
yang menyumbang kepada keciciran pelajar adalah disebabkan ketidakupayaan untuk
menerima pelajaran yang diajar. Pada tahun 2008, hampir 32,000 pelajar cicir dari
pelbagai peringkat persekolahan. Harapan kerajaan, sekiranya penguasaan
kemahiran literasi dan numerasi asas diberi penekanan bermula daripada
peringkat awal pendidikan, kadar keciciran pelajar akan dapat dikurangkan.
Penguasaan kemahiran literasi dan numerasi pada peringkat awal pendidikan juga
amat kritikal bagi seseorang kanak-kanak kerana penguasaannya akan menjadi
lebih sukar di masa hadapan – kegagalan adalah kumulatif.
6.2 SENARIO KEWUJUDAN PRASEKOLAH ALAF BARU
Pendidikan
prasekolah adalah pendidikan untuk membantu pertumbuhan dan perkembangan
jasmani dan rohani anak didik di luar lingkungan keluarga sebelum memasuki
pendidikan dasar, Pendidikan prasekolah juga bertujuan untuk membantu
meletakkan dasar ke arah perkembangan sikap, pengetahuan, ketrampilan, dan daya
cipta yang diperlukan oleh anak didik dalam menyesuaikan diri dengan
lingkungannya dan untuk pertumbuhan serta perkembangan selanjutnya.
7. PENUTUP
Usaha
memajukan kanak-kanak di peringkat awal merupakan asas pembentukan modal insan
yang berkualiti yang memberi pulangan tertinggi dalam kemajuan ekonomi kerana
ia merupakan cara berkesan untuk mengurangkan kemiskinan dan menggalakkan
pertumbuhan ekonomi.
Kanak-kanak yang dipelihara dan dididik hari ini perlu
dilengkapkan bukan sahaja bagi menghadapi cabaran yang biasa masa kini tetapi
juga kerumitan yang mungkin dihadapi masa akan datang. Oleh itu, mendidik
anak-anak kita dengan betul adalah sesuatu yang perlu kita lakukan, bukan
sahaja untuk faedah mereka tetapi juga bagi masa depan negara. Kualiti modal
insan negara merupakan elemen penting bagi mencapai aspirasi negara untuk
menjadi negara maju menjelang 2020. Pembangunan modal insan perlu holistik,
yang merangkumi usaha menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran termasuk sains dan
teknologi, keupayaan keusahawanan selain menyemai sikap progresif, positif dan
beretika melalui pelajaran, latihan dan pembelajaran seumur hidup.
Proses menyemai nilai-nilai yang baik dan kemahiran yang
sesuai bagi pembentukan menyeluruh sebagai individu perlu bermula sejak
kanak-kanak itu masih bayi. Kita tidak patut membiarkan aspek pembangunan
kanak-kanak itu apabila mengetahui bahawa kualiti jagaan dan pendidikan awal
kanak-kanak boleh menghasilkan kesan positif jangka panjang. Kerajaan Malaysia
sentiasa secara konsisten memperuntuk sejumlah besar wang bagi bajet
pembangunan untuk kemajuan pendidikan bagi memastikan sasaran dalam pelan pendidikannya
mencapai matlamat.
Pada 2007, kanak-kanak berumur lima dan enam tahun yang
mendapat pendidikan pra sekolah adalah tinggi iaitu 67 peratus dan dijangka ia
akan meningkat kepada 80 peratus menjelang akhir 2010. Bagaimanapun, peratusan
ibu bapa yang menggunakan pusat jagaan kanak-kanak bagi kanak-kanak yang
berumur empat tahun ke bawah adalah rendah. Kaji selidik pada 2006 yang
dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara mendapati
hanya 10.6 peratus ibu bapa menggunakan pusat itu berbanding 5.9 peratus bagi
mereka yang tinggal di luar bandar.
Objektif program Permata adalah bagi mengisi jurang
pembangunan, pendidikan dan jagaan kanak-kanak sejak mereka lahir hingga
mencapai umur lima tahun dalam usaha untuk menyediakan jagaan berterusan
sebelum mereka memasuki pra sekolah dan sistem persekolahan formal. Oleh itu,
falsafah dan kurikulum disamping proses pembelajaran dan pengajaran perlu
selari bagi mencapai pembangunan berterusan. Ibu bapa perlu lebih mesra dalam
memandu kanak-kanak dalam menemukan mereka dengan persekitaran.
Dengan dunia tanpa sempadan dan proses globalisasi, wujud
keperluan bagi menyediakan kanak-kanak untuk menjadi warganegara global dan
mereka perlu diingatkan mengenai padang permainan mereka sebagai orang dewasa tidak
terhad kepada tanah air mereka. Mereka perlu peka sejak awal mengenai
kepelbagaian budaya, berurusan dan berinteraksi dengan yang lain merentasi
dunia melalui teknologi maklumat dan komunikasi dan mengenai keupayaan untuk
bekerja di dunia yang berbeza.
Oleh itu, adalah penting bagi memastikan semua sistem
dalam masyarakat bermula dari ibu bapa, keluarga dan masyarakat dan sistem
sekolah, untuk bekerjasama sepenuhnya bagi memaksimumkan potensi kanak-kanak
itu dalam persekitaran holistik merangkumi lingkungan intelektual, kebudayaan
dan kerohanian
RUJUKAN
Akta Kanak-Kanak.
2009. Diperoleh pada Ogos 14, 2010
daripada http://leeannkang.tripod.com/home.htm
Akta
Kanak-Kanak. 2009. Diperoleh daripada
http://leeannkang.tripod.com/home.htm (14 Ogos 2010).
Akta Pendidikan. 1996. Diperolehi pada 14 Ogos, 2010
daripada http://jpt.mohe.gov.my/RUJUKAN/akta/akta%20pendidikan%201996.pdf
Akta Pendidikan. 1996. Diperolehi daripada
http://jpt.mohe.gov.my
Ali Ab. Ghani.2008. Konvensyen Nasional Pipp Kedua : Membangun Modal Insan. Bahagian Perkembangan Kurikulum
Kementerian Pelajaran Malaysia
Bernard Van Leer. 2009. About the Bernard van Leer Foundation. Diperoleh dari http://www.bernardvanleer.org/about
Jabatan Perdana Menteri. 2009. Dasar Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan. Selangor: PERMATA Negara.
Kamarul Azman b. Abd Salam. 2009. Kursus Asuhan Dan Pendidikan Awal Kanak- kanak dalam nota kuliah satu (1): Sejarah Perkembangan
Asuhan dan Pendidikan Awal
Kanak-kanak di Malaysia. Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Kurikulum
Permata. 2008. Panduan Pendidikan Awal
Kanak-kanak 0-4 Tahun. Perak: Pusat
Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mastura Badzis. Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal Umur Berasaskan Binaan Kurikulum yang Integratif. Malaysia
Pendidikan Awal Kanak-Kanak : Pra
3101. Diperolehi daripada
http://zulprasekolah.blogspot.com/2009/01/pra-3101-asas-pendidikan-awal kanak.html/RUJUKAN/akta/akta%20pendidikan%201996.pdf
Permata Negara, Dasar
Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan, Jabatan Perdana Menteri. 2008. Enterprise Building. Selangor.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Prasekolah
http://www.kemas.gov.my/7#
http://www.moe.gov.my/?id=134&lang=my
http://www.permata.jpm.my/buletin/28.html
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0224&pub=Utusan_Malays &sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm
http://www.google.com.my/search?q=kualiti+jumlah+kelas+pendidikan+awal+kanak kanak&ie=utf-8&oe=utf-8&aq=t&rls=org.mozilla:en-US:official&client=firefox-a
http://www.e-kedai.net/en/prasekolah/tadika-berkualiti.html
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0118&pub=Utusan_Malays &sec=Pendidikan&pg=pe_08.htm
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0204&pub=Utusan_Malays &sec=Rencana&pg=re_07.htm
www.mindamadani.my/index2.php?option=com_content