Tahap kefahaman
di kalangan pelajar seni bina terhadap pengajaran berbantukan nota elektronik
bagi subjek sejarah seni bina
Pendahuluan
Penggunaan
teknologi komputer dalam bidang pendidikan telah lama diperkenalkan di negara-negara maju seperti Amerika
dan Eropah sejak awal tahun 60 an lagi. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam
menikmati arus pembangunan yang berasaskan komputer ini. Dalam konteks
pendidikan, penggunaan teknologi komputer bukan hanya mampu membantu
tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, tetapi berpotensi sebagai alat untuk
mengayakan lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran bagi hampir semua mata
pelajaran. Penciptaan mikro komputer pada awal tahun 70 an telah memberi kesan
yang mendalam kepada penggunaan teknologi tersebut dalam bidang pendidikan di
Malaysia (Norhashim et al. 1996). Menurut Norhashim et al. (1996) penggunaan
komputer dalam bidang pendidikan memberi kesan yang besar dan bermakna terhadap
kualiti pembelajaran iaitu :
- memudahkan penghasilan bahan-bahan pengajaran secara lebih efisien.
- membenarkan pendidik menyediakan pendekatan pengajaran baru yang lebih efektif.
- memudahkan penggunaan pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran seperti multimedia, simulasi dan aktiviti kumpulan menerusi aplikasi sistem rangkaiannya.
Konsep Pengajaran Bantuan Komputer
Menurut
Norhashim et al. (1996) konsep pengajaran bantuan komputer adalah mengenai
pembahagian bahan pembelajaran dan kemahiran dalam unit kecil supaya ianya
mudah difahami. Unit kecil ini pula akan dipersembahkan semula dengan gaya yang
menarik dalam bentuk bingkai untuk dipaparkan di skrin monitor. Pengajaran atau
pembelajaran di bantu komputer boleh dihubungkan secara dalam talian. Semasa
proses pembelajaran wujud interaksi di antara pelajar dan komputer. Bahan pengajaran melalui komputer boleh
disediakan dalam bentuk cakera keras atau bahan ini tadi dilancarkan ke laman
web. Bagi proses pembelajaran yang berasaskan laman web belajar akan
berinteraksi dengan komputer melalui Internet. Penginteraksian menerusi
penjanaan bunyi dan suara melalui sentuhan skrin dan pergerakan tetikus akan
mewujudkan satu suasana pembelajran yang menarik.
Penggunaan Internet di dalam pendidikan
Aspek teknologi telah digabungkan dalam
kurikulum sekolah sebagai satu daya usaha untuk membentuk, menyemai dan memupuk
minat serta sikap yang positif terhadap perkembangan teknologi. Persekitaran
pembelajaran di sekolah seharusnya diubah daripada sesuatu yang berdasarkan
memori kepada yang berpengetahuan, berpemikiran, kreatif dan penyayang dengan
menggunakan teknologi terkini (KPM 1997). Pendedahan kepada teknologi komputer
dan Internet di sekolah akan membolehkan fleksibiliti dan kepelbagaian dibina
dalam sistem pendidikan (KPM 1997). Penggunaan Internet yang begitu meluas
dalam bidang perniagaan dan komunikasi, akan memudahkan pelaksanaannya dalam
bidang pendidikan. Peluang pembelajaran melalui Internet lebih bersifat terbuka
dan luas kerana ia tidak tertakluk kepada lokasi tertentu,sebaliknya ia
meliputi seluruh dunia. Secara tidak langsung ia juga menjurus kepada kelompok
sasarannya sendiri seperti pelajar-pelajar di peringkat sekolah rendah,
menengah dan institusi pengajian tinggi (Web Sutera 1999). Kemudahan Internet
juga telah memperkayakan lagi sumber-sumber maklumat yang dahulunya hanya dipersembahkan
melalui kaedah konvensional sahaja, iaitu buku, majalah, surat khabar, rencana
tertentu, jurnal dan buletin (Web Sutera 1999). Melalui Internet, sumber-sumber
tersebut turut disediakan dalam bentuk World Wide Web. Sumber-sumber sebegini
biasanya disediakan oleh pihak institusi pengajian tinggi, badan-badan pemikir
dan pusat penyelidikan dalam bidang tertentu. Ianya bukan sahaja sesuai untuk
dijadikan bahan rujukan kepada para pelajar sekolah, kolej dan universiti,
malah ia juga turut oleh dimanfaatkan oleh semua golongan orang yang berminat
(Web Sutera 1999).
Menurut laporan yang disediakan
oleh Riley (1996) komputer adalah merupakan asas di dalam pendidikan di Amerika
dan Internet adalah merupakan papan hitam untuk masa hadapan. Seperti mana yang
dinyatakan oleh Jonassen et al. (1999) pembelajaran melalui laman web akan
membawa kepada suasana yang menggerakkan, mencabar dan menyemarakkan suasana
pembelajaran pelajar yang akan membentuk hubungan dengan literasi komputer
bukan sebagai objektif tetapi untuk mencapai objektif yang lebih besar.
Satu kajian tentang penggunaan perisian
pengajaran dan pembelajaran berasaskan laman Web yang disepadukan subjek
Geografi telah dijalankan terhadap 114 pelajar yang mengikuti kursus di
Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1998 (Habibah 1999).Kajian ini telah
dijalankan oleh Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM (PJJ USM) untuk
melihat keberkesanan penggunaan perisian pengajaran dan pembelajaran yang
berasaskan laman web. Hasil dari kajian ini menunjukkan bahawa ramai pelajar
yang mendapat markah yang tinggi datangnya dari kumpulan pelajar yang belajar
menggunakan perisian yang berasaskan laman Web berbanding kaedah konvensional.
Dalam
satu kajian lain menunjukkan proses pembelajaran berasaskan laman web dapat
mengurangkan sebahagian besar masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut
(Hannaford 1993). Dapatan kajian mendapati:
- Pelajar mengambil masa yang kurang untuk mempelajari sesuatu.
- Menambahkan tumpuan perhatian kepada tugas dan motivasi.
- Pelajar mempunyai sikap positif terhadap penggunaan komputer di kelas.
- Komputer tidak menyekat kreativiti pelajar.
- Faedah penggunaan komputer bergantung kepada persekitaran dan cara komputer digunakan.
- Komputer berjaya mengajar pelajar yang terdahulunya tidak boleh diajar dan tidak berminat untuk belajar.
Kajian
– kajian yang dijalankan Atkinson (1984) ; Burns dan Bozeman (1981) ; Forman
(1982) ; Hartley (1978) ; Kearsley, Hunter dan Seidel (1983) ; Kulik et al.
(1984) ; Niemiec and Walberg (1984) ; dan Visonhaler dan Bass (1972) terhadap
pembelajaran berbantu komputer mendapati keputusan seperti berikut :
i.
Pencapaian pelajar PBK mungkin
meningkat, tetapi yang pasti ia dapat mempertingkatkan keberkesanan tutorial
individu.
ii.
PBK menjadikan pembelajaran lebih
menarik dan memuaskan.
iii.
Pelajar yang memiliki sikap
positif terhadap PBK melalui kekerapan kehadiran, lebih menumpukan perhatian
dan menambah motivasi.
iv.
PBK memberikan kekuatan kepada
pembelajaran subjek sejarah dan subjek yang memerlukan fakta.
v.
Program PBK yang digunakan dalam
proses pembelajaran amat berkesan dalam meningkatkan pencapaian pelajar dalam
proses pembelajaran.
Pendekatan Multimedia
Laman
web yang dibina untuk proses pembelajaran subjek sejarah seni bina ini akan
diaplikasikan dengan penggunaan multimedia interaktif. Menurut Von Wodtke
(1993) , multimedia pada masa kini merujuk kepada integrasi media seperti teks,
bunyi, grafik, animasi, video ke dalam sistem komputer. Menurut Feldman (1994),
multimedi ialah manipulasi dan intergrasi pelbagai media seperti data, teks,
grafik, imej, video, dan bunyi dalam suatu persekitaran digital. Menurut
Jonassen (1996), persembahan multimedia adalah lebih attention – getting dan
attention holding kerana ia adalah multimod, yakni rangsangan lebih daipada
satu deria pada satu masa. Maurer (1993) dan Thalmann (1993) penggunaan
multimedia dalam pendidikan akan memainkan peranan yang lebih ketara apabila
dibandingkan dengan media sedia ada kerana pelajar yang menggunakan multimedia
kini lebih cepat untuk mencapai maklumat yang sesuai apabila diapplikasikan
dengan komputer melalui perhubungan maklumat mengikut konsep hiperteks.
Terdapat banyak manafaat yang boleh membantu proses pembelajaran sekiranya
teknologi multimedia interaktif diapplikasikan dalam pembelajaran subjek
sejarah seni bina berasaskan laman web.
Menurut
Zulkifli (1998), ciri – ciri kelebihan yang boleh dimanfaatkan daripada
teknologi multimedia interaktif adalah seperti berikut :
- Proses pembelajaran menjadi aktif.
- Menggunakan gambar dan interaktif
- Menyediakan laluan pelbagai hala yang boleh dikawal sendiri oleh pengguna untuk menyampai maklumat.
- Memberi kecekapan dalam pengurusan masa pembelajaran dan mengurangkan masa latihan dan pengajaran.
- Mengawal pelbagai jenis data.
Pendekatan Teori
Dalam proses pembelajaran di dalam bilik
kuliah, teori dan strategi pembelajaran yang betul adalah penting dalam
memastikan maklumat yang disampaikan akan dapat diterima dengan baik oleh
pelajar. Begitu juga di dalam proses pembelajaran berasaskan laman web, teori
dan strategi pembelajaran yang betul adalah di antara faktor penting di dalam
menentukan keberkesanannya.Teori pembelajaran akan menjadikan sesuatu laman web
itu lebih efektif untuk berfungsi sebagai tutor kepada pelajar yang menggunakan
kaedah pembelajaran ini. Di antara teori
yang akan diterapkan di dalam pendekatan pembelajaran berasaskan komputer ini
ialah teori pembelajaran Gagne. Teori ini menyatakan terdapat
beberapa perbezaan atau tahap dalam pembelajaran (Gagne 1992). Kesan dari itu,
ia memerlukan pelbagai cara pengajaran yang berbeza. Gagne (1992) mengenal
pasti lima kategori pembelajaran iaitu:
- maklumat lisan
- kemahiran intelek
- strategi kognitif
- kemahiran motor dan
- sikap
Gagne (1992) juga telah menggariskan
beberapa garis panduan bagi strategi pembelajaran bagi melengkapkan proses
kognitif. Pengkaji mengambil garis panduan ini untuk dijadikan strategi
pengajaran yang digunakan untuk pembinaan laman web ini iaitu :
- Menarik perhatian
- Memaklumkan objektif pembelajaran
- Merangsang untuk mengingat pelajaran yang lepas
- Menyediakan rangsangan/pendorong pembelajaran
- Menyediakan panduan pembelajaran – secara semantik
- Mendapatkan kemajuan
- Menyediakan maklum balas
- Menilai pencapaian pembelajaran
- Tingkatkan pemindahan dan mengekalkannya
(Gagne 1992)
Implikasi Terhadap Reka bentuk Pembelajaran menggunakan Laman Web
Reka
bentuk pengajaran untuk laman web perlulah dibuat dengan perancangan yang
teliti. Reka bentuk pengajaran laman web juga perlulah bersandarkan kepada
suatu teori pembelajaran yang terpilih dan bersesuaian. Teori pembelajaran di
sebalik reka bentuk pengajaran laman web akan memberikan impak pembelajaran
yang lebih sempurna dan berkesan. Berlandaskan kepada itulah, saya memilih
teori yang disyorkan oleh Gagne sebagai pendokong terhadap pembentukan
pengajaran laman web saya. Langkah-langkah yang perlu diambil dalam proses
pembentukan pengajaran laman web ialah :
- pemilihan teori pembelajaran.
- pembentukan carta alir,
- rekabentuk papan cerita dan penulisan skrip, dan
- pembentukan laman web.
Tujuan Kajian
Kajian
ini dijalankan untuk melihat tahap
kefahaman di kalangan pelajar seni bina terhadap pengajaran berasaskan laman
web bagi subjek sejarah seni bina. Pendekatan ini akan dapat membantu pelajar
untuk mempelajari sesuatu konsep atau topik mengikut tahap dan kemampuan yang
sesuai dengan diri pelajar. Laman web ini juga direka untuk memberi pautan
kepada pelajar tentang maklumat lain yang boleh membantu untuk memahami sesuatu
topik itu dengan lebih berkesan. Laman web yang dibina dalam kajian ini boleh
juga dijadikan sebagai bahan bantu mengajar yang baik untuk pelajar – pelajar
seni bina dari institusi pengajian tinggi yang lain seperti di universiti.
Objektif Kajian
Kajian ini dibuat adalah untuk :
- Menentukan perhubungan di antara kesesuaian kaedah pengajaran berasaskan laman web dengan kefahaman pelajar terhadap subjek sejarah seni bina.
- Meninjau perhubungan di antara sikap pelajar terhadap kaedah pembelajaran berasaskan laman web dengan kefahaman pelajar terhadap subjek sejarah seni bina.
- Mengenalpasti keberkesanan penggunaan kaedah PBK dalam menentukan kefahaman pelajar terhadap subjek sejarah seni bina.
Reka bentuk Kajian
Kajian ini dijalankan dengan menggunakan
pendekatan kuantitatif dengan kaedah tinjauan untuk mendapatkan maklum balas
dari pelajar seni bina terhadap penggunaan laman web dalam pembelajaran tajuk
seni bina China bagi subjek sejarah seni bina semester enam. Seramai lima belas
pelajar semester enam kursus diploma seni bina dari Politeknik Port Dickson dan
lima belas pelajar semester enam dari Politeknik Ungku Omar akan dipilih secara
rawak untuk dijadikan sebagai sampel kajian. Tajuk yang akan dipelajari oleh
kedua – dua kumpulan pelajar ini ialah sejarah seni bina China. Bagi topik
sejarah seni bina pelajar akan melalui proses pembelajaran secara konvensional
dan berasaskan laman web.
Kaedah tinjauan akan digunakan untuk melihat persepsi pelajar ke
atas keberkesanan penggunaan laman web
dan melihat minat pelajar terhadap penggunaan laman web dalam pengajaran dan
pembelajaran subjek sejarah seni bina . Pengumpulan data akan dibuat pada masa
yang ditetapkan di Politeknik Port Dickson dan Politeknik Ungku Omar. Instrumen
yang digunakan bagi mendapatkan data dari sampel ialah melalui soal selidik.
Kepentingan Kajian
Kajian ini penting kerana ianya dapat
memberi pendekatan baru kepada pihak pentadbiran politeknik yang menghadapi
masalah kekurangan pensyarah. Pendekatan ini akan dapat membantu pensyarah
untuk menggunakan pendekatan yang kreatif dan berinovasi dalam menyampaikan
maklumat kepada pelajar khususnya pelajar seni bina. Perbandingan tahap
kefahaman pelajar berdasarkan pendekatan konvensional dan pendekatan kaedah PBK
adalah penting kerana ianya akan menunjukkan kaedah manakah yang akan memberikan kesan yang lebih baik
dalam proses pembelajaran subjek sejarah seni bina.
Pandangan dan respon daripada pelajar juga dapat memberi maklum balas
yang boleh dijadikan ukuran tentang keberkesanan penggunaan kaedah PBK dalam
subjek sejarah seni bina bagi meningkatkan minat pelajar seni bina khususnya
dalam proses mempelajari subjek ini. Kajian ini juga akan dapat menggalakkan
implementasi penggunaan kaedah PBK secara meluasnya pada masa depan bagi
membolehkan pelajar seni bina mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan cepat.
Kajian ini juga diharapkan akan dapat memberikan galakan khususnya kepada
pensyarah di politeknik untuk menggunakan pendekatan kaedah PBK dalam proses
pengajaran mereka. Diharapkan kajian ini akan dapat memberi idea baru kepada
Jabatan Pendidikan Teknikal supaya mendedahkan penggunaan kaedah ini dalam
pengajaran kepada pensyarah politeknik khususnya bagi mengurangkan masalah di
politeknik iaitu kekurangan pensyarah seni bina.
Analisa Data
Data - data yang diperolehi dari
sampel telah dianalisa dengan menggunakan korelasi Pearson dan menghasilkan
dapatan di bawah :
i.
Berdasarkan kepada
anggaran kekuatan perhubungan antara dua pembolehubah dalam Jadual 1.1 wujud
korelasi yang tinggi di antara kesesuaian pembelajaran berasaskan laman web
dengan kefahaman subjek sejarah seni bina dengan nilai r = 0.657. Nilai
korelasi ini adalah signifikan dengan nilai a =
0. (sila rujuk lampiran B)
Jadual 1.1 Anggaran kekuatan perhubungan antara dua
pembolehubah
Pekali
korelasi Kekuatan
Perhubungan
0.00 – 0.20 boleh diabaikan
0.20 – 0.40 rendah
0.40 – 0.60 sederhana
0.60 – 0.80 tinggi
0.80 –
1.00 sangat
tinggi
Sumber : Statisitik Penyelidikan dalam Pendidikan dan Sains Sosial, 1997 :
Alias Baba
Sumber : Statisitik Penyelidikan dalam Pendidikan dan Sains Sosial, 1997 :
Alias Baba
ii.
Berdasarkan kepada
anggaran kekuatan perhubungan antara dua pembolehubah dalam Jadual 1.1 wujud
korelasi yang sederhana di antara sikap pelajar ke atas pembelajaran berasaskan
laman web dengan kefahaman subjek sejarah seni bina dengan nilai r = 0.463.
Nilai korelasi ini adalah signifikan dengan nilai a = 0.01 (sila rujuk lampiran C)
Regresi Linear
Mudah
Satu
analisa regresi linear mudah telah dibuat untuk menganalisa anggaran indek
untuk kedua – dua pembolehubah bebas dengan indek untuk pembolehubah bersandar.
Analisis regresi digunakan untuk menjelaskan sumbangan pembolehubah bebas
terhadap jumlah varians pembolehubah bersandar. Analisa data menunjukkan
dapatan di bawah iaitu :
i.
Bagi perhubungan di antara kesesuaian
pembelajaran berasaskan laman web dengan kefahaman subjek sejarah seni bina
analisa data menunjukkan wujud perhubungan yang linear di antara kedua – dua
pembolehubah dimana peningkatan kesesuaian kaedah pembelajaran akan
meningkatkan kefahaman pelajar dalam proses pembelajaran subjek sejarah seni
bina. Persamaan regresi untuk menganggarkan kefahaman pelajar dalam proses
pembelajaran subjek sejarah seni bina berdasarkan perhubungan dengan kesesuaian
pembelajaran berasaskan laman web ialah :
(Sila rujuk lampiran D)
(Sila rujuk lampiran D)
Kefahaman subjek sejarah seni bina = 0.592 Kesesuaian
pembelajaran berasaskan laman web + 7.589
Seperti yang dijangkakan pertambahan kesesuaian
kaedah pembelajaran akan meningkatkan kefahaman pelajar ke atas subjek sejarah
seni bina. Nilai pekali korelasi di antara kesesuaian kaedah pembelajaran dan
kefahaman subjek sejarah seni bina ialah 0.657, t(28) = 4.608, r
= 0.000 (Sila rujuk lampiran E). Dengan anggaran sebanyak 41 peratus dari
varians kefahaman pelajar dalam proses pembelajaran subjek sejarah seni bina
ditentukan oleh kesesuaian kaedah pembelajaran dengan laman web dibina oleh
perhubungan secara linear.
ii.
Bagi perhubungan di antara sikap
pelajar ke atas pembelajaran berasaskan laman web dengan kefahaman subjek
sejarah seni bina analisa data menunjukkan wujud perhubungan yang linear di
antara kedua – dua pembolehubah dimana peningkatan sikap positif dalam diri
pelajar ke atas pembelajaran berasaskan laman web akan meningkatkan kefahaman
pelajar dalam proses pembelajaran subjek sejarah seni bina. Persamaan regresi
untuk menganggarkan kefahaman pelajar dalam proses pembelajaran subjek sejarah
seni bina berdasarkan perhubungan dengan sikap pelajar ke atas pembelajaran
berasaskan laman web ialah : (Sila rujuk lampiran F)
Kefahaman subjek sejarah seni bina = 0.526 Sikap
pelajar ke atas pembelajaran berasaskan laman web + 9.506
Seperti yang dijangkakan pertambahan sikap positif
pelajar ke atas pembelajaran berasaskan laman web akan meningkatkan kefahaman
pelajar ke atas subjek sejarah seni bina. Nilai pekali korelasi di antara sikap
pelajar ke atas pembelajaran berasaskan laman web dan kefahaman subjek sejarah
seni bina ialah 0.463, t(28) = 2.761, r = 0.010 (Sila rujuk lampiran G). Dengan anggaran
sebanyak 21 peratus dari varians kefahaman pelajar dalam proses pembelajaran
subjek sejarah seni bina ditentukan oleh sikap pelajar ke atas pembelajaran
berasaskan laman web dibina oleh perhubungan secara linear.
Perbincangan
Objektif yang diwujudkan di dalam
kajian ini ialah untuk meninjau dari persepsi pelajar perhubungan di antara
sikap pelajar terhadap pembelajaran berasaskan laman web dengan kefahaman
pelajar terhadap subjek sejarah seni bina. Kajian ini juga cuba untuk
menentukan perhubungan di antara kesesuaian kaedah pembelajaran berasaskan
laman web dengan kefahaman pelajar terhadap subjek sejarah seni bina.
Perhubungan yang wujud di antara sikap pelajar dan kesesuaian kaedah
pembelajaran dengan kefahaman pelajar akan dapat menentukan keberkesanan kaedah
pembelajaran berasaskan laman web. Seterusnya keberkesanan kaedah pembelajaran
berasaskan laman web akan dapat menentukan tahap kefahaman dalam proses
pembelajaran subjek sejarah seni bina.
Hasil dapatan
kajian menunjukkan bahawa pelajar diploma seni bina Politeknik Port Dickson dan
Politeknik Ungku Omar bersikap positif terhadap pembelajaran berasaskan laman
web. Dapatan kajian juga menunjukkan kesesuaian yang positif untuk kaedah
pembelajaran berasaskan laman web untuk subjek sejarah seni bina. Dapatan
kajian juga menunjukkan wujud korelasi di antara sikap pelajar dan kesesuaian
kaedah dengan kefahaman pelajar untuk subjek ini. Keputusan kajian menunjukkan
bahawa min secara keseluruhannya cenderung kepada persepsi positif terhadap
peningkatan proses pemahaman terhadap proses pembelajaran berasaskan laman web.
Berdasarkan dapatan di atas dapatlah dinyatakan di sini bahawa pelajar lebih
mudah untuk memahami subjek sejarah seni bina dengan kaedah pembelajaran
berasaskan laman web. Dengan ini jelaslah bahawa penggunaan kaedah PBK sebagai
media pengajaran telah dapat meningkatkan proses pemahaman isi pengajaran
dengan lebih jelas dan mudah.
Kajian ini juga telah dapat membuktikan
keberkesanan pembelajaran dengan laman web dari persepsi pelajar. Analisa data
menunjukkan wujud satu regresi yang linear di antara kefahaman pelajar dengan
sikap dan kesesuaian kaedah pembelajaran ini. Data – data yang diperolehi
menunjukkan sikap positif yang ditunjukkan oleh pelajar dalam menjalani proses
pembelajaran berasaskan komputer telah meningkatkan kefahaman mereka terhadap
subjek sejarah seni bina. Data deskriptif juga menunjukkan wujud min yang
hampir sama di antara sikap pelajar terhadap proses pembelajaran dan kefahaman
pelajar terhadap subjek sejarah iaitu min bagi sikap pelajar ialah 20.8333 dan
min bagi kefahaman pelajar ialah 20.4667.
Persepsi pelajar dari kajian ini juga
menunjukkan proses pembelajaran yang sesuai akan meningkatkan kefahaman pelajar
terhdap subjek yang dipelajari. Dari kajian ini menunjukkan wujud satu regresi
yang linear di antara kefahaman pelajar dengan kesesuaian kaedah pembelajaran.
Analisa data juga menunjukkan wujud korelasi yang jelas di antara kaedah
pembelajaran berasaskan laman web dengan kefahaman pelajar terhadap subjek
sejarah seni bina. Data deskriptif juga menunjukkan wujud min yang hampir sama
di antara kesesuaian kaedah pembelajaran dan kefahaman pelajar terhadap subjek
sejarah iaitu min bagi kesesuaian kaedah pembelajaran ialah 21.7667 dan min
bagi kefahaman pelajar ialah 20.4667.
Kajian ini juga telah dapat membuktikan
keberkesanan pendekatan multimedia dalam proses pembelajaran. Pendekatan ini
akan membentuk suasana pembelajaran yang interaktif dengan menggunakan laman
web. Kajian yang dijalankan oleh Oouz (1998) dan Norhayati (1999) menunjukkan
bahawa kadar pembelajaran dan pemahaman manusia dapat dipertingkatkan dengan
menggunakan cara yang interaktif dalam suatu persekitaran pembelajaran.
Persekitran ini akan membenarkan manusia melihat, mendengar, bertindakbalas dan
beraksi.
Cadangan Perlaksanaan
Pihak
pengurusan politeknik – politeknik Malaysia perlu melatih pensyarah – pensyarah
menghasilkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berinovasi dan
berteknologi tinggi. Program harus diseragamkan dengan mengambilkira kemampuan
infrastruktur yang terdapat di politeknik. Bagi memudahkan perlaksanaan kaedah
pembelajaran berasaskan komputer di politeknik
- politeknik Malaysia beberapa cadangan diberikan di bawah.
Persediaan Pensyarah
Bagi
memudahkan penerapan kaedah PBK dalam proses pembelajaran di politeknik
pensyarah boleh menggunakan model ASSURE yang diperkenalkan oleh Heinich et al.
(1996). Melalui model ini pensyarah dikehendakki untuk menganalisa kemampuan
pelajar yang akan menggunakan kaedah PBK dalam proses pembelajaran mereka.
Kecekapan pelajar mengendalikan komputer dan Internet dengan baik memberi kesan
secara tidak langsung kepada keberkesanan kaedah PBK.
Menurut Heinich et al. (1996) lagi
pensyarah juga perlu menyatakan dengan jelas objektif pembelajaran yang perlu
dicapai oleh pelajar apabila melalui proses pembelajaran dengan kaedah PBK.
Melalui laman web yang disediakan objektif pembelajaran bagi setiap tajuk yang
di ajar perlu dinyatakan. Dengan menyatakan objektif bagi setiap tajuk yang
dipelajari maka ini akan memudahkan pelajar untuk mencapai objektif
pembelajaran.
Seterusnya Heinich et al. (1996) menyatakan melalui model ASSURE pensyarah
perlu memilih media pengajaran yang sesuai. Bagi memastikan proses pembelajaran
berasaskan laman web dapat berjalan dengan lancar maka pensyarah perlu
mengenalpasti kemudahan akses Internet di setiap politeknik. Pensyarah juga
perlu menentukan keupayaan LCD projektor yang terdapat di politeknik bagi
memudahkan proses penyampaian di dalam bilik kuliah. Keupayaan komputer yang
terdapat di setiap politeknik juga menentukan keupayaan pelajar untuk akses maklumat
dari Internet. Bilangan dan saiz grafik di dalam laman web yang dibina untuk
proses pembelajaran perlu ditentukan oleh keupayaan komputer.
Model ASSURE juga menyatakan keupayaan
pensyarah untuk mengurus media dengan baik adalah penting dalam menentukan
kelancaran proses pembelajaran berasaskan laman web. Gabungan kepelbagaian
media dengan berdasarkan pendekatan multi media akan mewujudkan satu suasana
pembelajaran yang menarik untuk proses pembelajaran yang berasaskan laman web.
Heinich et al. (1996) menyatakan akan
kepentingan untuk melibatkan pelajar dalam proses pembelajaran . Laman web yang
di bina perlulah bersifat interaktif bagi memudahkan pelajar untuk terlibat
secara aktif dalam proses pembelajaran. Interaksi yang berlaku di antara pelajar
dan komputer semasa proses pembelajaran akan memudahkan lagi pelajar untuk
memahami perkara yang dipelajari.
Seterusnya
melalui model ASSURE pensyarah juga perlu menyediakan latihan dan ujian bagi
memastikan pelajar memahami apa yang telah dipelajari. Melalui latihan dan
ujian yang disediakan pelajar akan dapat menilai secara kendiri tahap pemahaman
mereka terhadap apa yang telah dipelajari.
Sokongan pentadbir
Pihak
pentadbiran politeknik serta kementerian pendidikan perlu membantu pensyarah dengan
menyediakan kemahiran kepada mereka untuk menyediakan laman web bagi proses
pembelajaran. Pusat – pusat pengajian tinggi harus mewajibkan bakal guru dan
pensyarah yang dilatih untuk mengambil kursus literasi komputer. Seterusnya
pihak pengurusan politeknik perlu memastikan setiap pensyarah yang ada di
politeknik akan mempunyai kemahiran literasi komputer yang baik. Syarikat –
syarikat komputer boleh membekalkan komputer secara kontrak di politeknik bagi
memastikan lebih banyak komputer dapat disediakan untuk kegunaan pelajar.
Kursus jangka pendek juga perlu disediakan oleh pihak pentadbir politeknik bagi
memastikan kemahiran pensyarah sentiasa meningkat berdasarkan kepada
perkembangan pesat teknologi komputer.
Rumusan
Sebagai
kesimpulan kajian ini telah dapat membuktikan keberkesanan proses pembelajaran
berasaskan laman web untuk subjek sejarah seni bina. Penggunaan komputer dengan
pendekatan multimedia telah dapat meningkatkan lagi mutu pembelajaran di
politeknik. Dengan kaedah ini para pensyarah akan dapat meningkatkan lagi
inovasi mereka dalam proses penyampaian maklumat. Rangsangan yang diberikan
oleh komputer dalam proses pembelajaran dapat meningkatkan minat pelajar
khususnya untuk subjek teori. Teknik pengajaran yang disediakan oleh pensyarah secara
tidak langsung mempengaruhi setiap insan yang dididik. Kaedah ini akan
menyempurnakan kaedah pembelajaran yang telah digunakan oleh pensyarah sebelum
ini. Justeru itu kajian ini boleh dijadikan sebagai panduan oleh pensyarah seni
bina yang mengajar subjek teori di politeknik – politeknik Malaysia untuk
mempelbagaikan kaedah pengajaran mereka. Kajian ini boleh dijadikan sebagai
panduan kerana ianya merangkumi dua dari empat politeknik yang ada di Malaysia
yang menawarkan kursus seni bina.
Seterusnya
kaedah ini akan dapat membantu pihak politeknik menyelesaikan masalah
kekurangan pensyarah yang wujud di politeknik kerana kaedah pembelajaran ini
berupaya untuk menggabungkan kelas semasa proses pembelajaran. Pelajar juga akan mempunyai kebebasan untuk
mengikuti proses pembelajaran di luar dari waktu kuliah. Penggunaan kaedah ini
dijangkakan bukan sahaja sesuai untuk subjek teori tetapi mempunyai potensi
yang lebih besar untuk subjek yang berasaskan praktikal. Bagi subjek praktikal
setiap langkah kerja yang perlu dikuasai oleh pelajar boleh divideokan dan
dilancarkan ke laman web. Adalah dijangkakan kaedah ini akan memainkan peranan
yang penting dalam pembangunan program pendidikan jarak jauh untuk masa yang
akan datang. Dengan kaedah ini diharapkan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan
satu masyarakat yang mahir dengan kemahiran teknologi maklumat akan secara
tidak langsung telah dapat direalisasikan.
Penyelidikan
yang menggunakan kaedah yang sama boleh dibuat ke atas pelajar diploma seni
bina di politeknik-politeknik yang lain pada masa yang akan datang. Penglibatan
lebih ramai pelajar diploma seni bina akan memberikan gambaran yang lebih jelas
tentang keberkesanan proses pembelajaran yang berasaskan komputer. Kajian yang
menggunakan kaedah yang sama boleh digunakan ke atas pelajar kursus – kursus
lain di politeknik-politeknik Malaysia. Keputusan kajian ini juga akan dapat
memberikan panduan kepada pensyarah - pensyarah politeknik untuk meningkatkan
proses pembelajaran yang berasaskan komputer di politeknik – politeknik
Malaysia.